Tuesday, July 26, 2022

25.4.2007

Tarikh keramat saya didaftarai sebagai Peguam.

Tamat Latihan dalam kamar, pelatih dalam kamar akan didaftarai sebagai Peguambela dan Peguamcara. Pertama kali melihat perkataan ini semasa saya mengisi kertas kausa bagi tujuan ini. Ia bukan dibaca sebagai daftarai. Sebaliknya dibaca daftar-rai. Ya, PDK akhirnya boleh meraikan kejayaan melengkapkan sembilan bulan Latihan. Apa yang hendak diraikan? Persoalan ini akan dijawab dalam bab seterusnya kelak.

Sesi ini ringkasnya disebut sebegai Long Call. Saya sendiri tidak pasti dari mana datangnya istilah tersebut. Saya teringat kata-kata Pensyarah saya semasa di tahun akhir Kulliyyah.

There’s no such word as short call or long call”, komennya pada satu pagi yang hening dalam Kelas Professional Practice.

Mengikutnya, perkataan short call merujuk kepada perbuatan buang air kecil manakala long call pula air besar. Kami sekelas tergamam seketika. Nak gelak beramai-ramai pun tak berani sebab Pensyarah kami ni orangnya sangat serius, bekas Peguam yang telah ceased practice.

Dalam sesi ini, Mover iaitu seorang peguam yang telah beramal melebihi tujuh tahun akan membacakan petisyen yang mengandungi biodata Pelatih Dalam Kamar di hadapan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Malaya. Ia sedikit sebanyak menyerupai sesi penganugerahan Doktor Kehormat yang saya saksikan semasa saya menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dahulu, apabila penerima Doktor Kehormat dipanggil berdiri di hadapan pentas lalu dibacakan biodata.

Petisyen ini semuanya disediakan sendiri oleh PDK. Saya bernasib baik kerana bos baharu saya sudi menjadi Mover dan menyemak ayat yang saya gunakan supaya lebih gempak kesannya.

Selepas tamat sesi ini, PDK akan menjamu para hadirin di café Mahkamah. Ya, kami belanja beb!

PDK kemudian akan disarungkan jubah oleh Master atau Pengajar.

Saya telah membuat permohonan lisan di dalam kamar Yang Arif Hakim yang akan mendengar petisyen saya untuk kebenaran supaya ayah saya yang menyarungkan jubah kepada saya.

“Why your father? It should be your Master?”, Hakim menyoal saya ketika saya membuat permohonan tersebut secara courtesy call di dalam kamar.

Saya senyum sahaja dengan soalan yang telah saya jangkakan. Jawapan saya pada Yang Arif ketika itu adalah kerana Abah adalah individu yang memainkan peranan penting dalam hidup saya. Tanpa words of encouragement dari Abah, saya mungkin kekal menjadi seorang yang gagal dan tidak punyai cita-cita besar. 

Ya, pada hari inilah, saya disarungkan jubah seorang peguam oleh seorang yang bukan peguam. Tiada kata-kata indah yang dapat saya ungkapkan. Inilah momen paling bahagia yang mampu saya hadiahkan kepada Abah.

Open Book Test

"Belajar undang-undang ni tak susah mana pun sebenarnya. Paling best, bila dapat buka buku semasa peperiksaan" ujar rakanku Wahida yang terlebih dahulu memasuki kampus utama. Ketika itu, pengajianku di Pusat Matrikulasi UIA berbaki satu semester.

Wah! Aku kaget dan kagum. Untungnya, masuk universiti baru tahu boleh buka buku semasa menjawab soalan peperiksaan. Tapi kenapa masih ada yang tak lulus universiti?

Tahun akhir di Pusat Matrikulasi, aku berusaha bersungguh-sungguh agar dapat masuk belajar ke kampus utama mengikut jejak Wahida.

'Senangla begitu. Boleh buka buku masa exam... Bestnyaaaa' begitulah hatiku bernyanyi riang gembira.

'Ya! Tak lama lagi aku akan jadi peguam yang hebat!' sambungku berangan merentasi kuliah ijazah sarjana muda.

Hormon adrenalinku bergerak laju, jelas tidak sabar nak jawab peperiksaan subjek undang-undang sambil buka buku.


. Ya, sepanjang empat tahun pengajian, kami dibenarkan membuka buku untuk menjawab soalan peperiksaan. Tapi bukan semua buku ya. Buku tertentu sahaja yang dibenarkan. Argh..selagi namanya open book, tak kisah la buku apa pun. Janji dapat buka buku. Yey!!

Perkara ini memang saya tunggu sejak di Pusat Matrikulasi bila kawan saya yang dapat masuk ke Kampus Utama awal satu semester dari kami memaklumkan berita gembira tak diduga ini. Tak sabar sungguh rasanya nak jawab peperiksaan sambil buka buku. Mudah benar. Tak perlu saya belajar sebab jawapan semua mestilah sudah ada dalam buku, kan?

Bila tiba masanya, barulah saya tahu bahawa buku yang dimaksudkan adalah Akta. Pernah lihat Akta? Sepanjang pengajian, buku-buku akta ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup kami:

Penal Code (Kanun Keseksaan), Criminal Procedure Code (Kanun Prosedur Jenayah), Akta Kontrak, Perlembagaan Persekutuan, Akta Mahkamah Kehakiman, Kaedah-Kaedah Mahkamah, Kanun Tanah Negara etc.

Setiap satu mata pelajaran mesti ada perundangan utama untuk dirujuk sebagai autoriti bagi suatu undang-undang.

Contohnya, bagi subjek Undang-Undang Jenayah kami diminta membawa Kanun Keseksaan sebagai rujukan utama. Kanun Keseksaan ini mengandungi sebanyak 511 seksyen. Kesalahan bagi kes bunuh termaktub di dalam seksyen 300 dan 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Maka, tidak dapat tidak pelajar mesti menghafal beberapa peruntukan khusus yang penting di dalam Akta. Bukan semberono membawa masuk Akta ke dalam dewan peperiksaan tanpa mengetahui peruntukan mana yang harus digunakan untuk menjawab soalan kelak.

Tanggapan saya bahawa tak perlu belajar teruk sebab boleh buka buku semasa peperiksaan ternyata meleset. Jika tidak belajar, mana nak tahu peruntukan mana yang sesuai digunakan untuk menjawab soalan peperiksaan.

Dengan membawa buku akta ke dewan peperiksaan, pelajar dapat memberikan autoriti yang tepat untuk dipadankan dengan kes atau soalan yang dinyatakan di dalam kertas soalan. Hurai sikit peruntukan seksyen berkaitan, kemudian masukkan satu dua kes bagi menyokong pendapat kita dan siap!

Ada juga kawan-kawan yang nakal dengan menulis nama kes di celah-celah tulisan di sebalik akta yang tebal. Saya tak pernah cuba sebab nak cari peruntukan pun dah ambil masa, apatah lagi nak cari “toyol” di sebalik peruntukan akta yang tebal. Buang masa.

Tapi yang tak best adalah peperiksaan bagi subjek undang-undang paling lama. Tiga jam setengah. 15 minit pertama untuk membaca soalan, tiga jam untuk menjawab soalan. Lazimnya, ada 5-6 soalan dan pelajar boleh pilih 3 soalan dengan setiap satu diberikan 30 markah.

Thursday, July 14, 2022

Aidiladha

Ibadat korban pada tahun ini dilakukan di kampung Permatang Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang. Sama seperti tahun lepas. 

Jujurnya, saya lebih suka melakukan ibadah korban di kampung halaman. Rasa puas dapat sedekah daging korban pada jiran-jiran, terutamanya yang kurang berkemampuan.

Tahun ini, ramai juga jiran yang buat kenduri korban. Pada hari raya kedua sahaja, ada tiga kenduri di sekitar kawasan rumah saya di kampung. Tentulah saya hadir ke kenduri yang terdekat terlebih dahulu iaitu jiran sebelah rumah.

Meriah sangat sebab jiran ini memang rajin buat kenduri, rajin masak, rajin buat makan-makan. Keikhlasan mereka dirasai saat menyuap nasi ke mulut. Jiran-jiran lain semuanya hadir dengan ahli keluarga seisi rumah. Ya, memang kami semua gantung kuali pada hari tu!

