Mooting merupakan satu skil yang perlu dikuasai seorang peguam. Skil berdebat. Lain macam bunyinya. Macam nak galakkan orang "gaduh".
Mooting ni biasanya adalah kemahiran yang diasah sejak belajar undang-undang. Bila sudah belajar beberapa subjek undang-undang dan dapat kuasai prinsip sesuatu undang-undang, maka dengan mudah kita dapat "mewakili" anak guam dalam pertandingan mooting.
Saya pernah mewakili anak guam olok-olok semasa di tahun tiga. Pertandingan Syariah Moot. Mudah bagi saya kerana kes yang terlibat adalah kes di bawah ruang lingkup undang-undang keluarga yang menjadi subjek kegemaran saya.
Melalui mooting, pelajar akan mendapat kes sebenar dan akan mewakili anak guam di Mahkamah olok-olok. Di situ pelajar akan mengasah bakat untuk berhujah di hadapan Yang Arif Hakim.
Kumpulan kami diwakili 4 orang. Untuk peringkat pertama, kami akan mewakili Defendan untuk kes cerai. Menang di peringkat ini, kami mewakili Plaintif kes lain pula iaitu kes penjagaan anak. Hakim pada waktu itu adalah barisan pensyarah dan tutor. Merasalah juga berhujah di hadapan hakim.
Kami turut dikehendaki menyediakan hujahan bertulis, ikatan autoriti dan hujahan lisan. Betul-betul sama seperti peguam yang sudah beramal.
Sayangnya pada zaman saya belajar, mooting ini bukan satu subjek wajib. Ia hanya dijadikan pertandingan. Ia bergantung kepada pelajar untuk sertai atau tidak. Jika malas, tak perlu sertai pun pertandingan ini.
Bagi saya, sebelum menjalani tempoh latihan dalam kamar selama 9 bulan, seseorang pelajar undang-undang perlu melengkapkan diri dengan ilmu berhujah dan penyediaan kertas kausa sebagaimana dalam moot.
Saya bersyukur kerana penyertaan di dalam pertandingan moot menjadi salah satu sebab saya mudah diterima bekerja. Ya, sebab sijil penyertaan saya menunjukkan kami bukan setakat peserta biasa sebaliknya kami berjaya hingga ke peringkat akhir. Kami mendapat tempat kedua di pertandingan akhir, tewas dengan pasukan pendebat UIA.
No comments:
Post a Comment