Hanya bunyi pendingin udara yang mengisi suasana pagi ini. Penjarakkan sosial yang diamalkan (dan diamarankan) menyebabkan suasana begitu sunyi. Biasanya para Peguam akan berbual dengan rakan bijaksana yang duduk di sebelahnya.
Tettt..bunyi loceng Mahkamah mengejutkan saya yang masih leka mendengar jarum jam berdetik dan pendingin udara yang seakan berusaha memberi khidmat terbaik untuk menyejukkan suasana pagi itu.
Kelihatan seorang perempuan bertubuh kecil bertudung hitam melangkah masuk dan memberi hormat.
Kes dibacakan oleh Jurubahasa yang berada di depan Hakim bertudung hitam tadi.
"Kes nombor satu dalam senarai, BA-B51NCvC-01/2021, Kerajaan Malaysia v ABC Sdn Bhd".
Saya lantas bangun memohon izin Mahkamah, memperkenalkan diri dan peguam pihak lawan.
Kemudian, pihak-pihak memaklumkan kepada Mahkamah status kes yang kami kendalikan.
"Tiada penyelesaian yang dicapai antara pihak Plaintif dan Defendan".
"Oleh itu, pihak Plaintif akan memfailkan Permohonan Penghakiman Terus".
Begitulah tugas saya sebagai peguam kerajaan.
Penghakiman terus bukan bermaksud terus boleh masuk penghakiman. Sebaliknya ia dibuat melalui pertukaran afidavit sahaja. Tiada bicara (untuk panggil saksi). Ia lebih mudah.
Dahulu semasa menjadi peguam panel bank, kami dikenali sebagai peguam JID. Juga satu kerja yang mudah. Orang kata kes straight forward menang kat bank akibat terma yang telah dipersetujui pelanggan.
No comments:
Post a Comment