Saya sedang berjalan menuju ke sayap kiri Mahkamah. Terdengar seorang Peguam memberi penerangan kepada seorang orang awam.
"Kena tahu nombor kes Pakcik. Macam mana nak tahu kes Pakcik kat Mahkamah mana. Satu kompleks ni semuaaaaa Mahkamah".
Pakcik tersebut memasukkan dompet yang dipegangnya dalam poket seluar. Barangkali beliau mencari nombor kes yang sepadan nombor IC di senarai kes hadapan Mahkamah Tinggi tadi.
Mukanya sedikit hampa. Saya tak nampak sebarang kertas di tangan beliau.
"Tapi pegawai beritahu kena datang sini".
Saya hanya mendengar sepintas lalu. Tak mahu masuk campur kerana jam dah hampir pukul 9 pagi.
Bagi orang awam, asalkan Mahkamah, kat situ lah kes dia. Datang sahaja ke Mahkamah. Tiada persediaan. Tiada peguam, tiada surat makluman, tiada kertas kausa. Ni betul-betul kamikaze. Tidak jelas tujuan ke Mahkamah. Paling parah, tidak tahu arah tuju ke Mahkamah mana.
Begitulah juga kehidupan kita di dunia ini. Hidup kita mesti punya satu tujuan. Jika tidak, kita akan tercari-cari arah dalam kehidupan sedangkan Islam datang memberi jalan petunjuk yang benar untuk kita ikuti.
Jika masih mencari-cari arah dalam hidup, bukalah al-Quran kerana ia panduan hidup kita.
No comments:
Post a Comment