Sunday, January 15, 2023

Kertas Kausa

Kawan saya, seorang peguam yang bertauliah mempunyai senarai nama untuk anak-anak yang bakal dilahirkan (belum "dijana" tapi sudah ada nama). Nama anak-anak beliau semuanya sedap-sedap belaka, mengikut trend dan mempunyai makna.

Saya cakap, nama anak-anak saya adalah berdasarkan peristiwa yang berlaku dalam hidup kami ketika itu.

Contohnya Kauthar. Maksudnya nikmat yang melimpah ruah.

Semasa saya cuti tanpa gaji (CTG) pada tahun 2016, suami berjaya naik pangkat pada bulan September 2016 (Berkat kan nama ni?)

Satu hari saya hubungi suami, tanya sama ada beliau akan balik lewat atau on time sebab saya nak sediakan makan malam. 

Beliau macam biasalah, bila kita call hujung-hujung waktu pejabat tu dia kalut sungguh. Nak pulak bila dinaikkan pangkat beliau ditempatkan di Bahagian Sivil.

"Abang, balik awal ke tak?"
"Abang busy ni. Tengah prepare kertas Kauthar".

Wah..hati saya benar-benar teruja. Kebetulan masa tu memang tengah tunggu keputusan permohonan ke taska untuk si Kauthar sebab saya akan mula kerja pada tahun 2017.

Saya bertambah yakin bahawa Taska Esesem adalah taska terbaik untuk anak saya. Siap minta kertas Kauthar. Taska di pejabat saya dahulu tak pernah lagi minta Kertas Zulfa, Kertas Naura dan Kertas Naufal. 

Saya bertambah kagum. Kembang kuncup hidung menahan bangga dan terharu.

Kemudian saya mendengar sayup-sayup di hujung talian suami saya menyambung-

"Abang kan baru tukar Bahagian Sivil. Jadi, banyak la cause paper nak kena prepare. Harap faham."

Deng. Kertas kausa (cause paper) rupanya. Bukan Kertas Kauthar.

Saya rasa kalau saya ditempatkan di Bahagian Sivil sebelum bersalin mesti saya elak daripada menggunakan nama Kauthar kerana ia mempunyai bunyi semacam kausa.

Tapi itu la, sebelum cuti bersalin Kauthar (dan CTG) saya bertugas di Bahagian Pendakwaan. Bagus juga tu. Kalau tidak, tak pasal-pasal nama anak saya Kertas Siasatan atau IP. Gitu!

Semoga Kauthar Mohd Zulkhairi menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara ye Nak! Sama seperti pentingnya penggunaan kertas-kertas kausa di Mahkamah. Ameen...