Nampaknya, scammer bergerak seiring dengan zaman.
Dahulu, scammer mendapatkan wang dengan cara memujuk orang ramai supaya cuba kad gores dan menang. Ramai yang tertipu. Hadiah tak seberapa tapi bayaran yang dikenakan sangatlah tidak adil dan melampau tinggi.
Mereka berpakaian kemas seperti seorang penjual di premis yang ada aircond. Yang lelaki, siap berkemeja dan memakai tali leher. Begitu juga perwatakan jurujual wanita gores dan menang ini.
Sasaran mereka adalah orang awam yang mereka jumpa di jalanan, di pusat sehenti tempat mereka bertugas. Modus operandi mereka, kaburkan mata mangsa dengan hadiah lumayan supaya mangsa bersetuju untuk cuba kad gores dan menang. Namun begitu, hadiah sebenar kad gores dan menang adalah barang yang nilainya sangat rendah tetapi mangsa dikehendaki membayar dengan harga yang sangat tinggi dan tak masuk akal.
Pagi itu saya ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, menjalankan tugas biasa seorang Pelatih Dalam Kamar untuk mengendalikan kes-kes sebutan di depan Majistret.
Sebaik sahaja saya melangkah kaki masuk ke dalam Mahkamah, kelihatan satu pemandangan luar biasa apabila kandang tertuduh penuh melimpah dengan Orang Kena Saman (OKS). Biasanya saya akan lihat OKS berpakaian warna merah, hijau atau oren tetapi pagi itu kesemua OKS berpakaian kemas.
Apabila Jurubahasa memanggil nombor kes dan membacakan pertuduhan, barulah saya tahu mereka semua didakwa kerana kesalahan kes gores dan menang.
Kini teknik gores dan menang sudah lenyap ditelan zaman. Scammer sudah melangkah setapak ke depan iaitu dengan menelefon mangsa untuk menjanjikan "keuntungan" kepada mangsa. Antaranya adalah melalui panggilan telefon untuk menawarkan pelbagai produk menarik kepada pelanggan. Ada juga yang lebih advance iaitu menyamar sebagai kakitangan mahkamah/LHDN/Kastam/Polis/Pos Laju dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment