Monday, August 22, 2022

Akta, Ordinan dan Undang-Undang Kecil (By Laws)

Apakah perbezaan bagi ketiga-tiga ini?

Sesuatu undang-undang bertulis terdapat dalam beberapa bentuk dan nama contohnya Akta, Kanun, Ordinan, Peraturan, Kaedah-Kaedah, Perintah, Undang-Undang Kecil dan sebagainya.

Jika akta, peruntukan di dalamnya disebut sebagai-

Seksyen 1

Subseksyen 1(2)

Perenggan 1(2)(a)

Subperenggan 1(2)(a)(i)


Peruntukan di dalam perundangan tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan disebut Artikel atau Perkara. Sebagai contoh, Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan adalah mengenai kebebasan terhadap harta. 



Gores dan Menang

Nampaknya, scammer bergerak seiring dengan zaman.

Dahulu, scammer mendapatkan wang dengan cara memujuk orang ramai supaya cuba kad gores dan menang. Ramai yang tertipu. Hadiah tak seberapa tapi bayaran yang dikenakan sangatlah tidak adil dan melampau tinggi.

Mereka berpakaian kemas seperti seorang penjual di premis yang ada aircond. Yang lelaki, siap berkemeja dan memakai tali leher. Begitu juga perwatakan jurujual wanita gores dan menang ini.

Sasaran mereka adalah orang awam yang mereka jumpa di jalanan, di pusat sehenti tempat mereka bertugas. Modus operandi mereka, kaburkan mata mangsa dengan hadiah lumayan supaya mangsa bersetuju untuk cuba kad gores dan menang. Namun begitu, hadiah sebenar kad gores dan menang adalah barang yang nilainya sangat rendah tetapi mangsa dikehendaki membayar dengan harga yang sangat tinggi dan tak masuk akal. 

Pagi itu saya ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, menjalankan tugas biasa seorang Pelatih Dalam Kamar untuk mengendalikan kes-kes sebutan di depan Majistret.

Sebaik sahaja saya melangkah kaki masuk ke dalam Mahkamah, kelihatan satu pemandangan luar biasa apabila kandang tertuduh penuh melimpah dengan Orang Kena Saman (OKS). Biasanya saya akan lihat OKS berpakaian warna merah, hijau atau oren tetapi pagi itu kesemua OKS berpakaian kemas. 

Apabila Jurubahasa memanggil nombor kes dan membacakan pertuduhan, barulah saya tahu mereka semua didakwa kerana kesalahan kes gores dan menang.

Kini teknik gores dan menang sudah lenyap ditelan zaman. Scammer sudah melangkah setapak ke depan iaitu dengan menelefon mangsa untuk menjanjikan "keuntungan" kepada mangsa. Antaranya adalah melalui panggilan telefon untuk menawarkan pelbagai produk menarik kepada pelanggan. Ada juga yang lebih advance iaitu menyamar sebagai kakitangan mahkamah/LHDN/Kastam/Polis/Pos Laju dan sebagainya.


Wednesday, August 3, 2022

Pandang Luar Tingkap

Bunyinya seolah-olah kelakar tapi ini merupakan satu tip yang diberikan Pensyarah di Pusat Asasi UIA dua puluh tahun yang lalu.

"Cara untuk mengingat balik apa yang dipelajari adalah dengan memandang ke luar jendela sambil menghafal nota yang telah difahami", ujar Sir JD semasa saya dan rakan-rakan meminta tips belajar daripada Sir.

Semua Mahkamah

Saya sedang berjalan menuju ke sayap kiri Mahkamah. Terdengar seorang Peguam memberi penerangan kepada seorang orang awam.

"Kena tahu nombor kes Pakcik. Macam mana nak tahu kes Pakcik kat Mahkamah mana. Satu kompleks ni semuaaaaa Mahkamah".

Pakcik tersebut memasukkan dompet yang dipegangnya dalam poket seluar. Barangkali beliau mencari nombor kes yang sepadan nombor IC di senarai kes hadapan Mahkamah Tinggi tadi.

Mukanya sedikit hampa. Saya tak nampak sebarang kertas di tangan beliau. 

"Tapi pegawai beritahu kena datang sini".

Saya hanya mendengar sepintas lalu. Tak mahu masuk campur kerana jam dah hampir pukul 9 pagi.

Bagi orang awam, asalkan Mahkamah, kat situ lah kes dia. Datang sahaja ke Mahkamah. Tiada persediaan. Tiada peguam, tiada surat makluman, tiada kertas kausa. Ni betul-betul kamikaze. Tidak jelas tujuan ke Mahkamah. Paling parah, tidak tahu arah tuju ke Mahkamah mana.

Begitulah juga kehidupan kita di dunia ini. Hidup kita mesti punya satu tujuan. Jika tidak, kita akan tercari-cari arah dalam kehidupan sedangkan Islam datang memberi jalan petunjuk yang benar untuk kita ikuti.

Jika masih mencari-cari arah dalam hidup, bukalah al-Quran kerana ia panduan hidup kita.

Tuesday, July 26, 2022

25.4.2007

Tarikh keramat saya didaftarai sebagai Peguam.

Tamat Latihan dalam kamar, pelatih dalam kamar akan didaftarai sebagai Peguambela dan Peguamcara. Pertama kali melihat perkataan ini semasa saya mengisi kertas kausa bagi tujuan ini. Ia bukan dibaca sebagai daftarai. Sebaliknya dibaca daftar-rai. Ya, PDK akhirnya boleh meraikan kejayaan melengkapkan sembilan bulan Latihan. Apa yang hendak diraikan? Persoalan ini akan dijawab dalam bab seterusnya kelak.

Sesi ini ringkasnya disebut sebegai Long Call. Saya sendiri tidak pasti dari mana datangnya istilah tersebut. Saya teringat kata-kata Pensyarah saya semasa di tahun akhir Kulliyyah.

There’s no such word as short call or long call”, komennya pada satu pagi yang hening dalam Kelas Professional Practice.

Mengikutnya, perkataan short call merujuk kepada perbuatan buang air kecil manakala long call pula air besar. Kami sekelas tergamam seketika. Nak gelak beramai-ramai pun tak berani sebab Pensyarah kami ni orangnya sangat serius, bekas Peguam yang telah ceased practice.

Dalam sesi ini, Mover iaitu seorang peguam yang telah beramal melebihi tujuh tahun akan membacakan petisyen yang mengandungi biodata Pelatih Dalam Kamar di hadapan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Malaya. Ia sedikit sebanyak menyerupai sesi penganugerahan Doktor Kehormat yang saya saksikan semasa saya menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dahulu, apabila penerima Doktor Kehormat dipanggil berdiri di hadapan pentas lalu dibacakan biodata.

Petisyen ini semuanya disediakan sendiri oleh PDK. Saya bernasib baik kerana bos baharu saya sudi menjadi Mover dan menyemak ayat yang saya gunakan supaya lebih gempak kesannya.

Selepas tamat sesi ini, PDK akan menjamu para hadirin di café Mahkamah. Ya, kami belanja beb!

PDK kemudian akan disarungkan jubah oleh Master atau Pengajar.

Saya telah membuat permohonan lisan di dalam kamar Yang Arif Hakim yang akan mendengar petisyen saya untuk kebenaran supaya ayah saya yang menyarungkan jubah kepada saya.

“Why your father? It should be your Master?”, Hakim menyoal saya ketika saya membuat permohonan tersebut secara courtesy call di dalam kamar.

Saya senyum sahaja dengan soalan yang telah saya jangkakan. Jawapan saya pada Yang Arif ketika itu adalah kerana Abah adalah individu yang memainkan peranan penting dalam hidup saya. Tanpa words of encouragement dari Abah, saya mungkin kekal menjadi seorang yang gagal dan tidak punyai cita-cita besar. 

Ya, pada hari inilah, saya disarungkan jubah seorang peguam oleh seorang yang bukan peguam. Tiada kata-kata indah yang dapat saya ungkapkan. Inilah momen paling bahagia yang mampu saya hadiahkan kepada Abah.

Open Book Test

"Belajar undang-undang ni tak susah mana pun sebenarnya. Paling best, bila dapat buka buku semasa peperiksaan" ujar rakanku Wahida yang terlebih dahulu memasuki kampus utama. Ketika itu, pengajianku di Pusat Matrikulasi UIA berbaki satu semester.

Wah! Aku kaget dan kagum. Untungnya, masuk universiti baru tahu boleh buka buku semasa menjawab soalan peperiksaan. Tapi kenapa masih ada yang tak lulus universiti?

Tahun akhir di Pusat Matrikulasi, aku berusaha bersungguh-sungguh agar dapat masuk belajar ke kampus utama mengikut jejak Wahida.

'Senangla begitu. Boleh buka buku masa exam... Bestnyaaaa' begitulah hatiku bernyanyi riang gembira.

'Ya! Tak lama lagi aku akan jadi peguam yang hebat!' sambungku berangan merentasi kuliah ijazah sarjana muda.

Hormon adrenalinku bergerak laju, jelas tidak sabar nak jawab peperiksaan subjek undang-undang sambil buka buku.


. Ya, sepanjang empat tahun pengajian, kami dibenarkan membuka buku untuk menjawab soalan peperiksaan. Tapi bukan semua buku ya. Buku tertentu sahaja yang dibenarkan. Argh..selagi namanya open book, tak kisah la buku apa pun. Janji dapat buka buku. Yey!!

Perkara ini memang saya tunggu sejak di Pusat Matrikulasi bila kawan saya yang dapat masuk ke Kampus Utama awal satu semester dari kami memaklumkan berita gembira tak diduga ini. Tak sabar sungguh rasanya nak jawab peperiksaan sambil buka buku. Mudah benar. Tak perlu saya belajar sebab jawapan semua mestilah sudah ada dalam buku, kan?

Bila tiba masanya, barulah saya tahu bahawa buku yang dimaksudkan adalah Akta. Pernah lihat Akta? Sepanjang pengajian, buku-buku akta ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup kami:

Penal Code (Kanun Keseksaan), Criminal Procedure Code (Kanun Prosedur Jenayah), Akta Kontrak, Perlembagaan Persekutuan, Akta Mahkamah Kehakiman, Kaedah-Kaedah Mahkamah, Kanun Tanah Negara etc.

