Thursday, June 30, 2022
Kebajikan Anak-anak
Adil
Ramai orang ke mahkamah sebab nak dapatkan keadilan. Tapi tak ramai yang ambil tahu, apa maksud adil sebenarnya.
Adil ini, menurut ustaz saya, adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bukan hak sama rata.
Jika adil itu hak sama rata, maka pihak-pihak yang lawan di mahkamah akan mendapat bahagian masing-masing.
Sedangkan, keadilan itu perlu diadili seorang yang bijaksana. Dalam konteks Mahkamah, seorang hakim yang turut dipanggil Yang Arif.
Panjang nak hurai bab ni. Tapi sejak mengetahui makna sebenar adil, saya bersikap adil kepada diri sendiri dan orang sekeliling.
Menjadi seorang ketua, perlu berlaku adil pada orang bawahan. Setiap perkara harus diawasi, dikawal dan diberi pertimbangan sewajarnya selepas melihat situasi menyeluruh.
Sebagai seorang ibu, perlu bersikap adil terhadap anak-anak. Bukan bermaksud memberi sama rata kepada setiap anak. Tetapi harus menggunakan kebijaksanaan dalam mengurus anak-anak. Jika berlaku adil bermaksud memberi hak sama rata, anak yang di sekolah rendah akan dapat wang saku yang sama dengan anak di sekolah menengah sedangkan perbelanjaan di sekolah rendah tidak sebanyak belanja di sekolah menengah.
Adil juga bermaksud tidak berat sebelah.
Adil.
Ia satu perkataan ringkas tapi untuk memahami dan melaksanakannya perlu hikmah yang tersirat.
Wednesday, June 29, 2022
Anak Angkat
Pertama kali saya melihat bayi dibawa masuk ke mahkamah. Itu pun asalnya saya tak perasan langsung. Sikit bunyi pun tak dengar dari bayi tersebut. Yang membuatkan saya tertarik untuk melihat ke arah bayi itu dan pasangan yang membawa bayi itu sendiri.
Biasanya mereka yang ada urusan di Mahkamah akan cuba berpakaian seformal yang mungkin. Tapi lelaki di sebelah saya ini hanya memakai t-shirt usang dan seluar pendek paras lutut.
Pasangannya juga berpakaian sama. Tubuh mereka berdua agak gempal. Dari raut wajah dan bentuk tubuh, saya anggarkan mereka dalam lingkungan umur hujung 30-an.
Saya turut perhatikan si bapa yang beria bermain dengan bayi. Diagahnya manusia di dalam balutan itu meskipun sedikit suara pun saya tak dengar. Biasanya bayi kalau diagah bunyi jugak suaranya.
"Er, tahulah seronok dapat anak tapi tak perlu la main cukcak dalam mahkamah", hati saya mendengus kepanasan. Sebenarnya panas tunggu pihak lawan. Kes boleh selesai cepat tapi sebab tunggu 'diva' jadi lambat kes dipanggil.
Mahkamah tersebut sebenarnya tidak sesibuk mahkamah lain. Setakat yang yang hadir kes sebelum ni, hanya ada tiga empat kes pada sesi pagi.
Mungkin hakim akan sibuk sesi petang dan tengahari.
Berbalik kepada bayi tadi, saya dapat lihat dia dikendong penuh kasih sayang oleh si ibu. Kain berwarna biru muda membaluti tubuhnya dengan sangat kemas.
"Ibu ini betul-betul menjaga bayi ni daripada kesejukan pendingin hawa mahkamah", getus hati kecil saya.
Sesekali mulutnya dicium ke pipi si bayi. Tubuh bayi dipeluk rapat.
Si bapa pula bergilir memegang bayi.
Saya sebenarnya pelik dengan situasi tersebut. Jarang saya lihat aksi begitu di dalam Mahkamah. Bukan jarang, inilah kali pertama saya lihat bayi dibawa ke Mahkamah.
Apabila kes dipanggil, barulah saya tahu bahawa ia adalah satu proses untuk pengangkatan anak.
Saya dapat melihat pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat membawa fail berisi maklumat penting tentang pengangkatan anak itu. Tidak pula saya menyapa beliau, bimbang maklumat sulit terdedah.
Beruntunglah bayi yang "diangkat" ini. Semoga nasibnya lebih baik bersama ibu bapa baharu.
Dalam hati, saya bersyukur kerana dapat melahirkan zuriat sendiri. Yang marah-marah sebelum ke mahkamah tadi, saya telan sendiri. Semoga selepas ini saya lebih mensyukuri nikmat Ilahi - anak!
Penyusun Fail Kehormat
Antara kerja-kerja saya yang awal semasa mulakan latihan dalam kamar adalah menjadi penyusun fail kehormat.
Arahan bos adalah supaya saya dapatkan fail bagi kes yang telah difailkan ke Mahkamah, susun ikut tarikh sebutan. Susun untuk seminggu terus supaya senang nak atur jadual mahkamah para peguam.
Tugas ni lebih mudah bagi saya berbanding tugas menulis cek dan kad AR Berdaftar. Ya, pelatih dalam kamar buat kerja kerani juga awal-awal latihan. Ini belum termasuk lipat surat, jawab panggilan telefon dan sebagainya.
Perkara-perkara yang saya pelajari semasa latihan dalam kamar banyak saya gunakan kembali dalam pekerjaan saya selepas latihan dalam kamar.
Hantar surat? Tak perlu tunggu staf. Boleh saja buat sendiri jika terdesak. Bila dah terbiasa buat kerja dari bawah, kita tidak lagi kekok. Letak di mana-mana pun kita mampu bertugas dengan baik. Tak perlu "bossy" sangat mengarah itu dan ini.
Berbalik kepada tugas seorang penyusun fail, awal-awal buat tugas ni sangat mencabar rasanya. Nak cari fail, nak minta fail dari staf, nak susun fail ikut tarikh, nak tengok status fail, nak kemaskini diari mahkamah dan sebagainya.
Selepas short call, saya akhirnya dapat jua untuk appear di hadapan majistret atau hakim dalam kamar. Maknanya, saya juga berpeluang seperti peguam untuk mengendalikan fail firma.
Maka, susunan fail tadi sangat membantu dalam urusan harian bagi sebutan kes di mahkamah. Peguam dah tahu fail di mana. Jadi, peguam boleh menyemak fail sebelum ke Mahkamah. Barulah kes tidak dibuang kerana peguam boleh menyemak fail sebelum ke mahkamah dan kemaskini fail mengikut status terkini.
Perkara yang sama saya lakukan di Unit kecil saya sekarang ini. Semua fail bagi tarikh sebutan seminggu akan diletakkan di satu rak yang mudah dicapai. Peguam dan penyedia ada akses ke atas fail untuk semak status terkini sebutan tarikh sebutan kes.
Hal ini saya laksanakan setelah terlalu banyak kes yang difailkan tetapi tidak berjaya serahan. Bila semak rupanya dah serah tapi tiada afidavit difailkan.
Sesuatu pekerjaan akan lebih mudah jika ia dibuat secara berpasukan. Kerjasama berpasukan ini penting supaya setiap pihak melakukan tanggungjawab masing-masing dan memainkan peranan signifikan ke atas kejayaan Unit.