Dalam pukul 3+, saya sudah berjanji dengan jiran, Mak Piah namanya untuk ke rumah Paksu MakNjang Dadih. Semasa saya menjemput Mak Piah, Mak Piah tiada di rumah kerana menziarahi MakNgah Norma yang demam. Lama saya tunggu Mak Piah. Dalam pukul 4 barulah kami bergerak ke rumah Paksu. Kebetulan hujan sudah renyai-renyai.

Semasa tiba di rumah Paksu, tiada lagi kelibat tetamu yang hadir. Namun, Mama dan Mak Piah memujuk supaya kami menyantuni ahli keluarga Paksu yang sedia menunggu. Oh ya, MakNjang Dadih dah lama meninggal dunia.

"Tak makan pun takpa, sekurang-kurangnya kita datang sebab dah lama tak jumpa", begitulah adab orang kampung.

Hadir bagi menyantuni panggilan tuan rumah.

Ralit bersembang dengan Ustaz Bad yang mengajar saya semasa di tahun enam sekolah rendah dan kakak-kakak Paksu iaitu ustazah Masyitah, Kak Mazlina dan Kak Maziah. 

Lama sungguh saya tak berjumpa mereka. Tunggu kenduri kendara macam ni lah baru nak bersua muka.

Tak lama selepas itu, saya lihat satu kelibat yang sangat saya rindui sebaik sahaja sebuah Proton Exora berhenti di seberang jalan sana.

Masya Allah, lebih 10 tahun baru dapat jumpa kembali, Kak Mas yang telah bermastautin di Saudi.

Saya terkenang-kenang pertemuan dengan Kak Mas semasa menunaikan ibadah haji 11 tahun lepas. Saya baru mula kisah meloya apabila Kak Mas datang ke hotel dan membawa kek marble. Macam tahu-tahu saya kempunan "benda manis". 

Saya peluk Kak Mas. Erat. Kolam air mata tak dapat ditampung lagi dan ia turun bagaikan curahan hujan pada petang itu. 

Lega!

Allah aturkan pertemuan yang tak disangka-sangka.

Seronok dapat berjumpa orang kampung yang lama tak bersua.

Beza benar dengan suasana di bandar. Jiran sebelah rumah kenduri pun tak panggil kita tapi boleh blok parking kereta kita. Hemmmm... Tiada courtesy orang kata.

Kebaikan akan sentiasa dikenang. MakNjang Dadih selalu tolong Mama bila kami buat kenduri dulu-dulu. Mana mungkin kami melupakan jasa dan pengorbanan beliau.

Kak Mas dan Kakak (jiran sebelah rumah) juga adalah orang paling berbudi, rajin menolong dan ikhlas. Kebaikan mereka sentiasa dikenang.

Oh ya, panggilan orang kampung memang ada "pangkat" ya. Sama seolah-olah, kami satu keluarga yang besar!


Thursday, July 7, 2022

Perintah Bersih

Masa mula-mula Chambering dulu, staf RMH yang kendalikan kes kebankrapan ada minta pesanan jika saya ke Mahkamah Butterworth. 

"Kinah, kalau pi court Butterworth tanya sat, kami punya Perintah Bersih siap dak gi?".

Saya agak kebingungan kerana itulah kali pertama saya mendengar perkataan perintah bersih. 

Saya lihat mejanya. Tiada sebarang makanan yang tumpah. Kenapa dia failkan perintah bersih. Kotorkah perintah sebelum ini? Mungkin silap cop? Mungkin ada yang terconteng?

Dalam fikiran saya, perintah bersih berlawanan dengan perintah kotor. Ya, inilah punca bila belajar guna bahasa Inggeris lepas tu terjemah secara literal sahaja. 

Bukan Pensyarah tak ajar, cuma itulah, dalam kelas Civil Procedure (CP) atau Prosedur Sivil, duduk depan pun boleh tertidur. Bosan yakmat! Dah chambering baru tahu kegunaan saman, affidavit, perintah, dll.

Malu nak bertanya lebih sebab kita ni kan graduan undang-undang. Ehem.. 

Nota: Pemfailan kertas kausa secara efiling diperkenalkan pada tahun 2017, sepuluh tahun selepas saya chambering. Sebelum efiling, peguam dikehendaki memfailkan deraf perintah secara manual di Mahkamah. Apabila sudah disemak, peguam akan failkan semula perintah ini. Perintah Bersih adalah perintah yang telah disemak Pendaftar dan ditanda meterai Mahkamah. Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai sealed copy atau fair copy.