Setiap satu mata pelajaran mesti ada perundangan utama untuk dirujuk sebagai autoriti bagi suatu undang-undang.

Contohnya, bagi subjek Undang-Undang Jenayah kami diminta membawa Kanun Keseksaan sebagai rujukan utama. Kanun Keseksaan ini mengandungi sebanyak 511 seksyen. Kesalahan bagi kes bunuh termaktub di dalam seksyen 300 dan 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Maka, tidak dapat tidak pelajar mesti menghafal beberapa peruntukan khusus yang penting di dalam Akta. Bukan semberono membawa masuk Akta ke dalam dewan peperiksaan tanpa mengetahui peruntukan mana yang harus digunakan untuk menjawab soalan kelak.

Tanggapan saya bahawa tak perlu belajar teruk sebab boleh buka buku semasa peperiksaan ternyata meleset. Jika tidak belajar, mana nak tahu peruntukan mana yang sesuai digunakan untuk menjawab soalan peperiksaan.

Dengan membawa buku akta ke dewan peperiksaan, pelajar dapat memberikan autoriti yang tepat untuk dipadankan dengan kes atau soalan yang dinyatakan di dalam kertas soalan. Hurai sikit peruntukan seksyen berkaitan, kemudian masukkan satu dua kes bagi menyokong pendapat kita dan siap!

Ada juga kawan-kawan yang nakal dengan menulis nama kes di celah-celah tulisan di sebalik akta yang tebal. Saya tak pernah cuba sebab nak cari peruntukan pun dah ambil masa, apatah lagi nak cari “toyol” di sebalik peruntukan akta yang tebal. Buang masa.

Tapi yang tak best adalah peperiksaan bagi subjek undang-undang paling lama. Tiga jam setengah. 15 minit pertama untuk membaca soalan, tiga jam untuk menjawab soalan. Lazimnya, ada 5-6 soalan dan pelajar boleh pilih 3 soalan dengan setiap satu diberikan 30 markah.

Thursday, July 14, 2022

Aidiladha

Ibadat korban pada tahun ini dilakukan di kampung Permatang Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang. Sama seperti tahun lepas. 

Jujurnya, saya lebih suka melakukan ibadah korban di kampung halaman. Rasa puas dapat sedekah daging korban pada jiran-jiran, terutamanya yang kurang berkemampuan.

Tahun ini, ramai juga jiran yang buat kenduri korban. Pada hari raya kedua sahaja, ada tiga kenduri di sekitar kawasan rumah saya di kampung. Tentulah saya hadir ke kenduri yang terdekat terlebih dahulu iaitu jiran sebelah rumah.

Meriah sangat sebab jiran ini memang rajin buat kenduri, rajin masak, rajin buat makan-makan. Keikhlasan mereka dirasai saat menyuap nasi ke mulut. Jiran-jiran lain semuanya hadir dengan ahli keluarga seisi rumah. Ya, memang kami semua gantung kuali pada hari tu!

Dalam pukul 3+, saya sudah berjanji dengan jiran, Mak Piah namanya untuk ke rumah Paksu MakNjang Dadih. Semasa saya menjemput Mak Piah, Mak Piah tiada di rumah kerana menziarahi MakNgah Norma yang demam. Lama saya tunggu Mak Piah. Dalam pukul 4 barulah kami bergerak ke rumah Paksu. Kebetulan hujan sudah renyai-renyai.

Semasa tiba di rumah Paksu, tiada lagi kelibat tetamu yang hadir. Namun, Mama dan Mak Piah memujuk supaya kami menyantuni ahli keluarga Paksu yang sedia menunggu. Oh ya, MakNjang Dadih dah lama meninggal dunia.

"Tak makan pun takpa, sekurang-kurangnya kita datang sebab dah lama tak jumpa", begitulah adab orang kampung.

Hadir bagi menyantuni panggilan tuan rumah.

Ralit bersembang dengan Ustaz Bad yang mengajar saya semasa di tahun enam sekolah rendah dan kakak-kakak Paksu iaitu ustazah Masyitah, Kak Mazlina dan Kak Maziah. 

Lama sungguh saya tak berjumpa mereka. Tunggu kenduri kendara macam ni lah baru nak bersua muka.

Tak lama selepas itu, saya lihat satu kelibat yang sangat saya rindui sebaik sahaja sebuah Proton Exora berhenti di seberang jalan sana.

Masya Allah, lebih 10 tahun baru dapat jumpa kembali, Kak Mas yang telah bermastautin di Saudi.

Saya terkenang-kenang pertemuan dengan Kak Mas semasa menunaikan ibadah haji 11 tahun lepas. Saya baru mula kisah meloya apabila Kak Mas datang ke hotel dan membawa kek marble. Macam tahu-tahu saya kempunan "benda manis". 

Saya peluk Kak Mas. Erat. Kolam air mata tak dapat ditampung lagi dan ia turun bagaikan curahan hujan pada petang itu. 

Lega!

Allah aturkan pertemuan yang tak disangka-sangka.

Seronok dapat berjumpa orang kampung yang lama tak bersua.

Beza benar dengan suasana di bandar. Jiran sebelah rumah kenduri pun tak panggil kita tapi boleh blok parking kereta kita. Hemmmm... Tiada courtesy orang kata.

Kebaikan akan sentiasa dikenang. MakNjang Dadih selalu tolong Mama bila kami buat kenduri dulu-dulu. Mana mungkin kami melupakan jasa dan pengorbanan beliau.

Kak Mas dan Kakak (jiran sebelah rumah) juga adalah orang paling berbudi, rajin menolong dan ikhlas. Kebaikan mereka sentiasa dikenang.

Oh ya, panggilan orang kampung memang ada "pangkat" ya. Sama seolah-olah, kami satu keluarga yang besar!


Thursday, July 7, 2022

Perintah Bersih

Masa mula-mula Chambering dulu, staf RMH yang kendalikan kes kebankrapan ada minta pesanan jika saya ke Mahkamah Butterworth. 

"Kinah, kalau pi court Butterworth tanya sat, kami punya Perintah Bersih siap dak gi?".

Saya agak kebingungan kerana itulah kali pertama saya mendengar perkataan perintah bersih. 

Saya lihat mejanya. Tiada sebarang makanan yang tumpah. Kenapa dia failkan perintah bersih. Kotorkah perintah sebelum ini? Mungkin silap cop? Mungkin ada yang terconteng?

Dalam fikiran saya, perintah bersih berlawanan dengan perintah kotor. Ya, inilah punca bila belajar guna bahasa Inggeris lepas tu terjemah secara literal sahaja. 

Bukan Pensyarah tak ajar, cuma itulah, dalam kelas Civil Procedure (CP) atau Prosedur Sivil, duduk depan pun boleh tertidur. Bosan yakmat! Dah chambering baru tahu kegunaan saman, affidavit, perintah, dll.

Malu nak bertanya lebih sebab kita ni kan graduan undang-undang. Ehem.. 

Nota: Pemfailan kertas kausa secara efiling diperkenalkan pada tahun 2017, sepuluh tahun selepas saya chambering. Sebelum efiling, peguam dikehendaki memfailkan deraf perintah secara manual di Mahkamah. Apabila sudah disemak, peguam akan failkan semula perintah ini. Perintah Bersih adalah perintah yang telah disemak Pendaftar dan ditanda meterai Mahkamah. Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai sealed copy atau fair copy.

Pertama Kali ke Mahkamah

 Kali pertama saya ke mahkamah, saya pergi seorang diri tidak berteman.

“Kinah, esok ada kes kat Butterworth, SP dan BM. Kinah dah short call kan semalam? By right dah boleh appear depan Magistrate Court,” laju sekali En Rahim beri pandangan.

Saya yang masih terkulat-kulat mencari jawapan dan kekuatan hanya mengiakan pandangan En Rahim yang masih kabur di mata saya.

Saya diberi pilihan antara ketiga-tiga mahkamah tersebut dan saya memilih Mahkamah Butterworth kerana sudah tahu lokasinya di mana. Ia terletak di laluan utama Jalan Butterworth-Kepala Batas. Tak sangka, dulu semasa melalui jalan ini, saya hanya terdetik untuk masuk ke mahkamah ini. Setelah bertahun lamanya, tercapai juga impian untuk masuk mahkamah.

“Tapi kes kat Butterworth esok di Mahkamah Sesyen tau. Chambering tak boleh appear depan Session Court,” sambung En Rahim yang masih tercari-cari kertas dan pen di dalam bilik beliau untuk memulakan lakaran.

“Hakim Sesyen akan duduk kat sini. Ini kandang saksi. Ini kandang tertuduh. Tempat peguam depan sini, kiri atau kanan. Sini pulak tempat jurubahasa,” sambil melakar kedudukan mahkamah, En Rahim beri arahan pada saya.

Itulah satu-satunya lukisan cakar ayam yang saya faham dalam keterpaksaan. Saya membayangkan kedudukan mahkamah moot di AIKOL.

“Sampai je kat mahkamah nanti, cari peguam untuk tolong sebut kes ni. Ni status dia,” borang laporan kes yang ditampal di depan fail dikemaskini statusnya di depan saya.

“Nanti Kinah duduk kat kerusi ni,” ujar En Rahim kembali melakar kedudukan mahkamah yang rupanya masih belum lengkap.

Nampaknya saya sudah tak boleh elak. Memang kena pergi Mahkamah juga esok ni. Fikiran saya masih bercelaru. Takut pun ada sebab saya belum pernah jejak kaki ke mahkamah sebenar.

Meskipun lukisan tersebut layak dikategorikan sebagai lukisan cakar ayam, saya ambil juga buat simpanan dan rujukan untuk ke mahkamah esoknya. Ya lah, En Rahim tu peguam, bukan arkitek nak lukis cantik-cantik dan sama paksi simetri.

Gulp.

Hati gembira dan teruja menerima tugasan pertama ke mahkamah. Dalam masa yang sama, saya juga bimbang terlewat atau tersilap.