Peguam JID
Hanya bunyi pendingin udara yang mengisi suasana pagi ini. Penjarakkan sosial yang diamalkan (dan diamarankan) menyebabkan suasana begitu sunyi. Biasanya para Peguam akan berbual dengan rakan bijaksana yang duduk di sebelahnya.
Tettt..bunyi loceng Mahkamah mengejutkan saya yang masih leka mendengar jarum jam berdetik dan pendingin udara yang seakan berusaha memberi khidmat terbaik untuk menyejukkan suasana pagi itu.
Kelihatan seorang perempuan bertubuh kecil bertudung hitam melangkah masuk dan memberi hormat.
Kes dibacakan oleh Jurubahasa yang berada di depan Hakim bertudung hitam tadi.
"Kes nombor satu dalam senarai, BA-B51NCvC-01/2021, Kerajaan Malaysia v ABC Sdn Bhd".
Saya lantas bangun memohon izin Mahkamah, memperkenalkan diri dan peguam pihak lawan.
Kemudian, pihak-pihak memaklumkan kepada Mahkamah status kes yang kami kendalikan.
"Tiada penyelesaian yang dicapai antara pihak Plaintif dan Defendan".
"Oleh itu, pihak Plaintif akan memfailkan Permohonan Penghakiman Terus".
Begitulah tugas saya sebagai peguam kerajaan.
Penghakiman terus bukan bermaksud terus boleh masuk penghakiman. Sebaliknya ia dibuat melalui pertukaran afidavit sahaja. Tiada bicara (untuk panggil saksi). Ia lebih mudah.
Dahulu semasa menjadi peguam panel bank, kami dikenali sebagai peguam JID. Juga satu kerja yang mudah. Orang kata kes straight forward menang kat bank akibat terma yang telah dipersetujui pelanggan.
Struktur Mahkamah
Dari segi fizikal, bangunan Mahkamah rendah di Selayang, Bandar Baru Bangi, Sungai Petani dan Bukit Mertajam adalah hampir sama. Ia terdiri daripada dua blok bangunan yang terpisah dengan kedudukan tangga di bahagian tengah bangunan. Perbandingan ini berdasarkan kehadiran saya ke kompleks mahkamah tersebut untuk mengendalikan kes dan berdasarkan ingatan saya ketika menulis perkara ini.
Secara ringkasnya, hierarki Mahkamah terdiri daripada:
1) Mahkamah rendah,
2) Mahkamah tinggi dan
3) Mahkamah rayuan
yang mempunyai bidang kuasa yang berlainan.
Mahkamah rendah menempatkan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret. Manakala mahkamah tinggi menempatkan Mahkamah Tinggi itu sendiri.
Mahkamah rayuan pula melibatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Dari segi bidangkuasa, Mahkamah Majistret mempunyai bidang kuasa bagi kes sivil melibatkan tuntutan tidak melebihi RM100k. Tuntutan melebihi RM100k hingga ke RM999,999.99 adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Sesyen, manakala bidangkuasa Mahkamah Tinggi adalah bagi kes melibatkan tuntutan RM1juta ke atas.
Sijil Cuti Sakit
Legal Eagle
LAROW
Sunday, June 26, 2022
Contempt of Court
Saat kereta menyelusuri papan tanda "Taiping" di Lebuhraya Utara Selatan, saya terkenang kisah silam ketika chambering.
Saya ditugaskan untuk mengendalikan satu kes di Mahkamah Tinggi Taiping. PDK hanya boleh mengendalikan kes dalam kamar di Mahkamah Tinggi.
Oleh kerana kes tersebut hanya di peringkat pengurusan kes yang biasanya dijalankan dalam kamar dan kebetulan juga tiada peguam sekitar Taiping yang boleh tolong sebut bagi pihak, maka saya dengan berat hati mengusung fail kes yang berat itu ke Taiping.
Pengalaman beberapa kali mengendalikan kes di peringkat mahkamah rendah sebelum ini menyebabkan saya kurang bersedia.
"Oh, fail ni mudah saja. Nanti minta tarikh untuk failkan deraf Perintah", pesan kakitangan firma.
Minta tarikh saja. Bukan bicara. Mudah sangat. Tak perlu buka fail tebal ini. Sebelum ni pun kalau nak minta tarikh, ia satu proses yang sangat mudah.
Tidak saya menduga, kes di depan Yang Arif lain fe'elnya. Yang Arif bertanya beberapa soalan penting yang tidak dapat saya jawab. Ya lah, saya tak bersedia!
Saya hanya percaya pada kata-kata staf tanpa menyelak fail. Teruk juga saya dimarahi Yang Arif. Menitik juga air mata chambee ni. Padan muka.
Ia satu pengajaran yang sangat berguna kepada saya. Sentiasa bersedia, study fail, baca dari kulit ke kulit, pastikan tiada sebarang ketidakpatuhan terhadap dateline mahkamah. Jika ada ketidakpatuhan prosedur, cepat-cepat failkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran mahkamah.
Begitulah berharganya satu pengalaman pahit. Cukuplah sekali saya alami. Ia menjadi kenangan yang diingati sampai bila-bila.
Mahkamah pada ketika itu hampir nak sabitkan saya menghina mahkamah (contempt of court). Mujur status pelatih dalam kamar menyelamatkan saya.
Saturday, June 25, 2022
Minat
Baru-baru ini aku membaca sebuah buku berjudul "Grit". Grit ni tiada definisi khas. Namun setelah selesai menghabiskan buku ini, aku boleh simpulkan bahawa grit membawa maksud kecekalan, ketabahan, semangat, kegagahan, tetap pendirian, keazaman, tekad dan minat. (Carian di rujukan rasmi persuratan Melayu tidak menjumpai makna yang sama dengan grit namun khazanah bahasa kita lebih luas maksudnya.
Ada satu poin menarik yang aku ingin kongsikan iaitu minat. Minat ni akan mendorong seseorang untuk kekal melakukan sesuatu dengan lebih baik secara konsisten.
Bukan apa, ada ibubapa yang mahukan supaya anak mereka menjadi peguam - meneruskan legasi dalam keluarga sedangkan anak mereka tidak minat.
Bila tidak minat, segala usaha dibuat sambil lewa, tidak bersungguh-sungguh. Semua tugasan dirasa beban, pelajaran dianggap sukar.
Bagi aku, bila di peringkat menengah atas iaitu tingkatan 4 dan 5, anak-anak sepatutnya sudah tahu hala tuju masa depan. Aliran sains atau sastera, sekolah elit atau sekolah biasa, universiti awam atau luar negara—sepatutnya di peringkat ini anak-anak sudah tahu nak jadi apa, bukan lagi berdasarkan telunjuk ibubapa. Anda sudah remaja, sudah boleh menimbang tara keputusan hidup di hari muka!
Bebanan selepas itu lebih kental dan menduga sifatnya. Jika tiada minat, usaha juga tiada. Prestasi akan merudum akhirnya tak jadi apa-apa. Rugi masa remaja dan belia.
Friday, June 24, 2022
Kutu Haram Kutu Halal
Ramai yang salah anggap bahawa kutu tradisional pun menyalahi akta.
Thursday, June 23, 2022
Tak Kompeten
Seringkali terbaca komen di media sosial bahawa peguam atau Pendakwa Raya tidak kompeten menjalankan tugas.
