Thursday, July 14, 2022

Aidiladha

Ibadat korban pada tahun ini dilakukan di kampung Permatang Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang. Sama seperti tahun lepas. 

Jujurnya, saya lebih suka melakukan ibadah korban di kampung halaman. Rasa puas dapat sedekah daging korban pada jiran-jiran, terutamanya yang kurang berkemampuan.

Tahun ini, ramai juga jiran yang buat kenduri korban. Pada hari raya kedua sahaja, ada tiga kenduri di sekitar kawasan rumah saya di kampung. Tentulah saya hadir ke kenduri yang terdekat terlebih dahulu iaitu jiran sebelah rumah.

Meriah sangat sebab jiran ini memang rajin buat kenduri, rajin masak, rajin buat makan-makan. Keikhlasan mereka dirasai saat menyuap nasi ke mulut. Jiran-jiran lain semuanya hadir dengan ahli keluarga seisi rumah. Ya, memang kami semua gantung kuali pada hari tu!

Dalam pukul 3+, saya sudah berjanji dengan jiran, Mak Piah namanya untuk ke rumah Paksu MakNjang Dadih. Semasa saya menjemput Mak Piah, Mak Piah tiada di rumah kerana menziarahi MakNgah Norma yang demam. Lama saya tunggu Mak Piah. Dalam pukul 4 barulah kami bergerak ke rumah Paksu. Kebetulan hujan sudah renyai-renyai.

Semasa tiba di rumah Paksu, tiada lagi kelibat tetamu yang hadir. Namun, Mama dan Mak Piah memujuk supaya kami menyantuni ahli keluarga Paksu yang sedia menunggu. Oh ya, MakNjang Dadih dah lama meninggal dunia.

"Tak makan pun takpa, sekurang-kurangnya kita datang sebab dah lama tak jumpa", begitulah adab orang kampung.

Hadir bagi menyantuni panggilan tuan rumah.

Ralit bersembang dengan Ustaz Bad yang mengajar saya semasa di tahun enam sekolah rendah dan kakak-kakak Paksu iaitu ustazah Masyitah, Kak Mazlina dan Kak Maziah. 

Lama sungguh saya tak berjumpa mereka. Tunggu kenduri kendara macam ni lah baru nak bersua muka.

Tak lama selepas itu, saya lihat satu kelibat yang sangat saya rindui sebaik sahaja sebuah Proton Exora berhenti di seberang jalan sana.

Masya Allah, lebih 10 tahun baru dapat jumpa kembali, Kak Mas yang telah bermastautin di Saudi.

Saya terkenang-kenang pertemuan dengan Kak Mas semasa menunaikan ibadah haji 11 tahun lepas. Saya baru mula kisah meloya apabila Kak Mas datang ke hotel dan membawa kek marble. Macam tahu-tahu saya kempunan "benda manis". 

Saya peluk Kak Mas. Erat. Kolam air mata tak dapat ditampung lagi dan ia turun bagaikan curahan hujan pada petang itu. 

Lega!

Allah aturkan pertemuan yang tak disangka-sangka.

Seronok dapat berjumpa orang kampung yang lama tak bersua.

Beza benar dengan suasana di bandar. Jiran sebelah rumah kenduri pun tak panggil kita tapi boleh blok parking kereta kita. Hemmmm... Tiada courtesy orang kata.

Kebaikan akan sentiasa dikenang. MakNjang Dadih selalu tolong Mama bila kami buat kenduri dulu-dulu. Mana mungkin kami melupakan jasa dan pengorbanan beliau.

Kak Mas dan Kakak (jiran sebelah rumah) juga adalah orang paling berbudi, rajin menolong dan ikhlas. Kebaikan mereka sentiasa dikenang.

Oh ya, panggilan orang kampung memang ada "pangkat" ya. Sama seolah-olah, kami satu keluarga yang besar!


1 comment:

  1. Dadih legend dalam mangkuk kaca. Sedap gilaaaa!

    Sebut Ustazah Masyitah, teringat sekolah Arab. Hehe

    ReplyDelete