Ala, baru chambering. Mesti Hakim faham.

Saya cuba menenangkan diri sendiri. Jika tidak ambil tugasan ini, rugi lah saya buat chambering tapi tempat peguam beraksi pun tak pernah jejak. Apa guna jadi peguam jika kaki tak pernah jejak ke mahkamah. Ewah..

Wednesday, July 6, 2022

Final Destination

Sebenarnya bila taksub pada undang-undang (dan pelajaran), ada kemudaratan juga. Semasa di tahun pertama, kami telah mempelajari undang-undang tort. Dalam subjek undang-undang tort, terdapat satu tajuk yang mengerikan bagi pelajar undang-undang iaitu pengiraan damages atau pampasan. Bab kira je berpeluh. Asal kira je salah. Begitulah minda pelajar undang-undang yang terhijab dengan angka.

“Kalau kami minat kira-kira, kami ambil kursus perakaunan, bukan undang-undang!”.

Ini adalah pembelaan paling bermerit di kalangan pelajar undang-undang. Sebolehnya tak mahu tahu menahu bab kira-kira ni.

Malangnya, baru masuk tahun pertama sudah kena kira.

Pengiraan damages ni menarik juga. Ini disebabkan ia melibatkan ganti rugi tauladan dan beberapa jenis ganti rugi yang boleh dituntut sekiranya kita terlibat dalam kemalangan atau kerugian disebabkan kecuaian Defendan.

Oleh kerana bab kira-kira ni ramai yang gagal kira dengan betul, maka Pensyarah terpaksa mengulang bab ini sehingga pelajar betul-betul mahir. Siap ada homework untuk balik kira damages. Kira, kira dan kira.

Saya terlalu terbawa-bawa dengan pengiraan ini sehinggakan semasa rakan sebilik mengajak saya menonton filem Final Destination, saya mengira berapa kerugian yang ditanggung akibat kemalangan kayu balak yang terjatuh dari lori trailer.

Filem itu sepatutnya filem aksi dan ngeri. Tapi saya tukarkan filem itu menjadi satu tutorial kelas tort untuk kira berapa pampasan yang boleh dituntut daripada pemilik dan pemandu lori.

Rupa-rupanya, seronok juga membuat kira-kira ini. Cerah biji mata. Er, cerah biji mata atau saya sudah mula bermata duitan (akibat kira duit klien).

Tuesday, July 5, 2022

Setelah Sebulan

Alhamdulillah.

Genap sebulan di bawah pemantauan Coach, sudah cukup pengalaman untuk dibukukan.

Hari ini godek-godek laptop, baru terjumpa manuskrip dua buku kisah hidup peguam cabuk yang telah lama dihasilkan di minda.

Beberapa entri akan disunting semula untuk disesuaikan dengan deraf manuskrip sebelum ini.

Syukur kerana akhirnya, lebih 30 entri dilakar jua instead of just dok dalam kepala.

Bukan tiada idea, tapi ia berselirat. Tak tahu nak bermula dari mana ke mana. Dengan bantuan Coach, nampak jelas hala tuju.

Begitulah hidup ini. Perlu ada panduan dan didikan. Tak semua benda kita mahir.

Saya lebih rela membayar yuran kepandaian daripada yuran kebodohan sendiri.

Konsep yang sama jika kita tidak mahir undang-undang, maka carilah seorang peguam untuk khidmat nasihat. Jika merasakan bayaran khidmat guaman itu tinggi, belajarlah sendiri sehingga jadi peguam! 

Mooting

Mooting merupakan satu skil yang perlu dikuasai seorang peguam. Skil berdebat. Lain macam bunyinya. Macam nak galakkan orang "gaduh".

Mooting ni biasanya adalah kemahiran yang diasah sejak belajar undang-undang. Bila sudah belajar beberapa subjek undang-undang dan dapat kuasai prinsip sesuatu undang-undang, maka dengan mudah kita dapat "mewakili" anak guam dalam pertandingan mooting.

Saya pernah mewakili anak guam olok-olok semasa di tahun tiga. Pertandingan Syariah Moot. Mudah bagi saya kerana kes yang terlibat adalah kes di bawah ruang lingkup undang-undang keluarga yang menjadi subjek kegemaran saya.

Melalui mooting, pelajar akan mendapat kes sebenar dan akan mewakili anak guam di Mahkamah olok-olok. Di situ pelajar akan mengasah bakat untuk berhujah di hadapan Yang Arif Hakim.

Kumpulan kami diwakili 4 orang. Untuk peringkat pertama, kami akan mewakili Defendan untuk kes cerai. Menang di peringkat ini, kami mewakili Plaintif kes lain pula iaitu kes penjagaan anak. Hakim pada waktu itu adalah barisan pensyarah dan tutor. Merasalah juga berhujah di hadapan hakim.

Kami turut dikehendaki menyediakan hujahan bertulis, ikatan autoriti dan hujahan lisan. Betul-betul sama seperti peguam yang sudah beramal.

Sayangnya pada zaman saya belajar, mooting ini bukan satu subjek wajib. Ia hanya dijadikan pertandingan. Ia bergantung kepada pelajar untuk sertai atau tidak. Jika malas, tak perlu sertai pun pertandingan ini.

Bagi saya, sebelum menjalani tempoh latihan dalam kamar selama 9 bulan, seseorang pelajar undang-undang perlu melengkapkan diri dengan ilmu berhujah dan penyediaan kertas kausa sebagaimana dalam moot.

Saya bersyukur kerana penyertaan di dalam pertandingan moot menjadi salah satu sebab saya mudah diterima bekerja. Ya, sebab sijil penyertaan saya menunjukkan kami bukan setakat peserta biasa sebaliknya kami berjaya hingga ke peringkat akhir. Kami mendapat tempat kedua di pertandingan akhir, tewas dengan pasukan pendebat UIA.


Keratan Sijil Penyertaan

Monday, July 4, 2022

Manusia Berbaju Putih

Hari ini saya meneruskan tugasan membawa sebilangan pegawai baharu untuk slot ke Mahkamah. Dalam perjalanan, kelihatan segerombolan manusia berbaju t-shirt putih yang berjalan kaki dari Selera Duta ke Mahkamah Jalan Duta.

Salah seorang pegawai baharu bertanya kepada saya mengenai kumpulan baju putih.

Tekaan saya, ada kes ahli politik barangkali. Mereka kebiasaannya akan mengupah "penyokong" setiap kali hadir ke mahkamah.

Tepat sekali, ada satu kes yang didaftarkan di Mahkamah Tinggi Jenayah. Kes seorang ahli politik bertaraf menteri dengan 27 pertuduhan jenayah.

Barangkali mereka sudah terbiasa hidup dikelilingi penyokong maka apabila kes di bawa ke Mahkamah juga, mereka masih memerlukan penyokong untuk berdiri dengan kuat (dan tabah).

Saya sebenarnya kasihan melihat penyokong upahan ini. Mereka level ibubapa saya. Sepatutnya mereka hanya duduk di rumah menanti imbuhan anak-anak. Tidak perlu menghadap Pak Menteri kaki korupsi. Tapi begitulah, rezeki masing-masing tidak sama. Barangkali si anak juga mempunyai kekangan tersendiri untuk menyara ibubapa.

Pernah sekali saya singgah di Selera Duta untuk membeli makan tengahari. Di hadapan saya, berdiri seorang lelaki warga emas. Lama beliau memerhati lauk pauk untuk diisi. 

"Lauk ni berapa?" tanya beliau kepada penjual.

"Telur ini RM3" jawab penjual sabar. 

Beliau mengambil tiga jenis lauk telur semuanya. Telur goreng RM2.00, telur itik masak lemak RM3.00 dan telur puyuh RM5.00. Wang kertas berwarna merah akhirnya bertukar tangan dan beliau berlalu pergi.

Saya hanya sempat membelek tulisan kecil di belakang baju tshirt beliau. Kelihatan logo sebuah parti politik. Maaf, saya bukan anti-politik, cuma saya sering terlihat mereka ini sering dipergunakan di depan mata saya.

Entahlah, fikiran saya pada ketika itu cuma melihat soal kebajikan beliau dan upah yang diterima. Berapalah agaknya upah penyokong orang politik di mahkamah ya? 

Sunday, July 3, 2022

Pandangan Seorang Peguam

Jujurnya, sudut pandang seorang peguam selalu akan melihat dari dua sudut yang berbeza meskipun dia mewakili hanya seorang anak guam.

Semasa belajar undang-undang dahulu pun begitu. Kami akan belajar prinsip asas kenapa undang-undang itu adalah begitu dan pengecualian kepada sesuatu prinsip asas undang-undang (exception to the general rules).

Misalnya, umum mengetahui bahawa membunuh adalah satu kesalahan jenayah yang termaktub dalam Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Namun, jika pembunuh membuktikan bahawa beliau membunuh untuk membela diri akibat provokasi atau mempertahankan diri, ia akan termasuk dalam kesalahan di bawah kategori lain.

Pemikiran seorang peguam akan sentiasa berfikir di luar kotak. Sudut pandang yang berbeza ini sukar difahami orang awam menyebabkan peguam sering ditohmah.

Saya sendiri akan melihat sesuatu itu daripada sisi hitam dan putih. There's no right or wrong. Sebelum ulas sesuatu, baca fakta yang dikemukakan kedua-dua pihak dan nilaikan. Jangan percaya kepada hanya satu pihak sahaja kerana naratif yang dibawanya adalah untuk kemenangan dirinya, bukan keadilan untuk orang lain.

Dacing

Bentuk bangunan struktur Mahkamah sebenarnya adalah berasaskan kepada simbol dacing, lambang keadilan dan kesaksamaan.

Tangga di bahagian tengah bangunan. Mahkamah di bahagian kiri dan kanan.


Thursday, June 30, 2022

Kebajikan Anak-anak

"Welfare of the children is the utmost important".

Terngiang-ngiang ayat ini dalam kepala apabila mengenangkan kisah perceraian yang sering menjadi topik dalam akhbar harian. 

Mak ayah nak bercerai, silakan. Tapi fikirkan tentang kebajikan anak-anak.