Ketahuilah, tugas sebagai peguam atau Pendakwa Raya bukan tugas mudah. Profesion ini bukan profesion tangkap muat. Semua bukti telah diperhalusi dan dikaji. Sekiranya kes tidak memihak kepada orang yang kita favour, tidak bermakna peguam atau Pendakwa gagal menjalankan fungsi mereka dengan baik.
Menang kalah sesuatu kes adalah berdasarkan kepada keterangan-keterangan atau bukti-bukti yang telah dipersembahkan di mahkamah. Majistret, Hakim atau pun Yang Arif sudah pasti bijak menilai dan membaca setiap pliding dan autoriti yang dikemukakan pihak-pihak.
Rakan-rakan yang beramal sebagai peguam dan bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya arif benar dengan keputusan mahkamah yang kadangkala tidak boleh dijangka. Jika yakin kes sepatutnya boleh menang, pihak yang tewas boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi bahawa Hakim atau Yang Arif telah khilaf dalam membuat keputusan.
NSA
23.6.2022
Wednesday, June 22, 2022
Legal Opinion
Legal opinion ni terjemahan kepada pendapat undang-undang.
Pendapat undang-undang daripada seorang peguam amat berharga nilainya kerana mereka menulis berdasarkan fakta, melalui kajian dan menurut peruntukan undang-undang berkaitan. Pendapat undang-undang seorang peguam boleh jadi punca pendapatan peguam tau. Ada peguam yang caj perkhidmatan ini kerana beliau telah menggunakan masanya yang berharga untuk membantu klien atau bakal klien.
Saya mempunyai pengalaman membuat legal opinion semasa di tahun akhir seperti yang pernah dikongsi sebelum ini. Dalam masa-masa lain, kebanyakan pendapat mengenai undang-undang dirujuk secara asas, maka tidak pernah saya meminta bayaran daripada yang bertanya.
Legal opinion seorang peguam mungkin berbeza di antara peguam A dan peguam B terutamanya jika mereka mewakili pihak yang berlawanan. Ia seumpama melihat gelas separuh penuh atau separuh kosong.
Peguam akan mencari autoriti atau fakta yang menyokong tindakan anak guam. Sekiranya tiada fakta yang menyokong tindakan anak guam, peguam akan menasihati anak guam untuk tidak meneruskan tuntutan atau tindakan.
Dalam blog ini, label legal opinion akan digunakan untuk menyatakan pendapat saya secara random berkenaan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian.
Nak Jadi Peguam Syarie?
Minggu pertama di firma guaman semasa menjalankan latihan dalam kamar, saya dikehendaki berkenalan dengan semua peguam dan berjumpa dengan mereka. Firma saya terletak di unit kedai dua tingkat lot tepi yang mana tingkat bawah mengendalikan kes hartanah atau bahagian conveyancing manakala tingkat atas mengendalikan kes ke mahkamah atau bahagian litigasi.
Semasa berjumpa senior yang mengendalikan kes hartanah, Kak Tee, beliau bertanya kepada saya bidang guaman yang saya hendak ceburi kelak.
"Sakinah minat bidang mana? Jenayah, litigasi atau hartanah?," soal Kak Tee ketika saya berada di bilik beliau petang itu.
"Saya minat membaca Jurnal Hukum. Saya rasa saya nak jadi peguam syarie," balas saya dengan gembiranya meskipun saya tahu, saya perlu tambah kelayakan untuk memohon sebagai peguam syarie Pulau Pinang.
"Apa? Peguam Syarie?", soal beliau terkejut.
Saya hanya membalas dengan senyuman. Saya minat subjek Syariah sejak ambil SPM dulu. Seronok bila belajar undang-undang alQuran, sebab musabab sesuatu ayat diturunkan, hikmah dan ibrah daripada alQuran. Undang-undang Tuhan kan, ia telah "digubal" sebaiknya untuk kepentingan manusia sejagat.
Namun begitu, realiti peguam syarie bukanlah melaksanakan undang-undang syariah itu. Sebaliknya, peguam syarie yang beramal di Mahkamah Syariah di Malaysia mewakili anak guam bagi kes keluarga; perceraian atau pusaka.
Kes perceraian dilapor di dalam Jurnal Hukum. Seronok baca sebab inilah satu-satunya laporan kes mahkamah dalam bahasa kebangsaan. Laporan kes lain adalah dalam bahasa Inggeris. Sukar nak faham masa awal-awal belajar dahulu.
Lagi pun, kes perceraian ni senang nak relate dengan kehidupan semasa sebab nampak jelas kronologi peristiwa dan fakta kes. Kes-kes lain kena selak nota untuk tahu prinsip undang-undang terlibat dan ia rumit.
Tuesday, June 21, 2022
Perlembagaan Persekutuan
Ini merupakan kitab utama setiap pelajar undang-undang.
Pensyarah saya pernah menyebut, jika orang Islam menggunakan kitab al-Quran sebagai panduan, orang yang belajar undang-undang di Malaysia pula perlu menggunakan "kitab" Perlembagaan Persekutuan sebagai panduan.
Kedudukan Perlembagaan Persekutuan ini adalah di tingkat yang teratas berbanding akta-akta lain yang digubal Parlimen.
Saya tidak berhajat untuk menulis lanjut mengenai Perlembagaan Persekutuan kerana saya sendiri belajar undang-undang perlembagaan (Constitutional Law) selama dua semester semasa di UIA dahulu. Semester pertama adalah mengenai hak-hak asas yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan. Antaranya:
1) Kebebasan Asasi - Perkara 5;
2) Kebebasan Bersuara - Perkara 10; dan
3) Hak terhadap harta - Perkara 13.
Manakala semester kedua lebih terperinci perbincangannya.
Perlembagaan Persekutuan menggariskan hak dan undang-undang sebelum akta digubal. Sesuatu akta akan dikatakan tidak berpelembagaan sekiranya ia menzalimi rakyat. Ha, ini yang menarik ni.
Pernah dengar Perhimpunan Bersih?
Dalam kebanyakan kes, peguam akan berhujah bahawa sesuatu akta atau peruntukan akta itu tidak berpelembagaan kerana hak anak guam tertindas.
Peguambela akan berhujah bahawa akta atau sesuatu peruntukan itu ultra vires perlembagaan. Maka, ia tidak wajar dikenakan hukuman. Ia dikatakan ultra vires perlembagaan apabila kesalahan atau hukuman yang dikenakan mengatasi peruntukan perlembagaan.
Subjek undang-undang Perlembagaan merupakan salah satu subjek paling dry - ia sangat membosankan kerana pelajar tidak nampak pemakaian undang-undang ini dalam kehidupan seharian. Tidak seperti subjek undang-undang lain yang melekat dalam realiti kehidupan.
Kami ditempatkan dalam Moot Court, sebuah dewan kuliah besar yang mengumpulkan pelajar dari beberapa kumpulan yang memenuhi segenap ruang kuliah. Pensyarah pula seorang yang berfikiran kritis dan telah menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat iaitu mengundi. Kebanyakan rakan saya berpendapat, subjek ini adalah antara cabang subjek undang-undang yang paling mengantuk dalam kelas.
Meskipun kelas mengantuk, saya teringat-ingat saat pensyarah menyebut nama kes Stephen Kalong Ningkan. Mungkin ketika itu saya juga mengantuk dan sedang transisi diri ke zon theta -
"Experts believe that theta waves are important for processing information and making memories".