Pertama Kali ke Mahkamah

 Kali pertama saya ke mahkamah, saya pergi seorang diri tidak berteman.

“Kinah, esok ada kes kat Butterworth, SP dan BM. Kinah dah short call kan semalam? By right dah boleh appear depan Magistrate Court,” laju sekali En Rahim beri pandangan.

Saya yang masih terkulat-kulat mencari jawapan dan kekuatan hanya mengiakan pandangan En Rahim yang masih kabur di mata saya.

Saya diberi pilihan antara ketiga-tiga mahkamah tersebut dan saya memilih Mahkamah Butterworth kerana sudah tahu lokasinya di mana. Ia terletak di laluan utama Jalan Butterworth-Kepala Batas. Tak sangka, dulu semasa melalui jalan ini, saya hanya terdetik untuk masuk ke mahkamah ini. Setelah bertahun lamanya, tercapai juga impian untuk masuk mahkamah.

“Tapi kes kat Butterworth esok di Mahkamah Sesyen tau. Chambering tak boleh appear depan Session Court,” sambung En Rahim yang masih tercari-cari kertas dan pen di dalam bilik beliau untuk memulakan lakaran.

“Hakim Sesyen akan duduk kat sini. Ini kandang saksi. Ini kandang tertuduh. Tempat peguam depan sini, kiri atau kanan. Sini pulak tempat jurubahasa,” sambil melakar kedudukan mahkamah, En Rahim beri arahan pada saya.

Itulah satu-satunya lukisan cakar ayam yang saya faham dalam keterpaksaan. Saya membayangkan kedudukan mahkamah moot di AIKOL.

“Sampai je kat mahkamah nanti, cari peguam untuk tolong sebut kes ni. Ni status dia,” borang laporan kes yang ditampal di depan fail dikemaskini statusnya di depan saya.

“Nanti Kinah duduk kat kerusi ni,” ujar En Rahim kembali melakar kedudukan mahkamah yang rupanya masih belum lengkap.

Nampaknya saya sudah tak boleh elak. Memang kena pergi Mahkamah juga esok ni. Fikiran saya masih bercelaru. Takut pun ada sebab saya belum pernah jejak kaki ke mahkamah sebenar.

Meskipun lukisan tersebut layak dikategorikan sebagai lukisan cakar ayam, saya ambil juga buat simpanan dan rujukan untuk ke mahkamah esoknya. Ya lah, En Rahim tu peguam, bukan arkitek nak lukis cantik-cantik dan sama paksi simetri.

Gulp.

Hati gembira dan teruja menerima tugasan pertama ke mahkamah. Dalam masa yang sama, saya juga bimbang terlewat atau tersilap.

Ala, baru chambering. Mesti Hakim faham.

Saya cuba menenangkan diri sendiri. Jika tidak ambil tugasan ini, rugi lah saya buat chambering tapi tempat peguam beraksi pun tak pernah jejak. Apa guna jadi peguam jika kaki tak pernah jejak ke mahkamah. Ewah..

Wednesday, July 6, 2022

Final Destination

Sebenarnya bila taksub pada undang-undang (dan pelajaran), ada kemudaratan juga. Semasa di tahun pertama, kami telah mempelajari undang-undang tort. Dalam subjek undang-undang tort, terdapat satu tajuk yang mengerikan bagi pelajar undang-undang iaitu pengiraan damages atau pampasan. Bab kira je berpeluh. Asal kira je salah. Begitulah minda pelajar undang-undang yang terhijab dengan angka.

“Kalau kami minat kira-kira, kami ambil kursus perakaunan, bukan undang-undang!”.

Ini adalah pembelaan paling bermerit di kalangan pelajar undang-undang. Sebolehnya tak mahu tahu menahu bab kira-kira ni.

Malangnya, baru masuk tahun pertama sudah kena kira.

Pengiraan damages ni menarik juga. Ini disebabkan ia melibatkan ganti rugi tauladan dan beberapa jenis ganti rugi yang boleh dituntut sekiranya kita terlibat dalam kemalangan atau kerugian disebabkan kecuaian Defendan.