Saya pernah bertanya seorang anak yang kelihatan sangat ceria orangnya, suka tinggal dengan Umi atau Papa?

Lama beliau terdiam. Fikir sejenak meskipun baru di tahun satu.

"Afif suka dua-dua. Macam dulu-dulu".

Lantas cerianya hari tu hilang. Rasa bersalah menyelubungi saya. 

Argh..mengapa aku bertanya soalan tersebut???

Dalam kebanyakan kes berkaitan hak penjagaan anak, baik di Mahkamah Syariah mahupun Mahkamah Sivil, apa yang akan Mahkamah tentukan adalah, kebajikan anak-anak itu sendiri. 

Kebiasaannya, ibu diberikan hak penjagaan anak. Ini kerana sifat ibu yang penyayang secara semulajadi. Rahimnya ibu kerana anak itu lahir daripada rahemnya.

Sedih bila anak-anak dijadikan piala untuk diusung mereka yang tewas dalam mempertahankan perkahwinan. Kamu dan kamu yang tidak sehati sejiwa, kenapa biarkan anak kecil terpalit sama?

Kes larikan anak daripada bekas pasangan, tak bayar nafkah anak sebab tak dapat jumpa anak, abai kebajikan anak-anak dsb. Dan terbaru, ramai menghukum seorang ahli perniagaan yang penjarakan isteri kerana mengubah waktu lawatan anak. 


Adil

Ramai orang ke mahkamah sebab nak dapatkan keadilan. Tapi tak ramai yang ambil tahu, apa maksud adil sebenarnya.

Adil ini, menurut ustaz saya, adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bukan hak sama rata. 

Jika adil itu hak sama rata, maka pihak-pihak yang lawan di mahkamah akan mendapat bahagian masing-masing.

Sedangkan, keadilan itu perlu diadili seorang yang bijaksana. Dalam konteks Mahkamah, seorang hakim yang turut dipanggil Yang Arif.

Panjang nak hurai bab ni. Tapi sejak mengetahui makna sebenar adil, saya bersikap adil kepada diri sendiri dan orang sekeliling. 

Menjadi seorang ketua, perlu berlaku adil pada orang bawahan. Setiap perkara harus diawasi, dikawal dan diberi pertimbangan sewajarnya selepas melihat situasi menyeluruh. 

Sebagai seorang ibu, perlu bersikap adil terhadap anak-anak. Bukan bermaksud memberi sama rata kepada setiap anak. Tetapi harus menggunakan kebijaksanaan dalam mengurus anak-anak. Jika berlaku adil bermaksud memberi hak sama rata, anak yang di sekolah rendah akan dapat wang saku yang sama dengan anak di sekolah menengah sedangkan perbelanjaan di sekolah rendah tidak sebanyak belanja di sekolah menengah.

Adil juga bermaksud tidak berat sebelah. 

Adil.

Ia satu perkataan ringkas tapi untuk memahami dan melaksanakannya perlu hikmah yang tersirat.

Wednesday, June 29, 2022

Anak Angkat

Pertama kali saya melihat bayi dibawa masuk ke mahkamah. Itu pun asalnya saya tak perasan langsung. Sikit bunyi pun tak dengar dari bayi tersebut. Yang membuatkan saya tertarik untuk melihat ke arah bayi itu dan pasangan yang membawa bayi itu sendiri.

Biasanya mereka yang ada urusan di Mahkamah akan cuba berpakaian seformal yang mungkin. Tapi lelaki di sebelah saya ini hanya memakai t-shirt usang dan seluar pendek paras lutut.

Pasangannya juga berpakaian sama. Tubuh mereka berdua agak gempal. Dari raut wajah dan bentuk tubuh, saya anggarkan mereka dalam lingkungan umur hujung 30-an. 

Saya turut perhatikan si bapa yang beria bermain dengan bayi. Diagahnya manusia di dalam balutan itu meskipun sedikit suara pun saya tak dengar. Biasanya bayi kalau diagah bunyi jugak suaranya.

"Er, tahulah seronok dapat anak tapi tak perlu la main cukcak dalam mahkamah", hati saya mendengus kepanasan. Sebenarnya panas tunggu pihak lawan. Kes boleh selesai cepat tapi sebab tunggu 'diva' jadi lambat kes dipanggil.

Mahkamah tersebut sebenarnya tidak sesibuk mahkamah lain. Setakat yang yang hadir kes sebelum ni, hanya ada tiga empat kes pada sesi pagi. 

Mungkin hakim akan sibuk sesi petang dan tengahari.

Berbalik kepada bayi tadi, saya dapat lihat dia dikendong penuh kasih sayang oleh si ibu. Kain berwarna biru muda membaluti tubuhnya dengan sangat kemas. 

"Ibu ini betul-betul menjaga bayi ni daripada kesejukan pendingin hawa mahkamah", getus hati kecil saya.

Sesekali mulutnya dicium ke pipi si bayi. Tubuh bayi dipeluk rapat. 

Si bapa pula bergilir memegang bayi. 

Saya sebenarnya pelik dengan situasi tersebut. Jarang saya lihat aksi begitu di dalam Mahkamah. Bukan jarang, inilah kali pertama saya lihat bayi dibawa ke Mahkamah.

Apabila kes dipanggil, barulah saya tahu bahawa ia adalah satu proses untuk pengangkatan anak.

Saya dapat melihat pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat membawa fail berisi maklumat penting tentang pengangkatan anak itu. Tidak pula saya menyapa beliau, bimbang maklumat sulit terdedah.

Beruntunglah bayi yang "diangkat" ini. Semoga nasibnya lebih baik bersama ibu bapa baharu.

Dalam hati, saya bersyukur kerana dapat melahirkan zuriat sendiri. Yang marah-marah sebelum ke mahkamah tadi, saya telan sendiri. Semoga selepas ini saya lebih mensyukuri nikmat Ilahi - anak!




Penyusun Fail Kehormat

Antara kerja-kerja saya yang awal semasa mulakan latihan dalam kamar adalah menjadi penyusun fail kehormat.


Arahan bos adalah supaya saya dapatkan fail bagi kes yang telah difailkan ke Mahkamah, susun ikut tarikh sebutan. Susun untuk seminggu terus supaya senang nak atur jadual mahkamah para peguam.


Tugas ni lebih mudah bagi saya berbanding tugas menulis cek dan kad AR Berdaftar. Ya, pelatih dalam kamar buat kerja kerani juga awal-awal latihan. Ini belum termasuk lipat surat, jawab panggilan telefon dan sebagainya.


Perkara-perkara yang saya pelajari semasa latihan dalam kamar banyak saya gunakan kembali dalam pekerjaan saya selepas latihan dalam kamar.


Hantar surat? Tak perlu tunggu staf. Boleh saja buat sendiri jika terdesak. Bila dah terbiasa buat kerja dari bawah, kita tidak lagi kekok. Letak di mana-mana pun kita mampu bertugas dengan baik. Tak perlu "bossy" sangat mengarah itu dan ini.


Berbalik kepada tugas seorang penyusun fail, awal-awal buat tugas ni sangat mencabar rasanya. Nak cari fail, nak minta fail dari staf, nak susun fail ikut tarikh, nak tengok status fail, nak kemaskini diari mahkamah dan sebagainya.


Selepas short call, saya akhirnya dapat jua untuk appear di hadapan majistret atau hakim dalam kamar. Maknanya, saya juga berpeluang seperti peguam untuk mengendalikan fail firma.


Maka, susunan fail tadi sangat membantu dalam urusan harian bagi sebutan kes di mahkamah. Peguam dah tahu fail di mana. Jadi, peguam boleh menyemak fail sebelum ke Mahkamah. Barulah kes tidak dibuang kerana peguam boleh menyemak fail sebelum ke mahkamah dan kemaskini fail mengikut status terkini.


Perkara yang sama saya lakukan di Unit kecil saya sekarang ini. Semua fail bagi tarikh sebutan seminggu akan diletakkan di satu rak yang mudah dicapai. Peguam dan penyedia ada akses ke atas fail untuk semak status terkini sebutan tarikh sebutan kes.


Hal ini saya laksanakan setelah terlalu banyak kes yang difailkan tetapi tidak berjaya serahan. Bila semak rupanya dah serah tapi tiada afidavit difailkan. 


Sesuatu pekerjaan akan lebih mudah jika ia dibuat secara berpasukan. Kerjasama berpasukan ini penting supaya setiap pihak melakukan tanggungjawab masing-masing dan memainkan peranan signifikan ke atas kejayaan Unit.

Peguam JID

Hanya bunyi pendingin udara yang mengisi suasana pagi ini. Penjarakkan sosial yang diamalkan (dan diamarankan) menyebabkan suasana begitu sunyi. Biasanya para Peguam akan berbual dengan rakan bijaksana yang duduk di sebelahnya.

Tettt..bunyi loceng Mahkamah mengejutkan saya yang masih leka mendengar jarum jam berdetik dan pendingin udara yang seakan berusaha memberi khidmat terbaik untuk menyejukkan suasana pagi itu.

Kelihatan seorang perempuan bertubuh kecil bertudung hitam melangkah masuk dan memberi hormat.

Kes dibacakan oleh Jurubahasa yang berada di depan Hakim bertudung hitam tadi.

"Kes nombor satu dalam senarai, BA-B51NCvC-01/2021, Kerajaan Malaysia v ABC Sdn Bhd".

Saya lantas bangun memohon izin Mahkamah, memperkenalkan diri dan peguam pihak lawan.

Kemudian, pihak-pihak memaklumkan kepada Mahkamah status kes yang kami kendalikan.

"Tiada penyelesaian yang dicapai antara pihak Plaintif dan Defendan".

"Oleh itu, pihak Plaintif akan memfailkan Permohonan Penghakiman Terus".

Begitulah tugas saya sebagai peguam kerajaan.

Penghakiman terus bukan bermaksud terus boleh masuk penghakiman. Sebaliknya ia dibuat melalui pertukaran afidavit sahaja. Tiada bicara (untuk panggil saksi). Ia lebih mudah.