Kes ini tidak berhantu atau menghantui saya. Namun ia tersimpan dalam memori otak yang paling dalam. Benarlah, jika pelajar tidur dalam kelas maksudnya otak tengah proses maklumat. Eh!
Monday, June 20, 2022
Tips Belajar
Semasa di tahun pertama, Unit Kaunseling dan Kerjaya UIA telah mengadakan satu sesi perkongsian dengan pelajar cemerlang merangkap peguam. Namun begitu, saya sudah lupa siapa empunya nama peguam yang sudi berkongsi kisah kejayaan beliau dengan kami kerana peristiwa ini berlaku 20 tahun yang lalu.
Sayangnya, program hebat ini hanya dihadiri saya, rakan baik dan seorang lagi pelajar. Kebanyakan pelajar terlepas info penting program ini kerana ia tidak dianjurkan oleh Kulliyyah.
Program diadakan di Lecture Hall 2 pada sesi petang. Kebiasaannya, kelas untuk Kulliyyah kami ditetapkan pada sesi pagi manakala sesi petang untuk tutorial.
"Waktu belajar kita belajar, waktu tidur kita tidur, waktu main kita main," nasihat abang peguam kepada kami.
"Waktu belajar, kita belajar bersungguh-sungguh. Bersedia sebelum ke kelas. Buat pembacaan awal supaya lebih faham apa yang akan diajar pensyarah."
"Waktu tidur, tidur sungguh-sungguh."
"Saya akan tidur sebelum jam 12 malam, setiap hari. Saya tidak akan tidur melewati jam 12 meskipun esok adalah peperiksaan".
"Saya juga bahagikan masa untuk bersenam supaya badan kekal sihat dan cergas. Ingat, badan cergas minda cerdas!," begitulah beberapa perkongsian yang saya kutip dan amalkan sepanjang pengajian.
Berdasarkan pemerhatian saya, orang yang berjaya mempunyai jadual belajar/kerja yang sistematik.
Orang yang berjaya bahagikan masa untuk beberapa aktiviti penting untuk kelangsungan hidup. Bukan hanya fokus belajar sebaliknya perlu bersenam dan bersosial. Hal ini penting untuk kesihatan mental dan fizikal.
Sunday, June 19, 2022
Buku-Buku Peguam dan Kisah Hidup
Bila dikumpul, rupa-rupanya saya sudah mempunyai lima buah buku berkenaan subjek kepeguaman dan kisah hidup peguam.
Buku "Apa Kes, Tuan" ditulis oleh rakan bijaksana yang satu batch dengan saya di UIA dahulu, Pak Syeikh nama glamer beliau. Kisah perjalanan hidup beliau yang bergelar peguam kerana memenuhi permintaan si ayah untuk beliau mengikuti kursus undang-undang. Buku ini diterbitkan oleh Studio Anai Anai.
Empat lagi buku lain diterbitkan oleh Penerbit yang sama iaitu ilhambooks.
Terus terang, yang paling saya suka baca adalah buku berjudul Peguam Kriminal dan Peguam Kriminal Extended. Saya berdoa selepas ini akan ada lagi buku daripada Penulis ini. Mungkin Peguam Kriminal Extended Reloaded dan Peguam Kriminal Extended Reloaded Renovated. Haha!
Saya akan review buku Peguam Kriminal Extended sebaik sahaja saya habis membaca kelak. Buku ini baru saja diterbitkan tahun ini. In fact, ia diterbitkan sebelum PBAKL. Memang best sangat jadi ketagih nak habiskan satu buku ni dengan segera.
Penulis Idola
Saya berkesempatan bertemu seorang penulis tersohor yang saya kagumi di Majlis Riang Ria Raya Alkis. Saya menyatakan bahawa saya telah menghabiskan bacaan buku beliau "Saya Ada 25 Jam Sehari" pada tahun 2017 dulu.
Saya amat kagumi sikap rendah diri yang ditonjolkan meskipun beliau adalah seorang CEO Syarikat Antarabangsa yang terkenal di bidang perbankan Islam.
"Saya sedang menulis sebuah buku, Tan Sri. Baru sahaja bermula bulan Jun ini", terang saya selepas diperkenalkan suami.
"Menulis setiap hari. Konsisten dalam penulisan sehingga ia sebati dengan jiwa. Tulis sehingga dapat 200 perkataan dalam sehari," nasihat beliau kepada saya.
Ada beberapa lagi nasihat yang tidak sempat saya catat lantaran kami bertembung secara tidak sengaja dan saya juga tidak membawa sebarang buku nota. Rugi!
"Bila sudah beri komitmen untuk menulis, akan ada hari-hari tertentu yang perlu diperuntukkan untuk menyunting tulisan tersebut," tambah beliau lagi.
Itulah beberapa keping nasihat berguna yang saya akan pegang dan ingat sampai bila-bila.
Beliau turut memaklumkan bahawa buku "Saya Ada 25 Jam Sehari" menjadi salah satu buku bestseller di PBAKL baru-baru ini. Beliau langsung tidak menjangka bahawa buku itu meletup.
"Buku ini tidak akan relevan lagi selepas ini kerana saya akan palang angka 25 di tajuk buku dan akan menggantikannya dengan 30."
"Ia satu teknik marketing memandangkan buku ini sudah menjadi pilihan pembaca."
Begitulah serba sedikit perbualan kami tentang salah satu buku yang ditulis beliau. Saya ada beberapa naskhah tulisan beliau namun masih belum menghabiskan bacaannya sebagaimana buku "25 Jam".
Sehingga kini saya tertanya-tanya, bagaimana ya orang yang sibuk boleh menulis?
Jika CEO syarikat antarabangsa boleh menulis, takkan Sakinah pekerja bawahan yang cabuk ini tak mampu menulis?
(Oh, sebenarnya saya takut orang kritik tulisan saya. Tapi bila saya baca buku dan tonton video beberapa orang influencer, saya dapati mereka kalis kecaman. Bukan tiada yang mengecam tetapi kita tidak perlu terlalu memikirkan 1/10 yang mengecam, sebaliknya, fokus kepada 9 orang lagi yang menanti perkongsian daripada kita!)
Jom bangkit menulis!
Disclaimer: Tulislah bahan yang bermanfaat dan bukan bahan mengumpat.
Saturday, June 18, 2022
Menang Kes!
Hati berbunga-bunga apabila kes yang dikendalikan memihak kepada kita. Lebih menarik apabila Yang Arif Hakim memutuskan bahawa "semua pernyataan Perayu telah dijawab oleh Responden".
Kes bicara semalam dijalankan secara e-review. Penat juga menaip di skrin berbanding bicara yang dijalankan secara zoom atau bersemuka. Boleh berhujah secara terus di depan Hakim.
Ini kelebihan peguam yang suka membaca. Saya baca beberapa kes penting di peringkat Mahkamah yang lebih tinggi daripada Mahkamah Tinggi iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dan menggunakan kes tersebut semalam. Mahkamah berpuas hati terhadap autoriti yang saya gunakan.
Bila peguam pihak lawan cuba mengelirukan Mahkamah, saya keluarkan ilmu semasa bertugas di Bahagian Gubalan untuk membantu Mahkamah membaca peruntukan akta yang berkaitan. Skil membaca akta sangat penting kerana kebanyakan peruntukan undang-undang ini saling kait.
