Thursday, June 16, 2022

Peguam atau Pensyarah?

Ketika di tahun akhir, saya dan pelajar-pelajar kelas Professional Practice (PP) dikehendaki berjumpa pensyarah kami iaitu Encik Baharudden. Tujuannya adalah untuk menghantar hasil kerja "firma guaman" kami yang telah dibekalkan sebelum itu iaitu legal opinion mengenai status sebuah universiti di luar negara yang kursus perubatannya tidak diiktiraf JPA

Tugasan ini paling mencabar kerana ia mendedahkan kami semua kepada tugasan peguam sebenar apabila dilantik oleh klien untuk memberi pandangan undang-undang yang kosnya seiring dengan profesionalisma seorang peguam.

Lebih mencabar apabila Encik Bahar sendiri merupakan bekas peguam dan beliau merupakan antara pensyarah yang digeruni. Bayangkan jika kelas bermula jam 8.00 pagi, maka pintu kelas akan dikunci sebaik sahaja jarum jam melewati 8.01 pagi. Begitu tinggi disiplin yang dibentuk Encik Bahar kepada kami. 

Sebenarnya, pelajar boleh memilih untuk meninggalkan tugasan di depan pintu pejabat Encik Bahar atau menyerahkan sendiri ke tangan Encik Bahar bagi mengelakkan tugasan dicuri mereka yang tidak bertanggungjawab. 

Saya masih takut-takut untuk berjumpa beliau bagi menghantar tugasan ini, namun terpaksa menguatkan langkah bertemu beliau demi tugasan terakhir yang dibuat dengan daya usaha yang paling bagus yang saya mampu lakukan.

Sambil menghantar tugasan, sempat juga Encik Bahar menasihati kami sebelum kami melangkah keluar meninggalkan zaman ‘kena suap’ ilmu. 

Saya masih ingat, soalan Encik Bahar kepada saya mengenai plan saya selepas tamat belajar.

"What are you going to do after this?", soal beliau umpama seorang peguam sedang menyoal saksi dengan mimik wajah beliau yang memang kelihatan serius secara semulajadi.

"Saya akan sambung pengajian di peringkat Sarjana", jawab saya kepada Encik Bahar dengan ringkas. 

Dalam benak fikiran saya, saya membayangkan bahawa saya akan menjadi seorang pensyarah. Saya akan sambung belajar sehingga mendapat PhD kerana saya mahu menjadi seseorang yang lebih baik daripada Abah sebagaimana yang Abah sering terapkan dalam minda saya dan adik-beradik yang lain. Abah tidak sempat menghabiskan pengajian di peringkat doktor falsafah kerana tiada tenaga pengajar yang boleh menjadi supervisor Abah ketika itu. 

"Law is not only about theory, don't be like a monkey!" katanya.

Suara Encik Bahar memecah kepulan awan angan-angan yang terbentuk di minda saya untuk bergelar pensyarah. Jelas, Encik Bahar menentang idea saya dan menasihati saya supaya mengharungi pahit getir dunia guaman yang bermula dengan menjadi Pelatih Dalam Kamar. 

Saya memohon untuk melakukan latihan dalam kamar atas dasar hormat kepada Encik Bahar. Melalui nasihat Encik Bahar, saya tekad menghabiskan tempoh sembilan bulan untuk mendapatkan kelayakan profesional dari Majlis Peguam supaya saya tidak bergelar monkey yang bergayut semata-mata pada teori!

Saya patut berterima kasih kepada Encik Bahar kerana nasihat dan galakan yang diberikan dahulu berjaya membentuk satu jati diri peguam dalam diri Sakinah.

Terima kasih Encik Bahar!

NSA 
16.6.2022

1 comment:

  1. Selalu lecturer garang macam tulah yang bagi nasihat paling bernas.

    ReplyDelete