Dahulu semasa menjadi peguam panel bank, kami dikenali sebagai peguam JID. Juga satu kerja yang mudah. Orang kata kes straight forward menang kat bank akibat terma yang telah dipersetujui pelanggan.

Struktur Mahkamah

Dari segi fizikal, bangunan Mahkamah rendah di Selayang, Bandar Baru Bangi, Sungai Petani dan Bukit Mertajam adalah hampir sama. Ia terdiri daripada dua blok bangunan yang terpisah dengan kedudukan tangga di bahagian tengah bangunan. Perbandingan ini berdasarkan kehadiran saya ke kompleks mahkamah tersebut untuk mengendalikan kes dan berdasarkan ingatan saya ketika menulis perkara ini.

Secara ringkasnya, hierarki Mahkamah terdiri daripada:

1) Mahkamah rendah, 

2) Mahkamah tinggi dan 

3) Mahkamah rayuan 

yang mempunyai bidang kuasa yang berlainan. 

Mahkamah rendah menempatkan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret. Manakala mahkamah tinggi menempatkan Mahkamah Tinggi itu sendiri.

Mahkamah rayuan pula melibatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Dari segi bidangkuasa, Mahkamah Majistret mempunyai bidang kuasa bagi kes sivil melibatkan tuntutan tidak melebihi RM100k. Tuntutan melebihi RM100k hingga ke RM999,999.99 adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Sesyen, manakala bidangkuasa Mahkamah Tinggi adalah bagi kes melibatkan tuntutan RM1juta ke atas.


Sijil Cuti Sakit

Setiap kali pengurusan kes di mahkamah, kehadiran kedua-dua pihak iaitu Plaintif dan Defendan adalah diwajibkan.

Sekiranya salah seorang tidak hadir, kes tidak dapat diteruskan.

Mana mungkin Mahkamah mendengar hanya daripada satu pihak sahaja. Boleh jadi dia menokok tambah cerita. 

Namun begitu, ada pihak yang suka menangguh kes dengan cara mendapatkan sijil cuti sakit setiap kali kes dipanggil. 

Dalam keadaan yang lebih ekstrem, pihak yang tidak bersedia (dengan hujahan atau cuti sakit), sanggup membuat panggilan palsu ke Mahkamah bahawa, ada bom di Mahkamah!

Maka mahkamah akan ditangguhkan sehingga pasukan SMART mengesahkan bahawa panggilan tersebut adalah ancaman palsu semata-mata.

Tapi kini saya jarang dengar kes ditangguh disebabkan ancaman bom di Mahkamah. Mungkin telefon awam kebanyakkan rosak. Atau mungkin juga sudah banyak teknologi untuk mengesan panggilan palsu.

Legal Eagle

Seorang pensyarah di Akademi pernah menduga kami, para peguam yang ditempatkan dalam satu kelas yang sama untuk mencari satu isu dalam kes yang baru dibentangkan.

Saya masih ingat kata-katanya, 

"K'mon, you all legal background. Mesti dapat jumpa poin penting tu".

"Pernah dengar orang sebut legal eagle?"

"Mata orang law mesti cepat dapat tangkap macam helang cari mangsa!".

Beliau tak henti beri motivasi.

Jujurnya, itulah kali pertama saya mendengar perkataan legal eagle dalam hidup. 

Tahun berikutnya, saya mendengar kuliah seorang ustaz berkenaan hayat si helang yang apabila menjelang umur tua, si helang akan menghilangkan diri. Ia akan membiarkan paruhnya patah, sayapnya tercabut dan bulu-bulunya luruh supaya ia akan datang semula dengan "set" serba baharu! Paruh yang patah akan tumbuh berganti, begitu juga dengan bulu dan sayap.

Ia akan come back dengan lebih tangkas.

Begitulah saya kira resmi seorang manusia. Bezanya, apa yang ada pada kita kebanyakannya tidak lagi tumbuh berganti. Namun, kita boleh menjadi seorang yang lebih baik dari yang sebelumnya apabila mencapai satu usia tertentu. Dalam konteks ini, usia 40-an.


LAROW

LAROW ini merupakan satu terma yang saya pelajari dari kelas Undang-Undang Tanah @ Land Law.

Pensyarah saya, Prof Hunud adalah seorang pensyarah berbangsa asing yang mempunyai loghat English yang agak berbeza, yang mana jika muka kami berkerut akibat tidak faham perkataan tersebut, beliau akan sebut berulang kali hingga ia melekat dalam kepala ke saat ini. Prof Hudud adalah jelmaan pelakon Hollywood, Morgan Freeman. Begitulah rupa beliau bagi saya yang tidak pernah berjumpa bangsa Afrika sebelum ini.

LAROW ialah singkatan kepada Land Administrator Right of Way. Maksudnya, jalan-jalan kecil yang kita lalui di kampung. Jika tidak, bagaimana pemilik tanah lot di belakang mahu akses ke tanah beliau?

Hari ini ketika memberikan taklimat berkaitan kaveat untuk pegawai baharu, saya lihat mereka ternganga apabila saya menyebut beberapa terma yang dipelajari semasa mengambil subjek Land Law dahulu.

Mereka teruja dengan perkataan- kaveat, larow, leave dan lain-lain. Sengaja saya mengajar perkara di luar outline kursus kerana masing-masing kelihatan mengantuk ketika menghadiri kelas sesi petang.

Sunday, June 26, 2022

Contempt of Court

Saat kereta menyelusuri papan tanda "Taiping" di Lebuhraya Utara Selatan, saya terkenang kisah silam ketika chambering.

Saya ditugaskan untuk mengendalikan satu kes di Mahkamah Tinggi Taiping. PDK hanya boleh mengendalikan kes dalam kamar di Mahkamah Tinggi.

Oleh kerana kes tersebut hanya di peringkat pengurusan kes yang biasanya dijalankan dalam kamar dan kebetulan juga tiada peguam sekitar Taiping yang boleh tolong sebut bagi pihak, maka saya dengan berat hati mengusung fail kes yang berat itu ke Taiping.

Pengalaman beberapa kali mengendalikan kes di peringkat mahkamah rendah sebelum ini menyebabkan saya kurang bersedia. 

"Oh, fail ni mudah saja. Nanti minta tarikh untuk failkan deraf Perintah", pesan kakitangan firma.

Minta tarikh saja. Bukan bicara. Mudah sangat. Tak perlu buka fail tebal ini. Sebelum ni pun kalau nak minta tarikh, ia satu proses yang sangat mudah.

Tidak saya menduga, kes di depan Yang Arif lain fe'elnya. Yang Arif bertanya beberapa soalan penting yang tidak dapat saya jawab. Ya lah, saya tak bersedia!

Saya hanya percaya pada kata-kata staf tanpa menyelak fail. Teruk juga saya dimarahi Yang Arif. Menitik juga air mata chambee ni. Padan muka.

Ia satu pengajaran yang sangat berguna kepada saya. Sentiasa bersedia, study fail, baca dari kulit ke kulit, pastikan tiada sebarang ketidakpatuhan terhadap dateline mahkamah. Jika ada ketidakpatuhan prosedur, cepat-cepat failkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran mahkamah.

Begitulah berharganya satu pengalaman pahit. Cukuplah sekali saya alami. Ia menjadi kenangan yang diingati sampai bila-bila.

Mahkamah pada ketika itu hampir nak sabitkan saya menghina mahkamah (contempt of court). Mujur status pelatih dalam kamar menyelamatkan saya.


Saturday, June 25, 2022

Minat

Baru-baru ini aku membaca sebuah buku berjudul "Grit".  Grit ni tiada definisi khas. Namun setelah selesai menghabiskan buku ini, aku boleh simpulkan bahawa grit membawa maksud kecekalan, ketabahan, semangat, kegagahan, tetap pendirian, keazaman, tekad dan minat. (Carian di rujukan rasmi persuratan Melayu tidak menjumpai makna yang sama dengan grit namun khazanah bahasa kita lebih luas maksudnya.

Ada satu poin menarik yang aku ingin kongsikan iaitu minat. Minat ni akan mendorong seseorang untuk kekal melakukan sesuatu dengan lebih baik secara konsisten.

Bukan apa, ada ibubapa yang mahukan supaya anak mereka menjadi peguam - meneruskan legasi dalam keluarga sedangkan anak mereka tidak minat. 

Bila tidak minat, segala usaha dibuat sambil lewa, tidak bersungguh-sungguh. Semua tugasan dirasa beban, pelajaran dianggap sukar. 

Bagi aku, bila di peringkat menengah atas iaitu tingkatan 4 dan 5, anak-anak sepatutnya sudah tahu hala tuju masa depan. Aliran sains atau sastera, sekolah elit atau sekolah biasa, universiti awam atau luar negara—sepatutnya di peringkat ini anak-anak sudah tahu nak jadi apa, bukan lagi berdasarkan telunjuk ibubapa. Anda sudah remaja, sudah boleh menimbang tara keputusan hidup di hari muka!

Bebanan selepas itu lebih kental dan menduga sifatnya. Jika tiada minat, usaha juga tiada. Prestasi akan merudum akhirnya tak jadi apa-apa. Rugi masa remaja dan belia.


Friday, June 24, 2022

Kutu Haram Kutu Halal

Ramai yang salah anggap bahawa kutu tradisional pun menyalahi akta.

Saya pun sama sebenarnya sebab saya pun tak bukak akta tersebut sehinggalah suatu hari suami maklumkan ia tidak termasuk dalam akta.

Masa tu saya baru tahu, Akta Larangan Kumpulan Wang Kutu ni ditadbir oleh eSeSeM. 

General rule dia, kalau tiada elemen komisyen Ibu Kutu, ia tidak dilarang. 

Kutu tradisional, sebagaimana yang semua tahu, dikelola oleh seorang Ibu Kutu. Ibu Kutu tidak terima komisyen. Kalau main kutu moden yang melibatkan komisyen kepada Ibu Kutu, itu tak boleh ya sayang.