"Peguam Responden tidak pernah merujuk kepada seksyen 13, 14 dan 16 sebelum ini. Peruntukan ini tidak dirujuk di dalam mana-mana pliding sebelum ini. Maka adalah dihujahkan bahawa ini merupakan isu baharu dan satu pemikiran terkemudian (afterthought)", bantah peguam Perayu.
"Pihak Responden tidak akan merujuk kepada peruntukan ini sekiranya Perayu memahami hasrat parlimen dalam menggubal seksyen pindaan ini yang ternyata ia tidak esa dan tidak boleh berdiri dengan sendirinya.
"Peruntukan seksyen 21B harus dibaca bersama dengan seksyen-seksyen di atas yang memperincikan lebih lanjut mengenai tindakan Ketua Pengarah..." panjang balasan saya kerana saya betul-betul menghayati peruntukan akta yang terlibat. Ya, kena baca (dan faham) each and every word.
Mana boleh petik yang dia suka sahaja.
Saya juga "perli" peguam Perayu dalam hujahan bertulis sebelum ini, "Responden berhujah bahawa terdapat peruntukan berkaitan yang tidak dirujuk Perayu "upon careful analysis of the law".
Pembelaan Perayu berpaksikan peruntukan tunggal iaitu seksyen 21B semata-mata".
Ayat nak bagi Mahkamah baca pun kenalah sedap didengar. Barulah hujahan kita diterima Mahkamah (jangan kelirukan Mahkamah ya!)
Pukul 9 bermula, pukul 11.30 baru Mahkamah tamat.
Untuk kes ini, saya telah menang 3 kali dan tewas 1 kali di peringkat Mahkamah Rayuan. Peguam Perayu dah maklumkan, mereka akan tetap lawan habis-habisan. Maksudnya, ada chance kes ini dirayu ke Mahkamah yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Rayuan!
Friday, June 17, 2022
Bahasa Latin dalam Undang-Undang
Kerja Muntah-Muntah
Perkataan bahasa Inggeris "lawyer" mempunyai sebutan bunyi yang sama dengan perkataan bahasa Melayu, loya (disebut dengan sebutan slang KL, loye).
Satu hari, anak kedua saya, Naura yang ketika itu di tahun tiga sekolah rendah menceritakan perihal soalan rakan sekelasnya berkenaan pekerjaan ibu.
"Mama, kawan Kakngah pelik dengar Kakngah sebut kerja Mama," sembang Kakngah semasa kami menikmati makan malam bersama-sama.
Saya yang sedang menyuap makanan ke mulut tidak sempat bertanyakan lebih lanjut soalan rakan sekelas Kakngah apabila Kakngah dengan penuh innocent menyambung,
"Amni tanya banyak kali, betul ke Mak awak loye (loya)?".
"Kerja loye? Kerja muntah-muntah?", soal Amni penuh tanda tanya.
Hampir tersembur keluar makanan dalam mulut saya.
Tak pernah dalam hidup, saya dituduh mengandung sepanjang perkhidmatan sebagai peguam. Cukuplah lima orang anak dan lima kali pengalaman mengandung. Saya tahulah setiap kali mengandung saya akan loya dan kerja muntah-muntah.
Sehingga ke hari ini saya masih ingat peristiwa lucu ini.
Lawyer, kerja muntah-muntah!
Thursday, June 16, 2022
Peguam atau Pensyarah?
Ketika di tahun akhir, saya dan pelajar-pelajar kelas Professional Practice (PP) dikehendaki berjumpa pensyarah kami iaitu Encik Baharudden. Tujuannya adalah untuk menghantar hasil kerja "firma guaman" kami yang telah dibekalkan sebelum itu iaitu legal opinion mengenai status sebuah universiti di luar negara yang kursus perubatannya tidak diiktiraf JPA.
Tugasan ini paling mencabar kerana ia mendedahkan kami semua kepada tugasan peguam sebenar apabila dilantik oleh klien untuk memberi pandangan undang-undang yang kosnya seiring dengan profesionalisma seorang peguam.
Lebih mencabar apabila Encik Bahar sendiri merupakan bekas peguam dan beliau merupakan antara pensyarah yang digeruni. Bayangkan jika kelas bermula jam 8.00 pagi, maka pintu kelas akan dikunci sebaik sahaja jarum jam melewati 8.01 pagi. Begitu tinggi disiplin yang dibentuk Encik Bahar kepada kami.
Sebenarnya, pelajar boleh memilih untuk meninggalkan tugasan di depan pintu pejabat Encik Bahar atau menyerahkan sendiri ke tangan Encik Bahar bagi mengelakkan tugasan dicuri mereka yang tidak bertanggungjawab.
Saya masih takut-takut untuk berjumpa beliau bagi menghantar tugasan ini, namun terpaksa menguatkan langkah bertemu beliau demi tugasan terakhir yang dibuat dengan daya usaha yang paling bagus yang saya mampu lakukan.
Sambil menghantar tugasan, sempat juga Encik Bahar menasihati kami sebelum kami melangkah keluar meninggalkan zaman ‘kena suap’ ilmu.
Tips Memilih Kursus Undang-Undang
Ini bukanlah satu tips sebenarnya.
Tapi inilah yang saya lakukan dahulu sebelum saya memilih jurusan undang-undang di universiti.
Permohonan ke universiti dahulu dibuat secara manual iaitu dengan mengisi borang permohonan berdasarkan buku panduan Universiti atau buku UPU. Tebal buku panduan ini kerana ia mengandungi syarat kemasukan bagi ke semua universiti awam ketika itu. Maksudnya, sebelum memohon sesuatu jurusan, pelajar perlu lihat apa syarat kemasukan kerana silap mengisi borang permohonan akan menyebabkan ia ditolak.
Sebagai anak kelima daripada 10 orang adik-beradik, buku UPU di rumah ada lebih empat salinan semuanya yang mewakili kakak-kakak dan abang yang memohon UPU selepas tamat peperiksaan SPM dan STPM.
Saya hanya tertarik dengan kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan syarat kemasukan ke UiTM, UKM, UIA dan UM saya perhalusi saban hari. Ya, dahulu hanya empat universiti awam ini yang menawarkan LLB.
Maka, saya belajar untuk SPM dengan memfokuskan kelayakan minima untuk mengambil jurusan undang-undang di UIA. Seingat saya hanya perlu kredit dalam subjek bahasa Inggeris dan kepujian dalam bahasa Arab adalah satu kelebihan. Subjek Bahasa Melayu sudah tentu wajib kepujian bersama lima subjek pilihan yang lain.
Dalam keputusan SPM tahun 1999, saya mendapat kepujian dalam subjek berikut: Bahasa Melayu, Bahasa Arab Tinggi, Bahasa Arab Komunikasi, Sejarah, Matematik dan Pendidikan Syariah Islamiah dengan pangkat 1 14 agregat.
Keputusan ini memenuhi syarat kemasukan "cukup makan" berdasarkan buku panduan UPU yang kebetulan tidak banyak perubahan dengan buku panduan UPU yang diwarisi daripada abang dan kakak-kakak saya.
Tahun berikutnya, saya mendaftar diri sebagai pelajar matrikulasi bagi jurusan undang-undang di UIA.
Dapat jua saya mengikuti jurusan yang saya minati tanpa mendapat kursus lelong di universiti pilihan. Buat pertama kalinya, anak perempuan Abah belajar di luar negeri. Bukan oversea tapi luar negeri Pulau Pinang.
