Sunday, June 19, 2022

Penulis Idola

Saya berkesempatan bertemu seorang penulis tersohor yang saya kagumi di Majlis Riang Ria Raya Alkis. Saya menyatakan bahawa saya telah menghabiskan bacaan buku beliau "Saya Ada 25 Jam Sehari" pada tahun 2017 dulu.



Saya amat kagumi sikap rendah diri yang ditonjolkan meskipun beliau adalah seorang CEO Syarikat Antarabangsa yang terkenal di bidang perbankan Islam.


"Saya sedang menulis sebuah buku, Tan Sri. Baru sahaja bermula bulan Jun ini", terang saya selepas diperkenalkan suami.


"Menulis setiap hari. Konsisten dalam penulisan sehingga ia sebati dengan jiwa. Tulis sehingga dapat 200 perkataan dalam sehari," nasihat beliau kepada saya.


Ada beberapa lagi nasihat yang tidak sempat saya catat lantaran kami bertembung secara tidak sengaja dan saya juga tidak membawa sebarang buku nota. Rugi!


"Bila sudah beri komitmen untuk menulis, akan ada hari-hari tertentu yang perlu diperuntukkan untuk menyunting tulisan tersebut," tambah beliau lagi. 


Itulah beberapa keping nasihat berguna yang saya akan pegang dan ingat sampai bila-bila.


Beliau turut memaklumkan bahawa buku "Saya Ada 25 Jam Sehari" menjadi salah satu buku bestseller di PBAKL baru-baru ini. Beliau langsung tidak menjangka bahawa buku itu meletup.


"Buku ini tidak akan relevan lagi selepas ini kerana saya akan palang angka 25 di tajuk buku dan akan menggantikannya dengan 30."


"Ia satu teknik marketing memandangkan buku ini sudah menjadi pilihan pembaca." 


Begitulah serba sedikit perbualan kami tentang salah satu buku yang ditulis beliau. Saya ada beberapa naskhah tulisan beliau namun masih belum menghabiskan bacaannya sebagaimana buku "25 Jam".


Sehingga kini saya tertanya-tanya, bagaimana ya orang yang sibuk boleh menulis? 


Jika CEO syarikat antarabangsa boleh menulis, takkan Sakinah pekerja bawahan yang cabuk ini tak mampu menulis?


(Oh, sebenarnya saya takut orang kritik tulisan saya. Tapi bila saya baca buku dan tonton video beberapa orang influencer, saya dapati mereka kalis kecaman. Bukan tiada yang mengecam tetapi kita tidak perlu  terlalu memikirkan 1/10 yang mengecam, sebaliknya, fokus kepada 9 orang lagi yang menanti perkongsian daripada kita!)


Jom bangkit menulis!

Disclaimer: Tulislah bahan yang bermanfaat dan bukan bahan mengumpat.


1 comment:

  1. Begitu pesanan orang hebat dan sibuk tentang menulis. Memang tu saja kunci dia, konsisten. Aku pun tersentap sama baca ni. Haa

    ReplyDelete