Saya teringat masa kecil-kecil dahulu, setiap bulan Ibu Kutu akan buat cabutan. Semua jiran akan berkumpul di rumah Ibu Kutu. Selesai buat bayaran yg hanya RM10 sebulan, Ibu Kutu akan guna kertas putih untuk ditandakan nombor satu atau kosong.

Suasana sangat meriah saat Ibu Kutu membaling kertas-kertas kecil yang digulung memanjang seperti kepompong. Semua berdoa supaya mereka dapat nombor bertuah! Semua berebut-rebut kertas yang digulung mengikut jumlah peserta (akan berkurang bila giliran makin kecil).

Siapa yang dapat nombor bertanda tu, maka beliau akan mendapat duit kutu pada bulan tersebut.

Kutu pada masa lalu sebenarnya banyak membantu golongan ibu-ibu menyimpan. Ia juga mengeratkan hubungan sesama tetangga bila berkumpul setiap bulan untuk cabutan.

Kutu sekarang dah boleh booking nombor giliran siap-siap. Tiada majlis cabutan kutu (saya suka elemen suprise masa buka kertas cabutan). 

Namun begitu, yang terbaik adalah simpan sendiri.

Thursday, June 23, 2022

Tak Kompeten

Seringkali terbaca komen di media sosial bahawa peguam atau Pendakwa Raya tidak kompeten menjalankan tugas.

Ketahuilah, tugas sebagai peguam atau Pendakwa Raya bukan tugas mudah. Profesion ini bukan profesion tangkap muat. Semua bukti telah diperhalusi dan dikaji. Sekiranya kes tidak memihak kepada orang yang kita favour, tidak bermakna peguam atau Pendakwa gagal menjalankan fungsi mereka dengan baik.

Menang kalah sesuatu kes adalah berdasarkan kepada keterangan-keterangan atau bukti-bukti yang telah dipersembahkan di mahkamah. Majistret, Hakim atau pun Yang Arif sudah pasti bijak menilai dan membaca setiap pliding dan autoriti yang dikemukakan pihak-pihak.

Rakan-rakan yang beramal sebagai peguam dan bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya arif benar dengan keputusan mahkamah yang kadangkala tidak boleh dijangka. Jika yakin kes sepatutnya boleh menang, pihak yang tewas boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi bahawa Hakim atau Yang Arif telah khilaf dalam membuat keputusan.

NSA

23.6.2022


Wednesday, June 22, 2022

Legal Opinion

Legal opinion ni terjemahan kepada pendapat undang-undang. 

Pendapat undang-undang daripada seorang peguam amat berharga nilainya kerana mereka menulis berdasarkan fakta, melalui kajian dan menurut peruntukan undang-undang berkaitan. Pendapat undang-undang seorang peguam boleh jadi punca pendapatan peguam tau. Ada peguam yang caj perkhidmatan ini kerana beliau telah menggunakan masanya yang berharga untuk membantu klien atau bakal klien.

Saya mempunyai pengalaman membuat legal opinion semasa di tahun akhir seperti yang pernah dikongsi sebelum ini. Dalam masa-masa lain, kebanyakan pendapat mengenai undang-undang dirujuk secara asas, maka tidak pernah saya meminta bayaran daripada yang bertanya. 

Legal opinion seorang peguam mungkin berbeza di antara peguam A dan peguam B terutamanya jika mereka mewakili pihak yang berlawanan. Ia seumpama melihat gelas separuh penuh atau separuh kosong.

Peguam akan mencari autoriti atau fakta yang menyokong tindakan anak guam. Sekiranya tiada fakta yang menyokong tindakan anak guam, peguam akan menasihati anak guam untuk tidak meneruskan tuntutan atau tindakan.

Dalam blog ini, label legal opinion akan digunakan untuk menyatakan pendapat saya secara random berkenaan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian. 

Nak Jadi Peguam Syarie?

Minggu pertama di firma guaman semasa menjalankan latihan dalam kamar, saya dikehendaki berkenalan dengan semua peguam dan berjumpa dengan mereka. Firma saya terletak di unit kedai  dua tingkat lot tepi yang mana tingkat bawah mengendalikan kes hartanah atau bahagian conveyancing manakala tingkat atas mengendalikan kes ke mahkamah atau bahagian litigasi.

Semasa berjumpa senior yang mengendalikan kes hartanah, Kak Tee, beliau bertanya kepada saya bidang guaman yang saya hendak ceburi kelak.

"Sakinah minat bidang mana? Jenayah, litigasi atau hartanah?," soal Kak Tee ketika saya berada di bilik beliau petang itu.

"Saya minat membaca Jurnal Hukum. Saya rasa saya nak jadi peguam syarie," balas saya dengan gembiranya meskipun saya tahu, saya perlu tambah kelayakan untuk memohon sebagai peguam syarie Pulau Pinang.

"Apa? Peguam Syarie?", soal beliau terkejut.

Saya hanya membalas dengan senyuman. Saya minat subjek Syariah sejak ambil SPM dulu. Seronok bila belajar undang-undang alQuran, sebab musabab sesuatu ayat diturunkan, hikmah dan ibrah daripada alQuran. Undang-undang Tuhan kan, ia telah "digubal" sebaiknya untuk kepentingan manusia sejagat.

Namun begitu, realiti peguam syarie bukanlah melaksanakan undang-undang syariah itu. Sebaliknya, peguam syarie yang beramal di Mahkamah Syariah di Malaysia mewakili anak guam bagi kes keluarga; perceraian atau pusaka.

Kes perceraian dilapor di dalam Jurnal Hukum. Seronok baca sebab inilah satu-satunya laporan kes mahkamah dalam bahasa kebangsaan. Laporan kes lain adalah dalam bahasa Inggeris. Sukar nak faham masa awal-awal belajar dahulu.

Lagi pun, kes perceraian ni senang nak relate dengan kehidupan semasa sebab nampak jelas kronologi peristiwa dan fakta kes. Kes-kes lain kena selak nota untuk tahu prinsip undang-undang terlibat dan ia rumit.


Tuesday, June 21, 2022

Perlembagaan Persekutuan

Ini merupakan kitab utama setiap pelajar undang-undang.

Pensyarah saya pernah menyebut, jika orang Islam menggunakan kitab al-Quran sebagai panduan, orang yang belajar undang-undang di Malaysia pula perlu menggunakan "kitab" Perlembagaan Persekutuan sebagai panduan.

Kedudukan Perlembagaan Persekutuan ini adalah di tingkat yang teratas berbanding akta-akta lain yang digubal Parlimen. 

Saya tidak berhajat untuk menulis lanjut mengenai Perlembagaan Persekutuan kerana saya sendiri belajar undang-undang perlembagaan (Constitutional Law) selama dua semester semasa di UIA dahulu. Semester pertama adalah mengenai hak-hak asas yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan. Antaranya:

1) Kebebasan Asasi - Perkara 5;

2) Kebebasan Bersuara - Perkara 10; dan

3) Hak terhadap harta - Perkara 13.

Manakala semester kedua lebih terperinci perbincangannya.

Perlembagaan Persekutuan menggariskan hak dan undang-undang sebelum akta digubal. Sesuatu akta akan dikatakan tidak berpelembagaan sekiranya ia menzalimi rakyat. Ha, ini yang menarik ni. 

Pernah dengar Perhimpunan Bersih? 

Dalam kebanyakan kes, peguam akan berhujah bahawa sesuatu akta atau peruntukan akta itu tidak berpelembagaan kerana hak anak guam tertindas. 

Peguambela akan berhujah bahawa akta atau sesuatu peruntukan itu ultra vires perlembagaan. Maka, ia tidak wajar dikenakan hukuman. Ia dikatakan ultra vires perlembagaan apabila kesalahan atau hukuman yang dikenakan mengatasi peruntukan perlembagaan.

Subjek undang-undang Perlembagaan merupakan salah satu subjek paling dry - ia sangat membosankan kerana pelajar tidak nampak pemakaian undang-undang ini dalam kehidupan seharian. Tidak seperti subjek undang-undang lain yang melekat dalam realiti kehidupan.

Kami ditempatkan dalam Moot Court, sebuah dewan kuliah besar yang mengumpulkan pelajar dari beberapa kumpulan yang memenuhi segenap ruang kuliah. Pensyarah pula seorang yang berfikiran kritis dan telah menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat iaitu mengundi. Kebanyakan rakan saya berpendapat, subjek ini adalah antara cabang subjek undang-undang yang paling mengantuk dalam kelas.

Meskipun kelas mengantuk, saya teringat-ingat saat pensyarah menyebut nama kes Stephen Kalong Ningkan. Mungkin ketika itu saya juga mengantuk dan sedang transisi diri ke zon theta - 

"Experts believe that theta waves are important for processing information and making memories". 

Kes ini tidak berhantu atau menghantui saya. Namun ia tersimpan dalam memori otak yang paling dalam. Benarlah, jika pelajar tidur dalam kelas maksudnya otak tengah proses maklumat. Eh!

Sumber: PNMB

Monday, June 20, 2022

Tips Belajar

Semasa di tahun pertama, Unit Kaunseling dan Kerjaya UIA telah mengadakan satu sesi perkongsian dengan pelajar cemerlang merangkap peguam. Namun begitu, saya sudah lupa siapa empunya nama peguam yang sudi berkongsi kisah kejayaan beliau dengan kami kerana peristiwa ini berlaku 20 tahun yang lalu.

Sayangnya, program hebat ini hanya dihadiri saya, rakan baik dan seorang lagi pelajar. Kebanyakan pelajar terlepas info penting program ini kerana ia tidak dianjurkan oleh Kulliyyah.

Program diadakan di Lecture Hall 2 pada sesi petang. Kebiasaannya, kelas untuk Kulliyyah kami ditetapkan pada sesi pagi manakala sesi petang untuk tutorial. 

"Waktu belajar kita belajar, waktu tidur kita tidur, waktu main kita main," nasihat abang peguam kepada kami.

"Waktu belajar, kita belajar bersungguh-sungguh. Bersedia sebelum ke kelas. Buat pembacaan awal supaya lebih faham apa yang akan diajar pensyarah."

"Waktu tidur, tidur sungguh-sungguh."