Remember, study smart!
Wednesday, June 15, 2022
Tips Menjadi Pelajar Undang-Undang yang Cemerlang
Tips ini merupakan gabungan yang saya perolehi daripada pensyarah universiti secara amnya dan pensyarah undang-undang secara khususnya serta pengamatan saya terhadap pelajar cemerlang.
Saya menggunakan dan mengamalkan tips ini dan berjaya memperolehi Anugerah Dekan di tahun tiga pengajian selepas beberapa semester mengamalkannya.
Tips pertama saya dapat daripada seorang pensyarah universiti yang merupakan bapa saya sendiri. Soalan saya, bagaimana nak survived di universiti? Bagaimana untuk menjadi pelajar universiti yang berjaya tamat pengajian tanpa mengulang. Pesan bapa saya, sentiasa bertanya pensyarah jika tidak faham sesuatu subjek atau pengajian dan jangan ponteng kuliah.
Tips kedua saya amalkan selepas mendapat tip pertama iaitu berjumpa pensyarah selepas kelas apabila saya tidak faham apa yang diajar. Pensyarah saya di tahun satu, Dr Musheera Ambaras Khan sangat mengalu-alukan kedatangan saya ke bilik beliau untuk konsultasi. Saya mengaku penguasaan bahasa Inggeris saya teruk dan saya agak stuggling memahami isi kuliah undang-undang yang dibuat dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.
Dr Musheera mengajar saya membuat nota ringkas berdasarkan peta minda. Peta minda ini perlu menggunakan kertas A4 berwarna putih semata-mata dan ditulis/dilakar dengan pen dakwat basah berwarna hitam sahaja. Jangan menggunakan kertas kajang yang mempunyai garisan berbelang kerana ia akan mengganggu tumpuan dan konsentrasi dan jangan menggunakan pen merah kerana kajian menunjukkan memori yang dibaca dengan tulisan berwarna merah tidak akan kekal lama di minda.
Tips ketiga merupakan tips dari pelajar cemerlang. Tips ini tidaklah saya peroleh dengan menemuduga mereka kerana kebanyakan pelajar cemerlang ini sangat merendah diri. Kebetulan, beliau merupakan rakan sebilik saya di Zaynab Al-Jahsyi College, PJ semasa saya di tahun dua matrikulasi dan anak kepada pasangan pensyarah. Jadi, tips kali ini secara tidak langsung ia juga diturunkan oleh pendidik di universiti dan orang yang terpelajar.
Saya lihat beliau akan sediakan satu fail untuk satu subjek yang mana semua bahan mengenai subjek tersebut akan dimasukkan ke dalam fail tersebut. Contohnya, subjek Undang-Undang Tort I. Maka isi penting di dalam fail "Tort I" akan mengandungi:
1) Course Outline;
2) Soalan Peperiksaan Akhir Tahun semester-semester sebelum ini;
3) Kes-kes mengenai tort;
4) Bahan rujukan lain.
Awal semester semasa minggu add and drop, kelas kebanyakannya masih belum bermula. Saya menggunakan peluang ini untuk mengunjungi perpustakaan dan mendapatkan bahan rujukan yang dicadangkan dalam course outline untuk subjek yang diambil pada semester tersebut. Ia mungkin terdiri daripada buku-buku dan kes-kes berkaitan.
Selain persediaan secara fizikal iaitu menyediakan satu subjek satu fail, saya lihat roomate saya turut bersedia dari segi spiritual. Beliau bangun seawal jam 5 pagi - solat tahajjud dan *membaca al-quran sebelum solat subuh berjemaah di surau.
*Kajian menunjukkan membaca alQuran akan stimulate otak kanan (baca dari kanan ke kiri) dan bila kita baca bahan bacaan lain, ia akan stimulate the other side of the brain.
Tidak mustahil dengan mengamalkan tips-tips di atas, kita bukan sahaja menjadi seorang yang berjaya dalam pelajaran (duniawi) namun, kita juga boleh menempa kejayaan syurgawi dengan amalan spiritual di atas.
Moto yang saya pegang semasa read law dahulu, study smart not study hard!
Tips Menjadi Peguam I
Tips ini adalah tips asas yang saya perolehi sejak mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang peguam. Tidaklah saya bertanya susuk tubuh orang yang bergelar peguam kerana tiada kenalan dan ahli keluarga terdekat bergelar peguam.
Tips ini berdasarkan pertanyaan orang sekeliling, mungkin kakak atau ayah.
Pertama, nak jadi peguam perlu rajin membaca.
Kedua, nak jadi peguam perlu minat subjek sejarah.
Membaca tidak jadi masalah kerana ia telah dipupuk ayah. Rumah kami dulu memang tidak boleh tonton tv mengikut selera kami. Pilihan yang ada adalah membaca. Saya boleh menghabiskan majalah Dewan Pelajar yang dilanggan ayah dari kulit ke kulit. Habis satu majalah tersebut saya hayati.
Minat sejarah pula dipupuk apabila saya tekad untuk menjadi peguam. Sejarah memang membosankan. Perlu hafal tarikh dan peristiwa penting serta tokoh yang terlibat.
Kini barulah saya tahu mengapa dua perkara ini penting bagi seorang peguam.
Pertama, peguam perlu banyak membaca — membaca kes-kes yang dilaporkan (reported cases) yang diputuskan oleh mahkamah sebelumnya untuk dijadikan autoriti bagi menyokong hujah kes yang dibawa mewakili anak guam. Mahkamah akan memutuskan keputusan menang atau kalah kes, berdasarkan kes-kes yang telah diputuskan sebelum ini yang kita rujuk. Ia juga dikenali sebagai ratio decidendi. Sesuatu kes yang telah diputuskan ada yang panjangnya setebal novel 400 mukasurat! Contohnya alasan penghakiman kes Najib 1MDB baru-baru ini.
Kedua, tentang sejarah. Peguam perlu minat sejarah kerana kes yang dirujuk anak guam akan narrated berdasarkan kronologi sesuatu peristiwa yang akhirnya membawa kepada pertikaian dan perbalahan pihak-pihak i.e Plaintif v Defendan. Dari peristiwa ini peguam harus pandai mengesktrak fakta penting yang relevan dengan kes atau tuntutan yang akan menyokong kes ini kelak.
Pernah dengar perkataan relevan? Saya pertama kali dengar perkataan ini semasa perbicaraan kes Anwar Ibrahim yang popular satu ketika dahulu. Ala, kes yang usung-usung tilam ke mahkamah tu. Tak ingat? Tidak mengapa kerana ia bukan sejarah yang perlu diingati. Yang pentingnya, jika jadi peguam perlu ingat fakta-fakta penting kerana jika fakta penting tidak diterangkan, kebarangkalian kes akan kalah adalah sangat tinggi.
NSA
15.6.2022
Tuesday, June 14, 2022
Lawyer Bukan Scorer
Masa saya chambering dahulu, Bos (bukan Master), suka bercerita tentang kejayaan dia dan firma. Kadang-kadang, dua tiga kali saya menguap sebab mengantuk dengar ‘cerita’ di atas. Angguk-angguk saya bagi respon, mujur tak tersengguk-sengguk.
Saya Nak Bercerai Malam Ni Jugak!
