Percubaan mendekati dan menaiki PS sebelum ini menemui kegagalan. Namun malam tadi berjaya jua kami merentasi lautan manusia untuk melalui PS.
Kami melalui stesen LRT Kampung Bharu yang terletak hanya beberapa ratus meter daripada kedudukan PS. Disebabkan bilangan pengunjung yang ramai, kami menggunakan tangga meskipun ada kemudahan lif disediakan. Bagi kami, biarlah kemudahan itu digunakan untuk pengunjung yang membawa orang tua dan anak-anak kecil.
Ketinggian PS adalah menyamai bangunan tiga tingkat berdasarkan anak tangga yang kami naiki. Ramai juga yang menaiki tangga ke PS semalam. Malam hujung minggu barangkali.
Kami sempat bergambar di beberapa tempat strategik di PS sebelum melangkah menyeberang ke KLCC. Sempat juga saya baca sejarah pembinaan jambatan ini yang dibuka pada tahun 2020. Ia merupakan lintas an pejalan kaki tanpa tiang yang paling panjang di Malaysia dan direka berdasarkan tradisi Sirih Junjung.
Namun apa yang agak mengejutkan saya adalah kerana ia dibina di atas tapak perkuburan Islam berhadapan KLCC. Mungkin hal ini akan menyebabkan pengunjung lebih mengingati kematian sebaik melintasi lintasan ini. Atau barangkali, tanah yang strategik di muka bumi ini kebanyakannya adalah milik bangsa seagama dengan saya. Entah.
Saat melalui kawasan perkuburan tersebut, saya teringat kata-kata seorang Ustaz mengenai mereka yang telah berada di alam kubur. Jika dibenarkan untuk hidup walaupun sekejap, pasti akan mereka sedekahkan semua yang ada pada mereka kerana di alam sana, harta dunia sudah tidak berguna lagi. Hanya amalan soleh seperti sedekah sahaja yang mampu menolong mereka di sana.
"Mama ni kenapa pandang kubur macam tu?", soalan anak saya mengejutkan saya daripada memikirkan penghuni kekal di tanah paling mahal di Malaysia.
Bagi pengunjung lain malam semalam, PS merupakan tempat paling menarik untuk dilawati dek kerana keindahan lampu yang menghiasinya. Sebaliknya, ia satu kunjungan yang sangat mendalam maknanya bagi saya. Jika pengunjung lain memandang ke atas, memerhati gemerlapan cahaya PS, saya pula lebih tertarik untuk terus memandang ke bawah yakni perkuburan Islam sambil menginsafi dan mensyukuri nikmat yang Allah beri serta peluang untuk memperbaiki diri. Apakah rumah saya di sana nanti akan disinari cahaya atau ia gelap segelap-gelapnya? -_-
NSA
10.6.2022
Rupanya kubur kat bawah tu. Tak pernah sesapa share, selalu orang share gambar PS saja. Ke yang lalu atas tu tak perasan pun ada kubur...
ReplyDeleteBukan tak perasan tapi kurang mengingati kematian. PS ni benda yang syok dan cantik depan mata. PI (Perkuburan Islam) ni benda yang tak syok
Delete