Oleh kerana bab kira-kira ni ramai yang gagal kira dengan betul, maka Pensyarah terpaksa mengulang bab ini sehingga pelajar betul-betul mahir. Siap ada homework untuk balik kira damages. Kira, kira dan kira.

Saya terlalu terbawa-bawa dengan pengiraan ini sehinggakan semasa rakan sebilik mengajak saya menonton filem Final Destination, saya mengira berapa kerugian yang ditanggung akibat kemalangan kayu balak yang terjatuh dari lori trailer.

Filem itu sepatutnya filem aksi dan ngeri. Tapi saya tukarkan filem itu menjadi satu tutorial kelas tort untuk kira berapa pampasan yang boleh dituntut daripada pemilik dan pemandu lori.

Rupa-rupanya, seronok juga membuat kira-kira ini. Cerah biji mata. Er, cerah biji mata atau saya sudah mula bermata duitan (akibat kira duit klien).

Tuesday, July 5, 2022

Setelah Sebulan

Alhamdulillah.

Genap sebulan di bawah pemantauan Coach, sudah cukup pengalaman untuk dibukukan.

Hari ini godek-godek laptop, baru terjumpa manuskrip dua buku kisah hidup peguam cabuk yang telah lama dihasilkan di minda.

Beberapa entri akan disunting semula untuk disesuaikan dengan deraf manuskrip sebelum ini.

Syukur kerana akhirnya, lebih 30 entri dilakar jua instead of just dok dalam kepala.

Bukan tiada idea, tapi ia berselirat. Tak tahu nak bermula dari mana ke mana. Dengan bantuan Coach, nampak jelas hala tuju.

Begitulah hidup ini. Perlu ada panduan dan didikan. Tak semua benda kita mahir.

Saya lebih rela membayar yuran kepandaian daripada yuran kebodohan sendiri.

Konsep yang sama jika kita tidak mahir undang-undang, maka carilah seorang peguam untuk khidmat nasihat. Jika merasakan bayaran khidmat guaman itu tinggi, belajarlah sendiri sehingga jadi peguam! 

Mooting

Mooting merupakan satu skil yang perlu dikuasai seorang peguam. Skil berdebat. Lain macam bunyinya. Macam nak galakkan orang "gaduh".

Mooting ni biasanya adalah kemahiran yang diasah sejak belajar undang-undang. Bila sudah belajar beberapa subjek undang-undang dan dapat kuasai prinsip sesuatu undang-undang, maka dengan mudah kita dapat "mewakili" anak guam dalam pertandingan mooting.

Saya pernah mewakili anak guam olok-olok semasa di tahun tiga. Pertandingan Syariah Moot. Mudah bagi saya kerana kes yang terlibat adalah kes di bawah ruang lingkup undang-undang keluarga yang menjadi subjek kegemaran saya.

Melalui mooting, pelajar akan mendapat kes sebenar dan akan mewakili anak guam di Mahkamah olok-olok. Di situ pelajar akan mengasah bakat untuk berhujah di hadapan Yang Arif Hakim.

Kumpulan kami diwakili 4 orang. Untuk peringkat pertama, kami akan mewakili Defendan untuk kes cerai. Menang di peringkat ini, kami mewakili Plaintif kes lain pula iaitu kes penjagaan anak. Hakim pada waktu itu adalah barisan pensyarah dan tutor. Merasalah juga berhujah di hadapan hakim.

Kami turut dikehendaki menyediakan hujahan bertulis, ikatan autoriti dan hujahan lisan. Betul-betul sama seperti peguam yang sudah beramal.

Sayangnya pada zaman saya belajar, mooting ini bukan satu subjek wajib. Ia hanya dijadikan pertandingan. Ia bergantung kepada pelajar untuk sertai atau tidak. Jika malas, tak perlu sertai pun pertandingan ini.

Bagi saya, sebelum menjalani tempoh latihan dalam kamar selama 9 bulan, seseorang pelajar undang-undang perlu melengkapkan diri dengan ilmu berhujah dan penyediaan kertas kausa sebagaimana dalam moot.

Saya bersyukur kerana penyertaan di dalam pertandingan moot menjadi salah satu sebab saya mudah diterima bekerja. Ya, sebab sijil penyertaan saya menunjukkan kami bukan setakat peserta biasa sebaliknya kami berjaya hingga ke peringkat akhir. Kami mendapat tempat kedua di pertandingan akhir, tewas dengan pasukan pendebat UIA.