Berita tentang saya tamat pengajian dan sedang menjalani latihan dalam kamar cepat betul tersebar. Dalam keluarga terdekat, belum ada lagi seorang ahli keluarga yang bergelar peguam.
Bayangkan saya yang baru mengenal dunia kepeguaman sebenar ini namun di mata ahli keluarga, sayalah "Karpal Singh"! Dalam kepayahan belajar selok belok menjadi peguam, banyak juga pertanyaan tentang perundangan yang diterima di kalangan ahli keluarga terdekat.
Satu kejadian yang paling tak boleh saya lupakan adalah apabila saya dihubungi ibu kepada kenalan adik saya semasa saya baru beberapa bulan menjalani latihan dalam kamar. Ok ia tidaklah sesuatu yang pelik tetapi kejadian berlaku semasa saya sudah lena diulit mimpi.
Telefon tiba-tiba berdering mengejutkan saya yang tertidur keletihan selepas seharian bekerja. Saya sempat melihat jam di dinding bilik yang menunjukkan pukul 10 malam.
"Sakinah?" soal si pemanggil.
"Ya saya. Siapa ni?" tanya saya masih mamai.
"Saya Azizah, emak kepada Nurul kawan si Hidayah. Sakinah ni lawyer kan? Nak tanya ni boleh dak kalau makcik nak bercerai. Kalau boleh malam ni jugak sebab ...", jawab si pemanggil. Semuanya saya kira dalam satu nafas sahaja tanpa sempat saya memberi persetujuan dan pandangan. Begitu laju pertanyaan makcik membuatkan saya yang baru bangun tidur terkial-kial mencari jawapan.
Sebenarnya panjang juga penerangan yang Makcik Azizah berikan. Daripada keadaan mamai sehingga segar bugar saya dibuatnya. Sambil dengar suara beliau di corong telefon sempat juga saya relate dengan nota-nota undang-undang keluarga Islam yang pernah dipelajari di tahun dua semester dua. Namun, teori yang dipelajari tidak sama dengan praktis sebenar. Peguam perlu bijak mengadaptasi teori dengan praktis supaya ia selari.
Di hujung talian, saya nasihatkan agar Makcik Azizah menunggu sehingga hari cerah dan terus ke pejabat agama. Malam-malam ni pejabat dah tutup. Nak bercerai pun kena bersabar.
Malam itu, saya benar-benar teringat kata-kata Pensyarah tentang hikmah talak di tangan suami. Perempuan ini kaya emosi. Bila emosi terhakis saat itu juga nak ceraikan suami. Orang Utara bilang, tak dan dan (tak menyempat). Tapi bila emosi bahagia takkan nak rujuk semula? Dan perubahan emosi wanita ini boleh terjadi dalam split second.
Barangkali jika Islam yang Indah ini meletakkan hak cerai di tangan isteri maka pejabat agama dan Mahkamah Syariah memang betul-betul kena beroperasi sehingga malam. Peace!
Peguar
Semasa menyemak kerja sekolah anak keempat bertajuk "Ibu Saya", saya melihat Kauthar menulis perkataan "peguar" di kolum pekerjaan ibu. Sebelumnya, Kauthar bertanya kepada saya yang berada di dapur tentang pekerjaan saya.
Saya kalut di dapur, dia juga kalut nak siapkan kerja sekolah di ruang tamu. Mungkin sebab itulah pekerjaan saya ditulis sebagai peguar. Asal apa yang dia sempat dengar dan faham.
Saya mengetahui kerjaya peguam ini kerana Pengerusi PIBG semasa saya di sekolah rendah dan sekolah menengah dahulu merupakan seorang peguam dan beliau pernah berkongsi kerjaya ini di hadapan kami semua. Beliau yang juga ayah kepada rakan saya seringkali kelihatan kemas dan bergaya.
Anak-anak saya semasa di sekolah rendah memang tak boleh appreciate kerjaya ini. Yang mereka tahu, peguam ke mahkamah, peguam balik kerja lewat. Mungkin itu yang mereka lihat.
Pernah suatu ketika anak kedua saya dibuli di sekolah. Kami baru berpindah sebenarnya dan anak kedua berjaya mendapat tempat di sekolah kerajaan negeri. Apa yang menyedihkan saya adalah apabila buku sekolah beliau "dipinjam" rakan sekelas sejak sekian lama. Bila nama anak asyik naik sebab tak siapkan kerja sekolah, saya pun mula naik angin.
Rupa-rupanya, ada kawan ambil buku dan tak pulangkan. Menjadi pelajar baharu dan tidak mempunyai kawan-kawan, anak saya takut untuk mendapatkan hak beliau kembali. Bagaimana anak peguam takut nak pertahankan hak?
Barangkali anak saya naif tentang peguam yang diketahui sebagai seorang yang akan membela hak mereka yang tertindas.
Kes selesai akhirnya selepas saya mengajar anak bertegas mempertahankan haknya.
Begitulah, tak semestinya emak peguam asyik nak saman cikgu sekolah saja.
Monday, June 13, 2022
Latihan Dalam Kamar
Sunday, June 12, 2022
Kampung Baru KL
Menulis tajuk ini membuatkan saya teringat sewaktu di kelas terjemahan di ITBM. Ada beza antara Johor Bahru, Kota Bharu dan Kampung Baru. Begitu juga perbezaan di antara baru dan baharu. Namun pada tulisan ini, saya tidak berhasrat memanjangkan nota pengajar saya mengenai Bahru, Bharu dan Baru.
Rasa bersalah kepada anak-anak kerana cuti sekolah hampir berakhir dan kerana kekangan kerja, saya tidak dapat mengambil cuti untuk bersama-sama mereka. Mujurlah rakan setugas memaklumkan bahawa tarikh akhir untuk saya memfailkan Hujahan Bertulis kes X dilanjutkan pada hari Ahad 12.6.2022. Asalnya pihak Mahkamah menetapkan tarikh untuk pihak Plaintif dan Defendan memfailkan Hujahan Bertulis adalah pada hari Jumaat, 10.6.2022.
Sebaik dapat tahu hal ini, saya terus memohon cuti separuh hari pada hari Jumaat. Tempat terdekat yang boleh dilawati hanyalah 12 km dari pejabat saya. Plan asalnya nak ajar anak-anak naik Komuter ke KL Sentral tapi disebabkan suami turut mengambil cuti separuh hari, suami akan ambil anak-anak di SA dan bergerak ke KL.
Kami menginap di sebuah rumah inap baharu di Legasi, Kampung Baru. Rumah ini terletak di tingkat 21, di sebuah bangunan kediaman yang baru sahaja siap didiami. Jika dibandingkan dengan harga hotel berdekatan, harga rumah inapan lebih murah. Malahan, ia terletak di kawasan strategik syurga makanan Kampung Baru.
Tujuan asal bukan nak makan sangat, tapi nak bawa anak-anak mengenali Kampung Baru, satu-satunya kampung yang wujud di tengah-tengah kotaraya.
Bila berada di tingkat atas, memang mudah untuk mereka melihat sebuah kampung di kelilingi bangunan pencakar langit. Melihat rumah kecil melayu tradisional yang masih dikekalkan meskipun halamannya ternyata makin sempit dan kawasannya makin padat.