"Saya akan tidur sebelum jam 12 malam, setiap hari. Saya tidak akan tidur melewati jam 12 meskipun esok adalah peperiksaan".

"Saya juga bahagikan masa untuk bersenam supaya badan kekal sihat dan cergas. Ingat, badan cergas minda cerdas!," begitulah beberapa perkongsian yang saya kutip dan amalkan sepanjang pengajian.

Berdasarkan pemerhatian saya, orang yang berjaya mempunyai jadual belajar/kerja yang sistematik. 

Orang yang berjaya bahagikan masa untuk beberapa aktiviti penting untuk kelangsungan hidup. Bukan hanya fokus belajar sebaliknya perlu bersenam dan bersosial. Hal ini penting untuk kesihatan mental dan fizikal.

Sunday, June 19, 2022

Buku-Buku Peguam dan Kisah Hidup

Bila dikumpul, rupa-rupanya saya sudah mempunyai lima buah buku berkenaan subjek kepeguaman dan kisah hidup peguam.

Buku "Apa Kes, Tuan" ditulis oleh rakan bijaksana yang satu batch dengan saya di UIA dahulu, Pak Syeikh nama glamer beliau. Kisah perjalanan hidup beliau yang bergelar peguam kerana memenuhi permintaan si ayah untuk beliau mengikuti kursus undang-undang. Buku ini diterbitkan oleh Studio Anai Anai.

Empat lagi buku lain diterbitkan oleh Penerbit yang sama iaitu ilhambooks.

Terus terang, yang paling saya suka baca adalah buku berjudul Peguam Kriminal dan Peguam Kriminal Extended. Saya berdoa selepas ini akan ada lagi buku daripada Penulis ini. Mungkin Peguam Kriminal Extended Reloaded dan Peguam Kriminal Extended Reloaded Renovated. Haha!

Saya akan review buku Peguam Kriminal Extended sebaik sahaja saya habis membaca kelak. Buku ini baru saja diterbitkan tahun ini. In fact, ia diterbitkan sebelum PBAKL. Memang best sangat jadi ketagih nak habiskan satu buku ni dengan segera.


Ada satu persamaan dalam kesemua buku-buku ini iaitu ia ditulis oleh penulis yang sama jantina - penulis lelaki semuanya. Adakah perempuan tiada yang bergelar peguam?

Mana mungkin!

Jika tiada peguam wanita, siapa yang akan bangkitkan suara hak sama rata kita? Acewah.

Telahan saya, peguam wanita, terutama yang dah berkahwin dan mempunyai anak-anak, masanya akan tertumpu kepada urusan keluarga selepas selesai urusan pejabat. Tiada masa untuk menulis tentang kerjaya yang sudah tentu bakal mengambil masa emas yang terluang demi keluarga. Tidak seperti peguam lelaki yang semuanya lengkap disediakan isteri. Seksis?!




Penulis Idola

Saya berkesempatan bertemu seorang penulis tersohor yang saya kagumi di Majlis Riang Ria Raya Alkis. Saya menyatakan bahawa saya telah menghabiskan bacaan buku beliau "Saya Ada 25 Jam Sehari" pada tahun 2017 dulu.



Saya amat kagumi sikap rendah diri yang ditonjolkan meskipun beliau adalah seorang CEO Syarikat Antarabangsa yang terkenal di bidang perbankan Islam.


"Saya sedang menulis sebuah buku, Tan Sri. Baru sahaja bermula bulan Jun ini", terang saya selepas diperkenalkan suami.


"Menulis setiap hari. Konsisten dalam penulisan sehingga ia sebati dengan jiwa. Tulis sehingga dapat 200 perkataan dalam sehari," nasihat beliau kepada saya.


Ada beberapa lagi nasihat yang tidak sempat saya catat lantaran kami bertembung secara tidak sengaja dan saya juga tidak membawa sebarang buku nota. Rugi!


"Bila sudah beri komitmen untuk menulis, akan ada hari-hari tertentu yang perlu diperuntukkan untuk menyunting tulisan tersebut," tambah beliau lagi. 


Itulah beberapa keping nasihat berguna yang saya akan pegang dan ingat sampai bila-bila.


Beliau turut memaklumkan bahawa buku "Saya Ada 25 Jam Sehari" menjadi salah satu buku bestseller di PBAKL baru-baru ini. Beliau langsung tidak menjangka bahawa buku itu meletup.


"Buku ini tidak akan relevan lagi selepas ini kerana saya akan palang angka 25 di tajuk buku dan akan menggantikannya dengan 30."


"Ia satu teknik marketing memandangkan buku ini sudah menjadi pilihan pembaca." 


Begitulah serba sedikit perbualan kami tentang salah satu buku yang ditulis beliau. Saya ada beberapa naskhah tulisan beliau namun masih belum menghabiskan bacaannya sebagaimana buku "25 Jam".


Sehingga kini saya tertanya-tanya, bagaimana ya orang yang sibuk boleh menulis? 


Jika CEO syarikat antarabangsa boleh menulis, takkan Sakinah pekerja bawahan yang cabuk ini tak mampu menulis?


(Oh, sebenarnya saya takut orang kritik tulisan saya. Tapi bila saya baca buku dan tonton video beberapa orang influencer, saya dapati mereka kalis kecaman. Bukan tiada yang mengecam tetapi kita tidak perlu  terlalu memikirkan 1/10 yang mengecam, sebaliknya, fokus kepada 9 orang lagi yang menanti perkongsian daripada kita!)


Jom bangkit menulis!

Disclaimer: Tulislah bahan yang bermanfaat dan bukan bahan mengumpat.


Saturday, June 18, 2022

Menang Kes!

 Hati berbunga-bunga apabila kes yang dikendalikan memihak kepada kita. Lebih menarik apabila Yang Arif Hakim memutuskan bahawa "semua pernyataan Perayu telah dijawab oleh Responden".


Kes bicara semalam dijalankan secara e-review. Penat juga menaip di skrin berbanding bicara yang dijalankan secara zoom atau bersemuka. Boleh berhujah secara terus di depan Hakim.


Ini kelebihan peguam yang suka membaca. Saya baca beberapa kes penting di peringkat Mahkamah yang lebih tinggi daripada Mahkamah Tinggi iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dan menggunakan kes tersebut semalam. Mahkamah berpuas hati terhadap autoriti yang saya gunakan.


Bila peguam pihak lawan cuba mengelirukan Mahkamah, saya keluarkan ilmu semasa bertugas di Bahagian Gubalan untuk membantu Mahkamah membaca peruntukan akta yang berkaitan. Skil membaca akta sangat penting kerana kebanyakan peruntukan undang-undang ini saling kait.


"Peguam Responden tidak pernah merujuk kepada seksyen 13, 14 dan 16 sebelum ini. Peruntukan ini tidak dirujuk di dalam mana-mana pliding sebelum ini. Maka adalah dihujahkan bahawa ini merupakan isu baharu dan satu pemikiran terkemudian (afterthought)", bantah peguam Perayu.


"Pihak Responden tidak akan merujuk kepada peruntukan ini sekiranya Perayu memahami hasrat parlimen dalam menggubal seksyen pindaan ini yang ternyata ia tidak esa dan tidak boleh berdiri dengan sendirinya. 


"Peruntukan seksyen 21B harus dibaca bersama dengan seksyen-seksyen di atas yang memperincikan lebih lanjut mengenai tindakan Ketua Pengarah..." panjang balasan saya kerana saya betul-betul menghayati peruntukan akta yang terlibat. Ya, kena baca (dan faham) each and every word. 


Mana boleh petik yang dia suka sahaja. 


Saya juga "perli" peguam Perayu dalam hujahan bertulis sebelum ini, "Responden berhujah bahawa terdapat peruntukan berkaitan yang tidak dirujuk Perayu "upon careful analysis of the law". 


Pembelaan Perayu berpaksikan peruntukan tunggal iaitu seksyen 21B semata-mata".


Ayat nak bagi Mahkamah baca pun kenalah sedap didengar. Barulah hujahan kita diterima Mahkamah (jangan kelirukan Mahkamah ya!)


Pukul 9 bermula, pukul 11.30 baru Mahkamah tamat.


Untuk kes ini, saya telah menang 3 kali dan tewas 1 kali di peringkat Mahkamah Rayuan. Peguam Perayu dah maklumkan, mereka akan tetap lawan habis-habisan. Maksudnya, ada chance kes ini dirayu ke Mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan!

Friday, June 17, 2022

Bahasa Latin dalam Undang-Undang

Apabila mengikuti kursus ijazah undang-undang, saya turut mempelajari satu lagi bahasa asing secara tidak rasmi iaitu bahasa Latin. Hal ini kerana nama ijazah ini sendiri merupakan terjemahan daripada bahasa Latin, Legum Baccalaureus (Bachelor of Laws) atau Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Kerja Muntah-Muntah

Perkataan bahasa Inggeris "lawyer" mempunyai sebutan bunyi yang sama dengan perkataan bahasa Melayu, loya (disebut dengan sebutan slang KL, loye).

Satu hari, anak kedua saya, Naura yang ketika itu di tahun tiga sekolah rendah menceritakan perihal soalan rakan sekelasnya berkenaan pekerjaan ibu. 

"Mama, kawan Kakngah pelik dengar Kakngah sebut kerja Mama," sembang Kakngah semasa kami menikmati makan malam bersama-sama.

Saya yang sedang menyuap makanan ke mulut tidak sempat bertanyakan lebih lanjut soalan rakan sekelas Kakngah apabila Kakngah dengan penuh innocent menyambung,

"Amni tanya banyak kali, betul ke Mak awak loye (loya)?".

"Kerja loye? Kerja muntah-muntah?", soal Amni penuh tanda tanya.

Hampir tersembur keluar makanan dalam mulut saya. 

Tak pernah dalam hidup, saya dituduh mengandung sepanjang perkhidmatan sebagai peguam. Cukuplah lima orang anak dan lima kali pengalaman mengandung. Saya tahulah setiap kali mengandung saya akan loya dan kerja muntah-muntah. 

Sehingga ke hari ini saya masih ingat peristiwa lucu ini.

Lawyer, kerja muntah-muntah!

