Tuesday, June 14, 2022

Saya Nak Bercerai Malam Ni Jugak!

Berita tentang saya tamat pengajian dan sedang menjalani latihan dalam kamar cepat betul tersebar. Dalam keluarga terdekat, belum ada lagi seorang ahli keluarga yang bergelar peguam.

Bayangkan saya yang baru mengenal dunia kepeguaman sebenar ini namun di mata ahli keluarga, sayalah "Karpal Singh"! Dalam kepayahan belajar selok belok menjadi peguam, banyak juga pertanyaan tentang perundangan yang diterima di kalangan ahli keluarga terdekat.

Satu kejadian yang paling tak boleh saya lupakan adalah apabila saya dihubungi ibu kepada kenalan adik saya semasa saya baru beberapa bulan menjalani latihan dalam kamar. Ok ia tidaklah sesuatu yang pelik tetapi kejadian berlaku semasa saya sudah lena diulit mimpi.

Telefon tiba-tiba berdering mengejutkan saya yang tertidur keletihan selepas seharian bekerja. Saya sempat melihat jam di dinding bilik yang menunjukkan pukul 10 malam.

"Sakinah?" soal si pemanggil.

"Ya saya. Siapa ni?" tanya saya masih mamai.

"Saya Azizah, emak kepada Nurul kawan si Hidayah. Sakinah ni lawyer kan? Nak tanya ni boleh dak kalau makcik nak bercerai. Kalau boleh malam ni jugak sebab ...", jawab si pemanggil. Semuanya saya kira dalam satu nafas sahaja tanpa sempat saya memberi persetujuan dan pandangan. Begitu laju pertanyaan makcik membuatkan saya yang baru bangun tidur terkial-kial mencari jawapan.

Sebenarnya panjang juga penerangan yang Makcik Azizah berikan. Daripada keadaan mamai sehingga segar bugar saya dibuatnya. Sambil dengar suara beliau di corong telefon sempat juga saya relate dengan nota-nota undang-undang keluarga Islam yang pernah dipelajari di tahun dua semester dua. Namun, teori yang dipelajari tidak sama dengan praktis sebenar. Peguam perlu bijak mengadaptasi teori dengan praktis supaya ia selari.

Di hujung talian, saya nasihatkan agar Makcik Azizah menunggu sehingga hari cerah dan terus ke pejabat agama. Malam-malam ni pejabat dah tutup. Nak bercerai pun kena bersabar. 

Malam itu, saya benar-benar teringat kata-kata Pensyarah tentang hikmah talak di tangan suami. Perempuan ini kaya emosi. Bila emosi terhakis saat itu juga nak ceraikan suami. Orang Utara bilang, tak dan dan (tak menyempat). Tapi bila emosi bahagia takkan nak rujuk semula? Dan perubahan emosi wanita ini boleh terjadi dalam split second.

Barangkali jika Islam yang Indah ini meletakkan hak cerai di tangan isteri maka pejabat agama dan Mahkamah Syariah memang betul-betul kena beroperasi sehingga malam. Peace!

No comments:

Post a Comment