Semasa menyemak kerja sekolah anak keempat bertajuk "Ibu Saya", saya melihat Kauthar menulis perkataan "peguar" di kolum pekerjaan ibu. Sebelumnya, Kauthar bertanya kepada saya yang berada di dapur tentang pekerjaan saya.
Saya kalut di dapur, dia juga kalut nak siapkan kerja sekolah di ruang tamu. Mungkin sebab itulah pekerjaan saya ditulis sebagai peguar. Asal apa yang dia sempat dengar dan faham.
Saya mengetahui kerjaya peguam ini kerana Pengerusi PIBG semasa saya di sekolah rendah dan sekolah menengah dahulu merupakan seorang peguam dan beliau pernah berkongsi kerjaya ini di hadapan kami semua. Beliau yang juga ayah kepada rakan saya seringkali kelihatan kemas dan bergaya.
Anak-anak saya semasa di sekolah rendah memang tak boleh appreciate kerjaya ini. Yang mereka tahu, peguam ke mahkamah, peguam balik kerja lewat. Mungkin itu yang mereka lihat.
Pernah suatu ketika anak kedua saya dibuli di sekolah. Kami baru berpindah sebenarnya dan anak kedua berjaya mendapat tempat di sekolah kerajaan negeri. Apa yang menyedihkan saya adalah apabila buku sekolah beliau "dipinjam" rakan sekelas sejak sekian lama. Bila nama anak asyik naik sebab tak siapkan kerja sekolah, saya pun mula naik angin.
Rupa-rupanya, ada kawan ambil buku dan tak pulangkan. Menjadi pelajar baharu dan tidak mempunyai kawan-kawan, anak saya takut untuk mendapatkan hak beliau kembali. Bagaimana anak peguam takut nak pertahankan hak?
Barangkali anak saya naif tentang peguam yang diketahui sebagai seorang yang akan membela hak mereka yang tertindas.
Kes selesai akhirnya selepas saya mengajar anak bertegas mempertahankan haknya.
Begitulah, tak semestinya emak peguam asyik nak saman cikgu sekolah saja.
No comments:
Post a Comment