Monday, August 22, 2022

Akta, Ordinan dan Undang-Undang Kecil (By Laws)

Apakah perbezaan bagi ketiga-tiga ini?

Sesuatu undang-undang bertulis terdapat dalam beberapa bentuk dan nama contohnya Akta, Kanun, Ordinan, Peraturan, Kaedah-Kaedah, Perintah, Undang-Undang Kecil dan sebagainya.

Jika akta, peruntukan di dalamnya disebut sebagai-

Seksyen 1

Subseksyen 1(2)

Perenggan 1(2)(a)

Subperenggan 1(2)(a)(i)


Peruntukan di dalam perundangan tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan disebut Artikel atau Perkara. Sebagai contoh, Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan adalah mengenai kebebasan terhadap harta. 



Gores dan Menang

Nampaknya, scammer bergerak seiring dengan zaman.

Dahulu, scammer mendapatkan wang dengan cara memujuk orang ramai supaya cuba kad gores dan menang. Ramai yang tertipu. Hadiah tak seberapa tapi bayaran yang dikenakan sangatlah tidak adil dan melampau tinggi.

Mereka berpakaian kemas seperti seorang penjual di premis yang ada aircond. Yang lelaki, siap berkemeja dan memakai tali leher. Begitu juga perwatakan jurujual wanita gores dan menang ini.

Sasaran mereka adalah orang awam yang mereka jumpa di jalanan, di pusat sehenti tempat mereka bertugas. Modus operandi mereka, kaburkan mata mangsa dengan hadiah lumayan supaya mangsa bersetuju untuk cuba kad gores dan menang. Namun begitu, hadiah sebenar kad gores dan menang adalah barang yang nilainya sangat rendah tetapi mangsa dikehendaki membayar dengan harga yang sangat tinggi dan tak masuk akal. 

Pagi itu saya ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, menjalankan tugas biasa seorang Pelatih Dalam Kamar untuk mengendalikan kes-kes sebutan di depan Majistret.

Sebaik sahaja saya melangkah kaki masuk ke dalam Mahkamah, kelihatan satu pemandangan luar biasa apabila kandang tertuduh penuh melimpah dengan Orang Kena Saman (OKS). Biasanya saya akan lihat OKS berpakaian warna merah, hijau atau oren tetapi pagi itu kesemua OKS berpakaian kemas. 

Apabila Jurubahasa memanggil nombor kes dan membacakan pertuduhan, barulah saya tahu mereka semua didakwa kerana kesalahan kes gores dan menang.

Kini teknik gores dan menang sudah lenyap ditelan zaman. Scammer sudah melangkah setapak ke depan iaitu dengan menelefon mangsa untuk menjanjikan "keuntungan" kepada mangsa. Antaranya adalah melalui panggilan telefon untuk menawarkan pelbagai produk menarik kepada pelanggan. Ada juga yang lebih advance iaitu menyamar sebagai kakitangan mahkamah/LHDN/Kastam/Polis/Pos Laju dan sebagainya.


Wednesday, August 3, 2022

Pandang Luar Tingkap

Bunyinya seolah-olah kelakar tapi ini merupakan satu tip yang diberikan Pensyarah di Pusat Asasi UIA dua puluh tahun yang lalu.

"Cara untuk mengingat balik apa yang dipelajari adalah dengan memandang ke luar jendela sambil menghafal nota yang telah difahami", ujar Sir JD semasa saya dan rakan-rakan meminta tips belajar daripada Sir.

Semua Mahkamah

Saya sedang berjalan menuju ke sayap kiri Mahkamah. Terdengar seorang Peguam memberi penerangan kepada seorang orang awam.

"Kena tahu nombor kes Pakcik. Macam mana nak tahu kes Pakcik kat Mahkamah mana. Satu kompleks ni semuaaaaa Mahkamah".

Pakcik tersebut memasukkan dompet yang dipegangnya dalam poket seluar. Barangkali beliau mencari nombor kes yang sepadan nombor IC di senarai kes hadapan Mahkamah Tinggi tadi.

Mukanya sedikit hampa. Saya tak nampak sebarang kertas di tangan beliau. 

"Tapi pegawai beritahu kena datang sini".

Saya hanya mendengar sepintas lalu. Tak mahu masuk campur kerana jam dah hampir pukul 9 pagi.

Bagi orang awam, asalkan Mahkamah, kat situ lah kes dia. Datang sahaja ke Mahkamah. Tiada persediaan. Tiada peguam, tiada surat makluman, tiada kertas kausa. Ni betul-betul kamikaze. Tidak jelas tujuan ke Mahkamah. Paling parah, tidak tahu arah tuju ke Mahkamah mana.

Begitulah juga kehidupan kita di dunia ini. Hidup kita mesti punya satu tujuan. Jika tidak, kita akan tercari-cari arah dalam kehidupan sedangkan Islam datang memberi jalan petunjuk yang benar untuk kita ikuti.

Jika masih mencari-cari arah dalam hidup, bukalah al-Quran kerana ia panduan hidup kita.