Tuesday, July 26, 2022

25.4.2007

Tarikh keramat saya didaftarai sebagai Peguam.

Tamat Latihan dalam kamar, pelatih dalam kamar akan didaftarai sebagai Peguambela dan Peguamcara. Pertama kali melihat perkataan ini semasa saya mengisi kertas kausa bagi tujuan ini. Ia bukan dibaca sebagai daftarai. Sebaliknya dibaca daftar-rai. Ya, PDK akhirnya boleh meraikan kejayaan melengkapkan sembilan bulan Latihan. Apa yang hendak diraikan? Persoalan ini akan dijawab dalam bab seterusnya kelak.

Sesi ini ringkasnya disebut sebegai Long Call. Saya sendiri tidak pasti dari mana datangnya istilah tersebut. Saya teringat kata-kata Pensyarah saya semasa di tahun akhir Kulliyyah.

There’s no such word as short call or long call”, komennya pada satu pagi yang hening dalam Kelas Professional Practice.

Mengikutnya, perkataan short call merujuk kepada perbuatan buang air kecil manakala long call pula air besar. Kami sekelas tergamam seketika. Nak gelak beramai-ramai pun tak berani sebab Pensyarah kami ni orangnya sangat serius, bekas Peguam yang telah ceased practice.

Dalam sesi ini, Mover iaitu seorang peguam yang telah beramal melebihi tujuh tahun akan membacakan petisyen yang mengandungi biodata Pelatih Dalam Kamar di hadapan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Malaya. Ia sedikit sebanyak menyerupai sesi penganugerahan Doktor Kehormat yang saya saksikan semasa saya menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dahulu, apabila penerima Doktor Kehormat dipanggil berdiri di hadapan pentas lalu dibacakan biodata.

Petisyen ini semuanya disediakan sendiri oleh PDK. Saya bernasib baik kerana bos baharu saya sudi menjadi Mover dan menyemak ayat yang saya gunakan supaya lebih gempak kesannya.

Selepas tamat sesi ini, PDK akan menjamu para hadirin di café Mahkamah. Ya, kami belanja beb!

PDK kemudian akan disarungkan jubah oleh Master atau Pengajar.

Saya telah membuat permohonan lisan di dalam kamar Yang Arif Hakim yang akan mendengar petisyen saya untuk kebenaran supaya ayah saya yang menyarungkan jubah kepada saya.

“Why your father? It should be your Master?”, Hakim menyoal saya ketika saya membuat permohonan tersebut secara courtesy call di dalam kamar.

Saya senyum sahaja dengan soalan yang telah saya jangkakan. Jawapan saya pada Yang Arif ketika itu adalah kerana Abah adalah individu yang memainkan peranan penting dalam hidup saya. Tanpa words of encouragement dari Abah, saya mungkin kekal menjadi seorang yang gagal dan tidak punyai cita-cita besar. 

Ya, pada hari inilah, saya disarungkan jubah seorang peguam oleh seorang yang bukan peguam. Tiada kata-kata indah yang dapat saya ungkapkan. Inilah momen paling bahagia yang mampu saya hadiahkan kepada Abah.

No comments:

Post a Comment