Semasa di tahun pertama, Unit Kaunseling dan Kerjaya UIA telah mengadakan satu sesi perkongsian dengan pelajar cemerlang merangkap peguam. Namun begitu, saya sudah lupa siapa empunya nama peguam yang sudi berkongsi kisah kejayaan beliau dengan kami kerana peristiwa ini berlaku 20 tahun yang lalu.
Sayangnya, program hebat ini hanya dihadiri saya, rakan baik dan seorang lagi pelajar. Kebanyakan pelajar terlepas info penting program ini kerana ia tidak dianjurkan oleh Kulliyyah.
Program diadakan di Lecture Hall 2 pada sesi petang. Kebiasaannya, kelas untuk Kulliyyah kami ditetapkan pada sesi pagi manakala sesi petang untuk tutorial.
"Waktu belajar kita belajar, waktu tidur kita tidur, waktu main kita main," nasihat abang peguam kepada kami.
"Waktu belajar, kita belajar bersungguh-sungguh. Bersedia sebelum ke kelas. Buat pembacaan awal supaya lebih faham apa yang akan diajar pensyarah."
"Waktu tidur, tidur sungguh-sungguh."
"Saya akan tidur sebelum jam 12 malam, setiap hari. Saya tidak akan tidur melewati jam 12 meskipun esok adalah peperiksaan".
"Saya juga bahagikan masa untuk bersenam supaya badan kekal sihat dan cergas. Ingat, badan cergas minda cerdas!," begitulah beberapa perkongsian yang saya kutip dan amalkan sepanjang pengajian.
Berdasarkan pemerhatian saya, orang yang berjaya mempunyai jadual belajar/kerja yang sistematik.
Orang yang berjaya bahagikan masa untuk beberapa aktiviti penting untuk kelangsungan hidup. Bukan hanya fokus belajar sebaliknya perlu bersenam dan bersosial. Hal ini penting untuk kesihatan mental dan fizikal.
No comments:
Post a Comment