Thursday, June 16, 2022

Peguam atau Pensyarah?

Ketika di tahun akhir, saya dan pelajar-pelajar kelas Professional Practice (PP) dikehendaki berjumpa pensyarah kami iaitu Encik Baharudden. Tujuannya adalah untuk menghantar hasil kerja "firma guaman" kami yang telah dibekalkan sebelum itu iaitu legal opinion mengenai status sebuah universiti di luar negara yang kursus perubatannya tidak diiktiraf JPA

Tugasan ini paling mencabar kerana ia mendedahkan kami semua kepada tugasan peguam sebenar apabila dilantik oleh klien untuk memberi pandangan undang-undang yang kosnya seiring dengan profesionalisma seorang peguam.

Lebih mencabar apabila Encik Bahar sendiri merupakan bekas peguam dan beliau merupakan antara pensyarah yang digeruni. Bayangkan jika kelas bermula jam 8.00 pagi, maka pintu kelas akan dikunci sebaik sahaja jarum jam melewati 8.01 pagi. Begitu tinggi disiplin yang dibentuk Encik Bahar kepada kami. 

Sebenarnya, pelajar boleh memilih untuk meninggalkan tugasan di depan pintu pejabat Encik Bahar atau menyerahkan sendiri ke tangan Encik Bahar bagi mengelakkan tugasan dicuri mereka yang tidak bertanggungjawab. 

Saya masih takut-takut untuk berjumpa beliau bagi menghantar tugasan ini, namun terpaksa menguatkan langkah bertemu beliau demi tugasan terakhir yang dibuat dengan daya usaha yang paling bagus yang saya mampu lakukan.

Sambil menghantar tugasan, sempat juga Encik Bahar menasihati kami sebelum kami melangkah keluar meninggalkan zaman ‘kena suap’ ilmu. 

Saya masih ingat, soalan Encik Bahar kepada saya mengenai plan saya selepas tamat belajar.

"What are you going to do after this?", soal beliau umpama seorang peguam sedang menyoal saksi dengan mimik wajah beliau yang memang kelihatan serius secara semulajadi.

"Saya akan sambung pengajian di peringkat Sarjana", jawab saya kepada Encik Bahar dengan ringkas. 

Dalam benak fikiran saya, saya membayangkan bahawa saya akan menjadi seorang pensyarah. Saya akan sambung belajar sehingga mendapat PhD kerana saya mahu menjadi seseorang yang lebih baik daripada Abah sebagaimana yang Abah sering terapkan dalam minda saya dan adik-beradik yang lain. Abah tidak sempat menghabiskan pengajian di peringkat doktor falsafah kerana tiada tenaga pengajar yang boleh menjadi supervisor Abah ketika itu. 

"Law is not only about theory, don't be like a monkey!" katanya.

Suara Encik Bahar memecah kepulan awan angan-angan yang terbentuk di minda saya untuk bergelar pensyarah. Jelas, Encik Bahar menentang idea saya dan menasihati saya supaya mengharungi pahit getir dunia guaman yang bermula dengan menjadi Pelatih Dalam Kamar. 

Saya memohon untuk melakukan latihan dalam kamar atas dasar hormat kepada Encik Bahar. Melalui nasihat Encik Bahar, saya tekad menghabiskan tempoh sembilan bulan untuk mendapatkan kelayakan profesional dari Majlis Peguam supaya saya tidak bergelar monkey yang bergayut semata-mata pada teori!

Saya patut berterima kasih kepada Encik Bahar kerana nasihat dan galakan yang diberikan dahulu berjaya membentuk satu jati diri peguam dalam diri Sakinah.

Terima kasih Encik Bahar!

NSA 
16.6.2022

Tips Memilih Kursus Undang-Undang

Ini bukanlah satu tips sebenarnya.

Tapi inilah yang saya lakukan dahulu sebelum saya memilih jurusan undang-undang di universiti.

Permohonan ke universiti dahulu dibuat secara manual iaitu dengan mengisi borang permohonan berdasarkan buku panduan Universiti atau buku UPU. Tebal buku panduan ini kerana ia mengandungi syarat kemasukan bagi ke semua universiti awam ketika itu. Maksudnya, sebelum memohon sesuatu jurusan, pelajar perlu lihat apa syarat kemasukan kerana silap mengisi borang permohonan akan menyebabkan ia ditolak.

Sebagai anak kelima daripada 10 orang adik-beradik, buku UPU di rumah ada lebih empat salinan semuanya yang mewakili kakak-kakak dan abang yang memohon UPU selepas tamat peperiksaan SPM dan STPM.

Saya hanya tertarik dengan kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan syarat kemasukan ke UiTM, UKM, UIA dan UM saya perhalusi saban hari. Ya, dahulu hanya empat universiti awam ini yang menawarkan LLB.

Maka, saya belajar untuk SPM dengan memfokuskan kelayakan minima untuk mengambil jurusan undang-undang di UIA. Seingat saya hanya perlu kredit dalam subjek bahasa Inggeris dan kepujian dalam bahasa Arab adalah satu kelebihan. Subjek Bahasa Melayu sudah tentu wajib kepujian bersama lima subjek pilihan yang lain.

Dalam keputusan SPM tahun 1999, saya mendapat kepujian dalam subjek berikut: Bahasa Melayu, Bahasa Arab Tinggi, Bahasa Arab Komunikasi, Sejarah, Matematik dan Pendidikan Syariah Islamiah dengan pangkat 1 14 agregat.

Keputusan ini memenuhi syarat kemasukan "cukup makan" berdasarkan buku panduan UPU yang kebetulan tidak banyak perubahan dengan buku panduan UPU yang diwarisi daripada abang dan kakak-kakak saya.

Tahun berikutnya, saya mendaftar diri sebagai pelajar matrikulasi bagi jurusan undang-undang di UIA.

Dapat jua saya mengikuti jurusan yang saya minati tanpa mendapat kursus lelong di universiti pilihan. Buat pertama kalinya, anak perempuan Abah belajar di luar negeri. Bukan oversea tapi luar negeri Pulau Pinang. 

Remember, study smart!


Wednesday, June 15, 2022

Tips Menjadi Pelajar Undang-Undang yang Cemerlang

Tips ini merupakan gabungan yang saya perolehi daripada pensyarah universiti secara amnya dan pensyarah undang-undang secara khususnya serta pengamatan saya terhadap pelajar cemerlang.

Saya menggunakan dan mengamalkan tips ini dan berjaya memperolehi Anugerah Dekan di tahun tiga pengajian selepas beberapa semester mengamalkannya.

Tips pertama saya dapat daripada seorang pensyarah universiti yang merupakan bapa saya sendiri. Soalan saya, bagaimana nak survived di universiti? Bagaimana untuk menjadi pelajar universiti yang berjaya tamat pengajian tanpa mengulang. Pesan bapa saya, sentiasa bertanya pensyarah jika tidak faham sesuatu subjek atau pengajian dan jangan ponteng kuliah.

Tips kedua saya amalkan selepas mendapat tip pertama iaitu berjumpa pensyarah selepas kelas apabila saya tidak faham apa yang diajar. Pensyarah saya di tahun satu, Dr Musheera Ambaras Khan sangat mengalu-alukan kedatangan saya ke bilik beliau untuk konsultasi. Saya mengaku  penguasaan bahasa Inggeris saya teruk dan saya agak stuggling memahami isi kuliah undang-undang yang dibuat dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.

Dr Musheera mengajar saya membuat nota ringkas berdasarkan peta minda. Peta minda ini perlu menggunakan kertas A4 berwarna putih semata-mata dan ditulis/dilakar dengan pen dakwat basah berwarna hitam sahaja. Jangan menggunakan kertas kajang yang mempunyai garisan berbelang kerana ia akan mengganggu tumpuan dan konsentrasi dan jangan menggunakan pen merah kerana kajian menunjukkan memori yang dibaca dengan tulisan berwarna merah tidak akan kekal lama di minda. 

Tips ketiga merupakan tips dari pelajar cemerlang. Tips ini tidaklah saya peroleh dengan menemuduga mereka kerana kebanyakan pelajar cemerlang ini sangat merendah diri. Kebetulan, beliau merupakan rakan sebilik saya di Zaynab Al-Jahsyi College, PJ semasa saya di tahun dua matrikulasi dan anak kepada pasangan pensyarah. Jadi, tips kali ini secara tidak langsung ia juga diturunkan oleh pendidik di universiti dan orang yang terpelajar.

Saya lihat beliau akan sediakan satu fail untuk satu subjek yang mana semua bahan mengenai subjek tersebut akan dimasukkan ke dalam fail tersebut. Contohnya, subjek Undang-Undang Tort I. Maka isi penting di dalam fail "Tort I" akan mengandungi:

1) Course Outline;

2) Soalan Peperiksaan Akhir Tahun semester-semester sebelum ini;

3) Kes-kes mengenai tort;

4) Bahan rujukan lain.

Fail-fail, akta dan buku rujukan zaman belajar 


Awal semester semasa minggu add and drop, kelas kebanyakannya masih belum bermula. Saya menggunakan peluang ini untuk mengunjungi perpustakaan dan mendapatkan bahan rujukan yang dicadangkan dalam course outline untuk subjek yang diambil pada semester tersebut. Ia mungkin terdiri daripada buku-buku dan kes-kes berkaitan.

Selain persediaan secara fizikal iaitu menyediakan satu subjek satu fail, saya lihat roomate saya turut bersedia dari segi spiritual. Beliau bangun seawal jam 5 pagi - solat tahajjud dan *membaca al-quran sebelum solat subuh berjemaah di surau.

*Kajian menunjukkan membaca alQuran akan stimulate otak kanan (baca dari kanan ke kiri) dan bila kita baca bahan bacaan lain, ia akan stimulate the other side of the brain

Tidak mustahil dengan mengamalkan tips-tips di atas, kita bukan sahaja menjadi seorang yang berjaya dalam pelajaran (duniawi) namun, kita juga boleh menempa kejayaan syurgawi dengan amalan spiritual di atas.

Moto yang saya pegang semasa read law dahulu, study smart not study hard!