Sunday, June 12, 2022

Kampung Baru KL

Menulis tajuk ini membuatkan saya teringat sewaktu di kelas terjemahan di ITBM. Ada beza antara Johor Bahru, Kota Bharu dan Kampung Baru. Begitu juga perbezaan di antara baru dan baharu. Namun pada tulisan ini, saya tidak berhasrat memanjangkan nota pengajar saya mengenai Bahru, Bharu dan Baru.

Rasa bersalah kepada anak-anak kerana cuti sekolah hampir berakhir dan kerana kekangan kerja, saya tidak dapat mengambil cuti untuk bersama-sama mereka. Mujurlah rakan setugas memaklumkan bahawa tarikh akhir untuk saya memfailkan Hujahan Bertulis kes X dilanjutkan pada hari Ahad 12.6.2022. Asalnya pihak Mahkamah menetapkan tarikh untuk pihak Plaintif dan Defendan memfailkan Hujahan Bertulis adalah pada hari Jumaat, 10.6.2022.

Sebaik dapat tahu hal ini, saya terus memohon cuti separuh hari pada hari Jumaat. Tempat terdekat yang boleh dilawati hanyalah 12 km dari pejabat saya. Plan asalnya nak ajar anak-anak naik Komuter ke KL Sentral tapi disebabkan suami turut mengambil cuti separuh hari, suami akan ambil anak-anak di SA dan bergerak ke KL.

Kami menginap di sebuah rumah inap baharu di Legasi, Kampung Baru. Rumah ini terletak di tingkat 21, di sebuah bangunan kediaman yang baru sahaja siap didiami. Jika dibandingkan dengan harga hotel berdekatan, harga rumah inapan lebih murah. Malahan, ia terletak di kawasan strategik syurga makanan Kampung Baru.

Tujuan asal bukan nak makan sangat, tapi nak bawa anak-anak mengenali Kampung Baru, satu-satunya kampung yang wujud di tengah-tengah kotaraya.

Bila berada di tingkat atas, memang mudah untuk mereka melihat sebuah kampung di kelilingi bangunan pencakar langit. Melihat rumah kecil melayu tradisional yang masih dikekalkan meskipun halamannya ternyata makin sempit dan kawasannya makin padat.

Barangkali anak-anak masih belum mengerti tentang harga sebuah rumah tradisi. Namun apa yang diharapkan adalah, sekiranya pada masa depan kawasan ini akan dibangunkan, sekurang-kurangnya apa yang kekal dalam memori anak-anak adalah suasana kampung dalam bandar yang pernah wujud di sini.

NSA
12.6.2022

No comments:

Post a Comment