Keratan Sijil Penyertaan

Monday, July 4, 2022

Manusia Berbaju Putih

Hari ini saya meneruskan tugasan membawa sebilangan pegawai baharu untuk slot ke Mahkamah. Dalam perjalanan, kelihatan segerombolan manusia berbaju t-shirt putih yang berjalan kaki dari Selera Duta ke Mahkamah Jalan Duta.

Salah seorang pegawai baharu bertanya kepada saya mengenai kumpulan baju putih.

Tekaan saya, ada kes ahli politik barangkali. Mereka kebiasaannya akan mengupah "penyokong" setiap kali hadir ke mahkamah.

Tepat sekali, ada satu kes yang didaftarkan di Mahkamah Tinggi Jenayah. Kes seorang ahli politik bertaraf menteri dengan 27 pertuduhan jenayah.

Barangkali mereka sudah terbiasa hidup dikelilingi penyokong maka apabila kes di bawa ke Mahkamah juga, mereka masih memerlukan penyokong untuk berdiri dengan kuat (dan tabah).

Saya sebenarnya kasihan melihat penyokong upahan ini. Mereka level ibubapa saya. Sepatutnya mereka hanya duduk di rumah menanti imbuhan anak-anak. Tidak perlu menghadap Pak Menteri kaki korupsi. Tapi begitulah, rezeki masing-masing tidak sama. Barangkali si anak juga mempunyai kekangan tersendiri untuk menyara ibubapa.

Pernah sekali saya singgah di Selera Duta untuk membeli makan tengahari. Di hadapan saya, berdiri seorang lelaki warga emas. Lama beliau memerhati lauk pauk untuk diisi. 

"Lauk ni berapa?" tanya beliau kepada penjual.

"Telur ini RM3" jawab penjual sabar. 

Beliau mengambil tiga jenis lauk telur semuanya. Telur goreng RM2.00, telur itik masak lemak RM3.00 dan telur puyuh RM5.00. Wang kertas berwarna merah akhirnya bertukar tangan dan beliau berlalu pergi.

Saya hanya sempat membelek tulisan kecil di belakang baju tshirt beliau. Kelihatan logo sebuah parti politik. Maaf, saya bukan anti-politik, cuma saya sering terlihat mereka ini sering dipergunakan di depan mata saya.

Entahlah, fikiran saya pada ketika itu cuma melihat soal kebajikan beliau dan upah yang diterima. Berapalah agaknya upah penyokong orang politik di mahkamah ya? 

Sunday, July 3, 2022

Pandangan Seorang Peguam

Jujurnya, sudut pandang seorang peguam selalu akan melihat dari dua sudut yang berbeza meskipun dia mewakili hanya seorang anak guam.

Semasa belajar undang-undang dahulu pun begitu. Kami akan belajar prinsip asas kenapa undang-undang itu adalah begitu dan pengecualian kepada sesuatu prinsip asas undang-undang (exception to the general rules).

Misalnya, umum mengetahui bahawa membunuh adalah satu kesalahan jenayah yang termaktub dalam Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Namun, jika pembunuh membuktikan bahawa beliau membunuh untuk membela diri akibat provokasi atau mempertahankan diri, ia akan termasuk dalam kesalahan di bawah kategori lain.

Pemikiran seorang peguam akan sentiasa berfikir di luar kotak. Sudut pandang yang berbeza ini sukar difahami orang awam menyebabkan peguam sering ditohmah.

Saya sendiri akan melihat sesuatu itu daripada sisi hitam dan putih. There's no right or wrong. Sebelum ulas sesuatu, baca fakta yang dikemukakan kedua-dua pihak dan nilaikan. Jangan percaya kepada hanya satu pihak sahaja kerana naratif yang dibawanya adalah untuk kemenangan dirinya, bukan keadilan untuk orang lain.

Dacing

Bentuk bangunan struktur Mahkamah sebenarnya adalah berasaskan kepada simbol dacing, lambang keadilan dan kesaksamaan.

Tangga di bahagian tengah bangunan. Mahkamah di bahagian kiri dan kanan.