Monday, June 13, 2022

Latihan Dalam Kamar

Semasa saya membuat laman sesawang efs dot kehakiman, saya terlihat poster mengenai penambahbaikan proses Petisyen untuk penerimaan masuk peguam bela dan peguam cara. Petisyen ini difailkan oleh orang yang layak - untuk menjalani latihan dalam kamar sebelum bergelar sebagai seorang peguam.

Latihan Dalam Kamar turut dikenali sebagai chambering di kalangan pelajar dan pengamal undang-undang. Ia memakan masa sembilan bulan dari tarikh pemfailan petisyen sehingga mendapat perintah didaftarai sebagai peguam bela dan peguam cara. Ia merupakan satu latihan profesional sebelum seorang pelajar lepasan undang-undang (dengan kepujian) menjadi peguam. Sama seperti tempoh housemanship pelajar perubatan.

Semasa pertama kali mendengar Latihan Dalam Kamar ini, beberapa rakan yang nakal mula membayangkan yang bukan-bukan kerana kamar bermaksud bilik. Latihan apa dalam bilik ya? Namun saya telah menyemak maksud kamar di portal DBP dan kamar yang dimaksudkan di sini merujuk kepada bicara bilik tempat berunding.



Mereka yang memfailkan petisyen ini dikenali sebagai Pelatih Dalam Kamar (PDK) dan lazimnya akan mempunyai seorang master iaitu seorang peguam yang telah beramal lebih tujuh tahun untuk memberikan tunjuk ajar yang sepatutnya kepada PDK. 

Latihan ini dijalankan di firma guaman dan PDK adalah tertakluk kepada tugasan menghadiri kes-kes di Mahkamah, membuat carian fail dan kes lelongan di Pejabat Tanah dan membuat kerja amal di Legal Aid Centre.

Selain itu, Pelatih juga dikehendaki memenuhi syarat yang ditetapkan Majlis Peguam iaitu lulus ujian Bahasa Melayu dan mendapat sijil kelakuan baik daripada badan ini. 

Semasa menjalani latihan ini, pelatih akan diberikan elaun latihan, elaun perjalanan ke mahkamah dan pejabat tanah dan elaun untuk memfailkan petisyen. Namun pemberian elaun-elaun ini tertakluk kepada budi bicara firma guaman. Ada rakan saya yang diberikan elaun hanya RM400 sebulan (15 tahun lepas), ada rakan yang tidak dapat membuat tuntutan perjalanan ke mahkamah dan ada rakan yang menggunakan duit sendiri untuk memfailkan petisyen.

Dahulu, saya memfailkan petisyen ini secara manual di Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur. Bangunan mahkamah ini masih di Dataran Merdeka ketika itu dan belum berpindah ke Jalan Duta. Setiap kali memfailkan petisyen, saya akan menaiki bas ke KL. Adalah dua-tiga kali juga saya turun ke KL untuk urusan pemfailan petisyen ini. Soal penat letak di tepi sebab usia masih muda dan semangat menyala dan membara. 

Lega akhirnya petisyen ini boleh dibuat secara atas talian sahaja. Ia menjimatkan masa, tenaga dan wang.
 

 

No comments:

Post a Comment