Wednesday, June 29, 2022

Anak Angkat

Pertama kali saya melihat bayi dibawa masuk ke mahkamah. Itu pun asalnya saya tak perasan langsung. Sikit bunyi pun tak dengar dari bayi tersebut. Yang membuatkan saya tertarik untuk melihat ke arah bayi itu dan pasangan yang membawa bayi itu sendiri.

Biasanya mereka yang ada urusan di Mahkamah akan cuba berpakaian seformal yang mungkin. Tapi lelaki di sebelah saya ini hanya memakai t-shirt usang dan seluar pendek paras lutut.

Pasangannya juga berpakaian sama. Tubuh mereka berdua agak gempal. Dari raut wajah dan bentuk tubuh, saya anggarkan mereka dalam lingkungan umur hujung 30-an. 

Saya turut perhatikan si bapa yang beria bermain dengan bayi. Diagahnya manusia di dalam balutan itu meskipun sedikit suara pun saya tak dengar. Biasanya bayi kalau diagah bunyi jugak suaranya.

"Er, tahulah seronok dapat anak tapi tak perlu la main cukcak dalam mahkamah", hati saya mendengus kepanasan. Sebenarnya panas tunggu pihak lawan. Kes boleh selesai cepat tapi sebab tunggu 'diva' jadi lambat kes dipanggil.

Mahkamah tersebut sebenarnya tidak sesibuk mahkamah lain. Setakat yang yang hadir kes sebelum ni, hanya ada tiga empat kes pada sesi pagi. 

Mungkin hakim akan sibuk sesi petang dan tengahari.

Berbalik kepada bayi tadi, saya dapat lihat dia dikendong penuh kasih sayang oleh si ibu. Kain berwarna biru muda membaluti tubuhnya dengan sangat kemas. 

"Ibu ini betul-betul menjaga bayi ni daripada kesejukan pendingin hawa mahkamah", getus hati kecil saya.

Sesekali mulutnya dicium ke pipi si bayi. Tubuh bayi dipeluk rapat. 

Si bapa pula bergilir memegang bayi. 

Saya sebenarnya pelik dengan situasi tersebut. Jarang saya lihat aksi begitu di dalam Mahkamah. Bukan jarang, inilah kali pertama saya lihat bayi dibawa ke Mahkamah.

Apabila kes dipanggil, barulah saya tahu bahawa ia adalah satu proses untuk pengangkatan anak.

Saya dapat melihat pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat membawa fail berisi maklumat penting tentang pengangkatan anak itu. Tidak pula saya menyapa beliau, bimbang maklumat sulit terdedah.

Beruntunglah bayi yang "diangkat" ini. Semoga nasibnya lebih baik bersama ibu bapa baharu.

Dalam hati, saya bersyukur kerana dapat melahirkan zuriat sendiri. Yang marah-marah sebelum ke mahkamah tadi, saya telan sendiri. Semoga selepas ini saya lebih mensyukuri nikmat Ilahi - anak!




No comments:

Post a Comment