Barangkali anak-anak masih belum mengerti tentang harga sebuah rumah tradisi. Namun apa yang diharapkan adalah, sekiranya pada masa depan kawasan ini akan dibangunkan, sekurang-kurangnya apa yang kekal dalam memori anak-anak adalah suasana kampung dalam bandar yang pernah wujud di sini.
NSA
12.6.2022
Saturday, June 11, 2022
Pintasan Saloma
Percubaan mendekati dan menaiki PS sebelum ini menemui kegagalan. Namun malam tadi berjaya jua kami merentasi lautan manusia untuk melalui PS.
Kami melalui stesen LRT Kampung Bharu yang terletak hanya beberapa ratus meter daripada kedudukan PS. Disebabkan bilangan pengunjung yang ramai, kami menggunakan tangga meskipun ada kemudahan lif disediakan. Bagi kami, biarlah kemudahan itu digunakan untuk pengunjung yang membawa orang tua dan anak-anak kecil.
Ketinggian PS adalah menyamai bangunan tiga tingkat berdasarkan anak tangga yang kami naiki. Ramai juga yang menaiki tangga ke PS semalam. Malam hujung minggu barangkali.
Kami sempat bergambar di beberapa tempat strategik di PS sebelum melangkah menyeberang ke KLCC. Sempat juga saya baca sejarah pembinaan jambatan ini yang dibuka pada tahun 2020. Ia merupakan lintas an pejalan kaki tanpa tiang yang paling panjang di Malaysia dan direka berdasarkan tradisi Sirih Junjung.
Namun apa yang agak mengejutkan saya adalah kerana ia dibina di atas tapak perkuburan Islam berhadapan KLCC. Mungkin hal ini akan menyebabkan pengunjung lebih mengingati kematian sebaik melintasi lintasan ini. Atau barangkali, tanah yang strategik di muka bumi ini kebanyakannya adalah milik bangsa seagama dengan saya. Entah.
Saat melalui kawasan perkuburan tersebut, saya teringat kata-kata seorang Ustaz mengenai mereka yang telah berada di alam kubur. Jika dibenarkan untuk hidup walaupun sekejap, pasti akan mereka sedekahkan semua yang ada pada mereka kerana di alam sana, harta dunia sudah tidak berguna lagi. Hanya amalan soleh seperti sedekah sahaja yang mampu menolong mereka di sana.
"Mama ni kenapa pandang kubur macam tu?", soalan anak saya mengejutkan saya daripada memikirkan penghuni kekal di tanah paling mahal di Malaysia.
Bagi pengunjung lain malam semalam, PS merupakan tempat paling menarik untuk dilawati dek kerana keindahan lampu yang menghiasinya. Sebaliknya, ia satu kunjungan yang sangat mendalam maknanya bagi saya. Jika pengunjung lain memandang ke atas, memerhati gemerlapan cahaya PS, saya pula lebih tertarik untuk terus memandang ke bawah yakni perkuburan Islam sambil menginsafi dan mensyukuri nikmat yang Allah beri serta peluang untuk memperbaiki diri. Apakah rumah saya di sana nanti akan disinari cahaya atau ia gelap segelap-gelapnya? -_-
NSA
10.6.2022
Friday, June 10, 2022
AIKOL
Thursday, June 9, 2022
Langkah Pertama
Langkah pertama setelah menyepi dalam kelas-kelas menulis adalah untuk mendapatkan kembali roh dan semangat menulis. Barangkali ia telah lama terbang ke luar mencari jasad baharu yang dapat beri komitmen untuk teruskan usaha menulis. Mungkin.
Sebaik sahaja melihat posting Hif di med-sos tentang buku yang memuatkan tulisannya, saya tidak teragak-agak untuk terus hubungi Hif. Memang saya suka baca tulisan Hif. Sedap dibaca, kena pada jiwa dan ayat-ayatnya teratur dengan penggunaan bahasa Melayu aras tinggi. Saya suka!
Lantas kami menetapkan satu tarikh di hujung minggu untuk bertemu. Saya tetapkan tarikh dan masa. Hif tetapkan tempat berjumpa. Set!
Isnin, 6.6.2022, jam 3 petang di Main Place. Ia lokasi menang-menang kerana terletak di tengah-tengah antara rumah saya dan rumah Hif.
Menariknya, kami sama-sama berpakaian dengan baju berwarna merah seolah-olah sudah berjanji tema pada hari itu adalah merah - mewakili semangat menulis yang sedang menyala-nyala.
Buku bertukar tangan. Ada empat buah buku semuanya yang Hif telah masukkan ke dalam beg kertas berwarna coklat- Projek Lavender, Projek Lavender II, Apa Khabar Hari Ini dan Rak Buku Ruang Tamu.
Ralit bersembang kisah lama dan circle kawan-kawan sekolah sebelum kami berbincang lebih serius mengenai projek yang akan dijalankan. Jika tidak kerana Hif mengingatkan saya bahawa kami kenal sejak tadika, memori awal saya dengan Hif hanya bermula di sekolah arab yang kini dikenali dengan nama Kelas Asas Fardhu Ain atau KAFA. Kiranya, saya mengenali Hif lebih 34 tahun lamanya. Rugi jika saya tidak menggunakan kepakaran sahabat lama saya untuk membantu saya menulis dengan lebih baik.
Hif mencadangkan saya menulis lima bab pertama yang dibahagikan kepada:
1) Pengenalan - kenapa pilih bidang undang-undang
2) Kisah LLB di UIAM
3) Kisah semasa Chambering
4) Kes menarik untuk dikongsi
5) Motivasi dll
Ini cadangan spontan semasa sesi pertemuan pertama. Berikutnya, Hif ada berikan beberapa lagi idea baharu untuk lima kisah utama yang akan saya gunakan untuk menulis di sini jika kekeringan idea.
Saya menulis di sini untuk mencari rentak sebelum memulakan tulisan yang lebih serius kelak.
Jom tulis!
NSA
9.6.2022
Wednesday, June 8, 2022
Projek Mid 2022
Projek dah lama tertangguh.
Dah berkali-kali saya sertai kursus penulisan dan membaca buku mengenainya.
Namun, satu cerita pun belum terbit.
Tahun ini saya nekad. Mesti tulis juga supaya kisah pengalaman saya dijadikan manfaat buat anak-anak.
Kali pertama saya hadir kursus menulis di BBB ketika sedang sarat mengandung anak kelima. Namun saya tidak dapat menjiwai ilmu yang dicurahkan kerana ia agak keras dan menekan. Tak sesuai dengan jiwa perempuan santai dan tidak memberontak ini.
Dalam masa yang sama, apabila ada kesempatan berjalan-jalan di pusat membeli belah, saya pasti akan mengunjungi kedai buku. Lantas membelek (dan beli) senaskhah dua buku untuk pedoman saya menulis.
Tahun 2019, saya menyertai kursus menulis kisah hidup anjuran seorang penulis yang memang sohor namanya di arena penulisan.
Tahun-tahun berikutnya, saya menyertai kursus secara dalam talian dek pandemik yang melanda dunia.
Dalam telefon, laptop dan buku-buku nota, draf tulisan cerita saya tercoret di mana-mana. Asalkan ada idea, saya pasti mencoret sepatah dua kata sementara cerita masih segar dalam kepala.
Doakan saya supaya tahun ini, saya sudah berjaya siapkan satu kisah pengalaman hidup sebagai seorang peguam.
NSA
8.6.2022